Monday, February 21, 2011

Isu Calon Pro-M Hilang !!



Kehilangan Masturah cetus misteri (Utusan Malaysia)


Mastura


KUALA LUMPUR 20 Feb. - Bahang Pilihan Raya Kampus Universiti Malaya yang akan berlangsung esok semakin mendebarkan apabila seorang calon wanita promahasiwa yang bertanding, kini hilang sejak petang semalam.

Masturah Abu Bakar, 22, dilaporkan hilang ketika berkempen di blok pangsapuri Pantai Permai, Pantai Dalam yang menjadi tempat penginapan luar pelajar universiti itu.

Kehilangan pelajar tahun dua Akademi Pengajian Islam itu disedari oleh seorang rakannya, Nurhanis Wahidah Mohd. Mansor sejak pukul 5 petang semalam sebelum dia membuat laporan di Balai Polis Pantai pada pukul 12.20 tengah malam tadi.

Menurut Pengerusi ProMahasiswa Nasional, Mohd. Taufiq Abdul, sebelum kehilangannya, Masturah bersama beberapa rakan termasuk Nurhanis Wahidah berkumpul di antara blok D dan E pangsapuri tersebut untuk berkempen.

"Kira-kira pukul 4.15 petang, Masturah memberitahu rakannya yang dia hendak pergi membeli tambahan kredit telefon dan meminta rakannya itu menunggu di blok E.

"Bagaimanapun, setelah menunggu agak lama, Masturah tidak muncul dan usaha rakannya menghubungi calon itu gagal.

"Selepas enam jam mencari bersama penduduk di situ, Masturah gagal ditemui sebelum Nurhanis Wahidah membuat laporan polis tengah malam tadi.

"Masturah berpakaian baju kurung batik warna hijau merah jambu, bertudung warna merah jambu, kulit sawo matang bercermin mata, tinggi kira-kira 173 sentimeter, memakai kot labuh warna hitam dan kasut sandal putih sebelum dia disedari hilang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Mohd. Taufiq, pihaknya menggunakan khidmat perubatan Islam Darussyifa untuk mengesan mangsa. Keluarganya juga telah dimaklumkan tentang kehilangan Mastura.

Beliau memberitahu, sebelum kejadian tersebut, rakan kepada calon itu memaklumkan bahawa Masturah menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan.

"Antara isi kandungan SMS tersebut adalah: "Woi celaka! jaga sikit perangai kau itu, kami dah lama perhati kau, siaplah kau lepas ni, kau ingat kau bagus sangat".

"Malah pada pagi tadi, seorang lagi rakan mangsa menerima panggilan yang mengugutnya supaya jangan membuat laporan polis berhubung kehilangan Masturah sekiranya mahukan Mastura selamat," katanya lagi.

Katanya, ekoran panggilan yang berbentuk ugutan itu, satu lagi laporan polis dibuat di balai polis yang sama pada pukul 11.40 pagi ini.

Ditanya mengenai pilihan raya kampus itu, Mohd. Taufiq memberitahu, pihaknya telah menghantar surat kepada Naib Canselor UM memohon supaya menangguhkan pilihan raya tersebut.

Katanya, dalam usaha mendoakan mangsa selamat sehingga ditemui, pihaknya mengadakan majlis solat hajat beramai-ramai di Dewan Tunku Canselor di universiti itu malam ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan pelajar itu.

"Buat masa ini, kes itu diklasifikasikan sebagai orang hilang," katanya.


Calon pilihan raya kampus UM dilaporkan hilang (The Malaysian Insider)

February 20, 2011

KUALA LUMPUR, 20 Feb — Seorang calon pilihan raya Universiti Malaya (UM) Masturah Abu Bakar dilaporkan hilang sejak petang semalam oleh rakannya sekampusnya.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata polis menerima laporan pada pukul 12.20 tengah malam tadi mengenai kehilangan penuntut berusia 22 tahun itu, dan telah mengadakan operasi mencari mangsa di sekitar pangsapuri tempat ia berkempen tetapi tidak berjaya menemuinya.

Wan Abdul Bari berkata Masturah dilaporkan hilang kira-kira pukul 5 petang semalam semasa dia bersama seorang lagi rakannya berkempen di blok pangsapuri Pantai Permai, Pantai Dalam, yang menjadi tempat penginapan luar penuntut UM.

Rakan mangsa melaporkan bahawa Masturah pergi membeli tambah nilai kredit telefon dan meminta rakannya itu menunggu di Blok E, pangsapuri itu, dan “setelah lama menunggu, Masturah tidak muncul dan dia cuba menghubungi rakannya itu tetapi gagal,” katanya kepada Bernama di sini malam ini.

Wan Abdul Bari berkata selepas enam jam mencari bersama penduduk di kawasan berkenaan, rakannya kemudian membuat laporan polis.

Masturah, yang merupakan calon pro-Mahasiwa (Pro-M) UM, akan bertanding kerusi umum pilihan raya kampus itu esok, dilaporkan menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan dari orang yang tidak dikenali sebelum ini, katanya.

“Siasatan polis masih berjalan dan pada masa yang sama, pihaknya juga meneliti pelbagai kemungkinan dan motif kehilangan mahasiswa itu, termasuk unsure balas dendam,” kata Wan Abdul Bari.

Polis bagaimanapun mengklasifikasikan kes itu sebagai orang hilang, katanya.

Semasa kejadian, Masturah yang berkulit sawo matang bercemin mata dan tinggi kira-kira 173 cm berpakaian baju kurung batik berwarna hijau dan merah jambu, berkot labuh warna hitam, bertudung warna merah jambu, dan berkasut sandal warna putih.

Sebanyak 43 kerusi MPP UM dipertandingkan pada sesi 2010/2011 yang merangkumi sembilan kerusi umum, 32 kerusi fakulti dan dua kerusi siswazah. — Bernama




No comments: