Thursday, February 10, 2011

Kenyataan Akhbar Pro-Mahasiswa Universiti Malaya


Gambar ihsan merdekareview.com

KENYATAAN AKHBAR PRO-MAHASISWA UNIVERSITI MALAYA

Bertarikh 9 Februari 2011

KEWAJIPAN KE BENGKEL CALON

BAGI CALON PILIHAN RAYA KAMPUS UNIVERSITI MALAYA

PENDAHULUAN

Selepas pembentangan dan taklimat Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA) pada 27 Januari 2011 di Auditorium KPS, kita mendapati Pilihan Raya Kampus (PRK) pada sesi ini akan mengalami beberapa perubahan dan peringkat yang akan dijalankan. Antara perubahan ketara yang akan diadakan ialah semua calon yang ingin bertanding dalam Pilihan Raya Kampus (PRK) sama ada calon umum atau fakulti diwajibkan untuk menyertai bengkel calon yang akan dianjurkan oleh pihak HEPA pada 11 hingga 13 Febuari 2011.

Dalam taklimat tersebut, individu yang ingin menjadi calon, wajib untuk hadir ke bengkel calon yang dianjurkan oleh pihak HEPA dan menjadi syarat utama untuk menjadi calon. Sesiapa yang ingin menjadi calon tetapi tidak menyertai bengkel ini secara automatik tidak boleh menyertai Pilihan Raya Kampus (PRK).

1.0 Alasan Pihak Pentadbiran untuk diadakan Bengkel Calon:

Mengikut taklimat pembentangan HEPA dan dari Timbalan Naib Canselor Datuk Dr. Rohana sendiri, sebab bengkel ini diadakan adalah seperti berikut :

a) Ahli Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) sesi lalu tidak melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan kebanyakan dari mereka tidak mengetahui tugasan sebenar sebagai MPMUM .

b) Untuk menerangkan mengenai sistem Pilihan Raya Kampus (PRK) yang baru.

c) Menerangkan berkenaan visi dan misi Universiti supaya setiap bakal calon maklum dan mengetahui hasrat Universiti dan dapat melaksanakan tugas dengan baik seiring dengan hasrat Universiti.

Di peringkat kami , mempersoalkan mengenai perkara (a) seperti berikut :

a) Persoalan MPMUM tidak berkualiti hanya timbul ketika dibawah penguasaan Penggerak Mahasiswa (Pro HEPA) tahun lalu, tetapi ianya tidak timbul ketika di bawah pemerintahan Pro-Mahasiswa bahkan ketika di bawah Pro-M , kita berjaya melakar nama universiti dalam beberapa perkara seperti Ranking Universiti dan Festival Konvokesyen Universiti Malaya (FESKUM). Kita mencabar sesiapa sahaja untuk menafikan kenyataan ini. Ini juga sebagai bukti bahawasanya kepimpinan yang ditawarkan oleh Penggerak Mahasiswa adalah tidak berkualiti.

Kita turut mempersoalkan berkenaan perkara (b) seperti berikut:

a) Perjalanan proses demokrasi dan Pilihan Raya Kampus bukan hanya perlu difahami oleh calon yang bertanding sahaja, tetapi juga perlu difahami oleh kesemua mereka yang terlibat dalam sistem pilihan raya dan demokrasi ini. Dengan erti kata yang lain, sekiranya alasan taklimat yang diberikan sehingga terpaksa membuat bengkel ini, maka sebenarnya bagi memastikan perjalanan demokrasi ini berjalan lancar, maka semua mahasiswa perlu mengikuti bengkel ini dan bukan hanya terhad pada calon sahaja.

b) Sebenarnya untuk memberikan taklimat tidak memakan masa sehari. Lebih teruk lagi,apabila kita melihat usaha HEPA yang memberikan taklimat sistem yang ingin dijalankan ini pada 27 Januari yang lalu dengan sambil lewa. Keadaan ini akan menyusahkan pengundi dan juga mahasiswa sekaligus. Kita mempunyai rekod taklimat tersebut dan sesiapa sahaja boleh menilai proses taklimat tersebut. Kami persilakan jika ada yang sudi.

2.0 Beberapa isu atau permasalahan yang dapat dilihat, jika sekiranya bengkel ini diwajibkan kepada mahasiswa:

1) Sekiranya niat HEPA ingin memperbaiki kepimpinan mahasiswa sekalipun, maka sepatutnya tindakan yang tepat dan bijak adalah mengadakan bengkel selepas kabinet MPMUM terbentuk. Justeru kita mencadangkan agar bengkel dibuat selepas diisytiharkan keputusan Majlis Perwakilan Mahasiswa . Hal ini akan memberikan banyak kebaikan antaranya pengisian yang lebih membumi dan bersesuaian, juga boleh ditubuhkan sekali kabinet baru MPMUM.

2) Hal ini juga, akan membazirkan wang universiti yang mana universiti terpaksa mengeluarkan kos tinggi. Yang mana sepatutnya wang tersebut boleh digunakan untuk tujuan kebajikan mahasiswa lain.

3) Selain itu ,dengan mewajibkan bengkel ini terhadap calon adalah seperti memperlekehkan kepimpinan dan kredibiliti mahasiswa untuk diangkat sebagai seorang pemimpin . Dengan erti kata yang lain, mahasiswa kelihatan seperti tidak tahu memimpin sehingga HEPA perlu bengkelkan bagi memberikan kemahiran kepimpinan pada mahasiswa. HEPA seolah-olah tidak mengetahui sejarah kepimpinan mahasiswa.

4) Antara lain, berkenaan dengan status wajib untuk menghadiri bengkel ini akan memberi permasalahan kepada mana-mana bakal calon yang mempunyai aktiviti lain dan sukar untuk mendapatkan pelepasan. Hal ini berlaku disebabkan oleh, tidak ada stand atau pendirian yang kukuh membolehkan mahasiswa untuk tidak menghadiri kelas terutamanya sebagai contoh ataupun jemputan ke mana-mana program. Kami melihat hal ini berlaku disebabkan kelambatan untuk menyatakan bahawa bengkel ini wajib dihadiri bakal calon.

3.0 Pendirian Pro-Mahasiswa

Berdasarkan permasalahan-permasalahan yang telah kami kemukakan di atas. Kami di peringkat Pro-Mahasiswa menegaskan supaya bengkel calon yang bakal dijalankan pada 11 hingga 13 Februari 2011 ini untuk tidak menjadi syarat wajib kepada bakal calon yang ingin menyertai Pilihan Raya Kampus (PRK).

Akan tetapi dilihat sebagai bonus kepada mana-mana mahasiswa yang mengikuti bengkel ini untuk menjadi seorang calon yang berkreadibiliti.

Kami juga melihat dengan permasalahan ini, seperti demokrasi kampus di Universiti ini telah mati. Ini kerana mana-mana calon yang akan bertanding terpaksa bahkan wajib menghadiri bengkel dan mana-mana calon yang mahu bertanding di saat-saat akhir terpaksa mengabaikan hasrat mereka. Walhal, berkenaan soal kepimpinan adalah hak milik seluruh mahasiwa yang sedar akan kepentingannya.

Sekian ,Terima kasih

Front mahasiswa yang bersama-sama turut menyokong;

1- Pro-Mahasiswa Universiti Malaya (PRO-M UM)

2- Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM)

3- Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)

4- UMANY

5- Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN)

6- Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya Pro-Mahasiswa (MPMUM PRO-M)

7- Hal Ehwal Wanita & Siswi PMIUM (HEWI PMIUM)

8- Persatuan Mahasiswa Selangor (PERMAS )

9- Persatuan Mahasiswa Kelantan (PMKUM)

10- Persatuan Mahasiswa Kedah (PERMADAH)

11- Persatuan Mahasiswa Pahang (PMPUM)

12- Persatuan Mahasiswa Negeri Sembilan (PERMANIS)

13- Persatuan Bahasa Arab (PBAUM)

No comments: