Thursday, April 1, 2010

Pegawai ILIM: 'Saya tidak tuduh mereka' - MALAYSIAKINI


Jimadie Shah Othman
Mac 31, 10
11:34am

Seorang pegawai kanan sebuah institut di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) - yang didakwa mengaitkan sebuah persatuan mahasiswa Islam dengan aliran 'Wahabi' - hari ini menafikan berbuat demikian.

Penolong pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras, Institut latihan Islam Malaysia (ILIM), Zamihan Mat Zin berkata, beliau tidak langsung mengaitkan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) dengan aliran itu.

“Saya tidak pernah kata mereka terlibat. Perkara itu (permohonan maaf) tidak berbangkit,” katanya ketika ditanya sama ada beliau akan akur kepada tuntutan maaf daripada PMIUM.

Dalam suratnya bertarikh 15 Mac kepada Zamihan, PMIUM mendakwa menerima aduan bahawa beliau mendakwa persatuan tersebut terlibat dalam penganjuran sebuah seminar anti-terorisme - yang dihadiri tokoh 'wahabi'.

Justeru, persatuan Islam terbesar di universiti itu menuntutnya memohon maaf secara terbuka kerana didakwa menjejaskan kredibeliti PMIUM kerana “cenderung mengaitkannya dengan aliran tertentu”.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Zamihan menjelaskan, semasa menyampaikan kuliah Jumaat pada 12 Mac lalu, beliau hanya menyebut terdapat “mahasiswa Islam UM” terlibat dalam program tersebut.

“Saya tidak sebut Persatuan Mahasiswa Islam UM. Boleh jadi kerana masjid berkenaan bersebelahan dengan pagar UM, mereka terasa,” katanya.

Beliau juga mempersoalkan tindakan persatuan mahasiswa berkenaan yang menghantar salinan surat berkenaan kepada pihak menteri dan ketua pengarah Jakim.

“Saya cuma ingatkan (mahasiswa) sahaja, tetapi kenapa sampai bertindak balas begitu keras sekali,” kata Zamihan lagi.

“Tetapi kalau mereka terasa sangat, saya minta maaflah.”

No comments: