Wednesday, April 21, 2010

Press Conference : Mahasiswa Tuntut Kebebasan Bersuara


KENYATAAN AKHBAR
MAHASISWA TUNTUT KEBEBASAN BERSUARA
20 April 2010

A. Pengenalan

Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN) bersama-sama dengan gabungan mahasiswa yang dianggotai oleh Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Pro Mahasiswa Nasional (PRO-MN), Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM), Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (DEMA), Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) dan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM). Kami memandang serius terhadap sekatan yang berlaku terhadap mahasiswa kebelakangan ini dengan beberapa tindakan dan polisi yang sedang diusaha untuk dilaksanakan.

B. Sekatan terhadap penglibatan mahasiswa dalam Pilihanraya Kecil Parlimen Hulu Selangor

Berkenaan dengan keterlibatan mahasiswa dalam Pilihanraya Kecil Parlimen Hulu Selangor, kami melihat wujud beberapa tindakan sekatan yang dikenakan terhadap mahasiswa. Iaitu :

1. Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam kenyataannya melarang mahasiswa berkempen dalam Pilihanraya Kecil Parlimen Hulu Selangor dan mengugut untuk memantau penglibatan mahasiswa dalam pilihanraya tersebut.

2. Badan Hal Ehwal Pelajar & Alumni Universiti Malaya (HEPA) mengeluarkan pekeliling sekatan terhadap keterlibatan mahasiswa dalam Pilihanraya Kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor. Pekeliling yang bertarikh 15 April 2010 ini menyatakan bahawa semua pelajar dan badan pelajar dilarang sama sekali daripada melibatkan diri dalam apa-apa cara dalam pilihan raya kecil kawasan Parlimen Hulu ketika pada hari pengundian iaitu 25 April 2010 atau apa-apa aktiviti yang berkaitan dengan Pilihan Raya Kecil tersebut.

HEPA juga menyatakan bahawa tindakan melibatkan diri dengan aktiviti Pilihanraya Kecil adalah bertentangan dengan peruntukan seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 [“AUKU 1971”] yang melarang seseorang pelajar atau sesuatu pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar Universiti yang ditubuhkan oleh, di bawah atau mengikut Perlembagaan Universiti, daripada sebarang penyertaan dalam aktiviti politik di Malaysia. Mana-mana pelajar yang melanggar seksyen 15 AUKU 1971 atau gagal mematuhi arahan ini boleh dikenakan tindakan tatatertib iaitu mana-mana badan pelajar yang melanggar seksyen 15 AUKU 1971 boleh digantung atau dibubarkan mengikut seksyen 16 AUKU 1971.

C. Pendirian terhadap penglibatan mahasiswa dalam Pilihanraya Kecil Hulu Selangor

Mahasiswa sama sekali tidak bersetuju dengan tindakan sekatan yang dilakukan oleh pihak KPT dan pihak HEPA UM terhadap penglibatan mahasiswa dalam Pilihanraya Kecil Parlimen Hulu Selangor. Tindakan sekatan ini bertentangan dengan prinsip demokrasi yang menjamin kebebasan individu di dalam sesebuah negara.

Seharusnya, golongan mahasiswa yang mewakili majoriti suara anak muda selayaknya diberikan keutamaan pendedahan dan ruang untuk memberi idea dalam perkara ini. Kami berpendirian bahawa mahasiswa perlu turut sama menyertai masyarakat, memberi kesedaran, menyatakan pandangan dan penjelasan terhadap apa jua perkara yang berlaku di peringkat negara khususnya dalam aktiviti demokrasi seperti pilihanraya.

Dengan ini, kami mewakili suara majoriti mahasiswa menggesa pihak KPT dan juga pihak pentadbiran Universiti Malaya dan menuntut agar :

1. Menarik semula sebarang notis ugutan yang memperbodohkan mahasiswa dengan pernyataan undang-undang yang tidak tepat.

2. Menghormati autonomi mahasiswa dalam mengadakan aktiviti serta menghentikan segala penindasan terhadap mahasiswa.

3. Membatalkan serta merta kenyataan atau tindakan sekatan terhadap penglibatan mahasiswa dalam Pilihanraya Kecil Parlimen Hulu Selangor.

4. Mematuhi dan menghormati kebebasan bersuara mahasiswa seperti yang terdapat dalam Artikel-19 Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia dan Artikel-10 Perlembagaan Malaysia.

Oleh itu, di atas pendirian non-partisan, kami menyeru agar seluruh mahasiswa bersama-sama memberi kesedaran kepada rakyat dalam memilih pemimpin yang bertanggungjawab dan amanah untuk memastikan hak bersuara rakyat terjamin. Kami juga mengingatkan seluruh mahasiswa, sebagai entiti check and balance, kita sama-sama menggalas tanggungjawab untuk bersama membangunkan negara ke arah melahirkan masyarakat sivil yang berdiri di atas prinsip demokrasi tulen.

Sekian Terima Kasih.

Oleh : Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN)

No comments: