Thursday, April 1, 2010

PMIUM tuntut pegawai kanan ILIM minta maaf - MALAYSIAKINI


Jimadie Shah Othman
Mac 31, 10
4:20pm

Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaysia (PMIUM) mendesak pegawai kanan sebuah institut di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) supaya memohon maaf secara terbuka kerana didakwa “mengaitkan persatuan itu dengan aliran-aliran tertentu di Malaysia”.

Presiden PMIUM Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, pihaknya mendapat aduan, pegawai kanan dari Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) - dalam kuliah sebelum solat Jumaat di Masjid Al-Rahman di Jalan Pantai Bharu, pada 12 Mac lalu, dikatakan telah mengaitkan PMIUM dengan penganjuran sebuah seminar anti-terorisme.

Sedangkan, kata Shazni Munir, program tersebut - yang dikatakan melibatkan tokoh-tokoh 'Wahabi' - pada 28 Mac lalu, dianjurkan oleh sebuah NGO lain dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Malaya (UM) serta Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM).

“Kita tidak pro pada mana-mana aliran. Wahabi pun tidak, ahbas pun tidak. Kita ada semua pihak dalam PMIUM. Kita berlapang dada dengan semua aliran.

“Mengaitkan kita dengan mana-mana aliran, menyebabkan orang tutup pintu dengan kita,” kata Shazni ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Surat bantahan PMIUM - persatuan mahasiswa Islam terbesar di UM - yang ditandatangani setiausahanya Mohamad Hafiz Ilyas, telah dihantar kepada pegawai kanan berkenaan, pada 15 Mac lalu.

Salinan surat tersebut turut dihantar kepada menteri di jabatan perdana menteri, ketua pengarah Jakim dan pengerusi Masjid Al-Rahman.

Malaysiakini mendapat salinan surat tersebut daripada satu sumber.

Menurut surat tersebut, dakwaan pegawai kanan berkenaan, telah menjejaskan kewibawaan PMIUM dan berdasarkan fakta yang salah.

Pegawai berkenaan Zamihan Mat Zin bagaimanapun ketika dihubungi menafikan menuduh persatuan tersebut terlibat dalam program tersebut.

No comments: