Thursday, April 29, 2010

Sekitar perbincangan dengan Pengetua Kolej Kediaman Ke-4

Pimpinan Majlis Perwakilan Mahasiswa UM (Pro-Mahasiswa)
berunding dengan Dr. Salihin Baba

Bersama dengan presiden kolej & wakil pentadbiran kolej


Maklum balas yang diterima hasil perbincangan ini, kebanyakan mahasiswa yang diusulkan oleh pihak Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya Pro-Mahasiswa (MPMUM Pro-M) telah mendapat semula tempat selepas membuat rayuan.

Cuma apa yang menghairankan, ada beberapa orang rakan kita yang aktif memberi sumbangan kepada kolej tetapi tidak mendapat tempat di kolej. Mereka mengadu kepada kami dan sudah berputus asa untuk memohon penempatan di kolej.

Di peringkat MPMUM Pro-M, kita akan cuba membantu sedaya yang mungkin mencari alternatif seperti mencari rumah sewa untuk anda yang tidak mendapat penempatan di kolej kediaman Universiti Malaya.


" Suara Anda Keutamaan Kami "

Tuesday, April 27, 2010

Wakil MPMUM Bantu Penghuni Kolej Ke-4

kolej ke empat

“Kami sangat kecewa, hati kami hancur. Kami tidak tahu hendak tinggal dimana selepas ini”

Luah seorang penghuni kolej kediaman keempat yang tidak mahu dikenali selepas mendapat tahu tidak tersenarai untuk menetap di kolej itu lagi pada semester akan datang.

“Kami dah beri segalanya pada kolej kami. Banyak projek kolej kami turut serta. Namun tidak sangka nasib kami dibalas sebegini” ujarnya sambil ditenangkan oleh saudara Hafiz Ilyas.

Mahasiswa itu juga mempersoalkan kenapa pelajar yang tidak aktif masih boleh menetap di kolej. Sedangkan beliau tidak dapat. Adakah wujud pilih kasih dalam hal ini?

Akhirnya, 5 orang wakil MPMUM turun menemui Pengetua Kolej, Dr Salihin Baba bagi menyelesaikan kes ini. Mereka adalah Siti Zuraini, Mohd Hafiz Ilyas, Mohd Syahid, Siti Nadzirah dan Nur Dalilah. Tidak terlihat kelibat YDP MPMUM sesi kali ini, saudara Khairul Anwar.

Turut sama dalam pertemuan kali ini adalah seorang penyelia kolej dan Presiden kolej.

Perbincangan berakhir dengan Pengetua Kolej meminta penuntut kolej terbabit mengemukakan surat rayuan. Jika ada kekosongan pada semester hadapan, mereka akan diberi keutamaan.

Wakil MPMUM bagaimanapun berharap perkara sebegini tidak akan berulang.

Mereka berharap pada masa akan datang pihak pengurusan kolej boleh memberitahu dengan lebih jelas mengenai sistem mata merit kepada penghuni kolej agar tidak tersalah faham pada masa akan datang.

mohd syahid

“Kami berharap pihak pengurusan Kolej pada masa akan datang akan memberitahu kepada penghuni kolej dengan lebih jelas mengenai sistem mata merit ini kepada penghuni kolej” tegas Mohd Syahid, Exco Kebajikan dan Aduan MPMUM.

Beliau juga meminta kepada mahasiswa lain yang mempunyai masalah seperti itu untuk menghubungi beliau secepat mungkin.

“Kita mahu kebajikan semua mahasiswa dijaga” katanya lagi.

Um-Today cuba mendapat maklum balas dari Jurucakap SPKUM, saudara Fahmi Adilah, namun tidak dapat dihubungi sehingga kini. –Um-today

Wednesday, April 21, 2010

Press Conference : Mahasiswa Tuntut Kebebasan Bersuara


KENYATAAN AKHBAR
MAHASISWA TUNTUT KEBEBASAN BERSUARA
20 April 2010

A. Pengenalan

Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN) bersama-sama dengan gabungan mahasiswa yang dianggotai oleh Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Pro Mahasiswa Nasional (PRO-MN), Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM), Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (DEMA), Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) dan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM). Kami memandang serius terhadap sekatan yang berlaku terhadap mahasiswa kebelakangan ini dengan beberapa tindakan dan polisi yang sedang diusaha untuk dilaksanakan.

B. Sekatan terhadap penglibatan mahasiswa dalam Pilihanraya Kecil Parlimen Hulu Selangor

Berkenaan dengan keterlibatan mahasiswa dalam Pilihanraya Kecil Parlimen Hulu Selangor, kami melihat wujud beberapa tindakan sekatan yang dikenakan terhadap mahasiswa. Iaitu :

1. Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam kenyataannya melarang mahasiswa berkempen dalam Pilihanraya Kecil Parlimen Hulu Selangor dan mengugut untuk memantau penglibatan mahasiswa dalam pilihanraya tersebut.

2. Badan Hal Ehwal Pelajar & Alumni Universiti Malaya (HEPA) mengeluarkan pekeliling sekatan terhadap keterlibatan mahasiswa dalam Pilihanraya Kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor. Pekeliling yang bertarikh 15 April 2010 ini menyatakan bahawa semua pelajar dan badan pelajar dilarang sama sekali daripada melibatkan diri dalam apa-apa cara dalam pilihan raya kecil kawasan Parlimen Hulu ketika pada hari pengundian iaitu 25 April 2010 atau apa-apa aktiviti yang berkaitan dengan Pilihan Raya Kecil tersebut.

HEPA juga menyatakan bahawa tindakan melibatkan diri dengan aktiviti Pilihanraya Kecil adalah bertentangan dengan peruntukan seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 [“AUKU 1971”] yang melarang seseorang pelajar atau sesuatu pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar Universiti yang ditubuhkan oleh, di bawah atau mengikut Perlembagaan Universiti, daripada sebarang penyertaan dalam aktiviti politik di Malaysia. Mana-mana pelajar yang melanggar seksyen 15 AUKU 1971 atau gagal mematuhi arahan ini boleh dikenakan tindakan tatatertib iaitu mana-mana badan pelajar yang melanggar seksyen 15 AUKU 1971 boleh digantung atau dibubarkan mengikut seksyen 16 AUKU 1971.

C. Pendirian terhadap penglibatan mahasiswa dalam Pilihanraya Kecil Hulu Selangor

Mahasiswa sama sekali tidak bersetuju dengan tindakan sekatan yang dilakukan oleh pihak KPT dan pihak HEPA UM terhadap penglibatan mahasiswa dalam Pilihanraya Kecil Parlimen Hulu Selangor. Tindakan sekatan ini bertentangan dengan prinsip demokrasi yang menjamin kebebasan individu di dalam sesebuah negara.

Seharusnya, golongan mahasiswa yang mewakili majoriti suara anak muda selayaknya diberikan keutamaan pendedahan dan ruang untuk memberi idea dalam perkara ini. Kami berpendirian bahawa mahasiswa perlu turut sama menyertai masyarakat, memberi kesedaran, menyatakan pandangan dan penjelasan terhadap apa jua perkara yang berlaku di peringkat negara khususnya dalam aktiviti demokrasi seperti pilihanraya.

Dengan ini, kami mewakili suara majoriti mahasiswa menggesa pihak KPT dan juga pihak pentadbiran Universiti Malaya dan menuntut agar :

1. Menarik semula sebarang notis ugutan yang memperbodohkan mahasiswa dengan pernyataan undang-undang yang tidak tepat.

2. Menghormati autonomi mahasiswa dalam mengadakan aktiviti serta menghentikan segala penindasan terhadap mahasiswa.

3. Membatalkan serta merta kenyataan atau tindakan sekatan terhadap penglibatan mahasiswa dalam Pilihanraya Kecil Parlimen Hulu Selangor.

4. Mematuhi dan menghormati kebebasan bersuara mahasiswa seperti yang terdapat dalam Artikel-19 Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia dan Artikel-10 Perlembagaan Malaysia.

Oleh itu, di atas pendirian non-partisan, kami menyeru agar seluruh mahasiswa bersama-sama memberi kesedaran kepada rakyat dalam memilih pemimpin yang bertanggungjawab dan amanah untuk memastikan hak bersuara rakyat terjamin. Kami juga mengingatkan seluruh mahasiswa, sebagai entiti check and balance, kita sama-sama menggalas tanggungjawab untuk bersama membangunkan negara ke arah melahirkan masyarakat sivil yang berdiri di atas prinsip demokrasi tulen.

Sekian Terima Kasih.

Oleh : Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN)

Sunday, April 18, 2010

Istimewa daripada MPMUM Pro-Mahasiswa Untuk Anda,,


Istimewa daripada :

Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) Pro-Mahasiswa

Wednesday, April 14, 2010

Tuesday, April 6, 2010

Menteri KPT akan turun Annual Grand Meeting PMIUM..

(AGM) Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya akan dirasmikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

Semua dijemput hadir

Sunday, April 4, 2010

PMIUM: “Memang beliau ada menyebut nama PMIUM”

d2bec94b81dec80a83629978e7a466e2

02 April jumaat- Mengulas kepada respon penolong pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Zamihan Mat Zin di dalam akhbar tempatan yang mengatakan bahawa beliau tidak menyebut nama Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) teribat dengan seminar anti terorisme anjuran HEP & MPMUM yang membwa masuk tokoh dari kalangan ‘wahabi’, presiden PMUIM mengatakan bahawa tujuan surat dihantar adalah untuk menjernihkan keadaan.

02f221956e5b407502c8fd1b61ae6676
” Kami menghantar surat kepada beliau dengan tujuan dapat menjernihkan keadaan, kerana kami bimbang terdapat ahli PMIUM yang akan mempersoalkan keterlibatan PMIUM dengan seminar anti-terorisme itu”.katanya.

Mempersoalkan tindakan Pegawai kanan sebuah institut di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu yang mengatakan bahawa beliau tidak ada menyebut nama PMIUM di sangkal oleh JKP Dakwah dan Perhubungan Antara Kaum PMIUM, Muhd Zul Amirul Izwan B. Mat Derasih yang turut berada di masjid Ar-Rahman ketika kulliah itu berlangsung.

images
” Kami memang mendengar beliau menyebut nama PMIUM, ramai yang boleh menjadi saksi”.tambahnya.

Beliau juga menegaskan jika sekiranya Pegawai terbabit merasakan PMIUM terlibat dengan seminar itu tidak perlulah sampai menyebutnya dihadapan orang ramai,ini boleh menjejaskan maruah PMI itu sendiri.katanya lagi.

Ahli daripada masjid Ar-Rahman sendiri mengakui beliau memang ada menyebut nama PMI.

” Kami hanya menghantar surat memohon penjelasan dan meminta beliau memohon maaf, yang selebihnya terpulang pada beliau sendiri” kata presiden PMI saudara Shazni Munir B. Mohd Ithnin.-Mahasiswakini

Thursday, April 1, 2010

Pegawai ILIM: 'Saya tidak tuduh mereka' - MALAYSIAKINI


Jimadie Shah Othman
Mac 31, 10
11:34am

Seorang pegawai kanan sebuah institut di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) - yang didakwa mengaitkan sebuah persatuan mahasiswa Islam dengan aliran 'Wahabi' - hari ini menafikan berbuat demikian.

Penolong pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras, Institut latihan Islam Malaysia (ILIM), Zamihan Mat Zin berkata, beliau tidak langsung mengaitkan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) dengan aliran itu.

“Saya tidak pernah kata mereka terlibat. Perkara itu (permohonan maaf) tidak berbangkit,” katanya ketika ditanya sama ada beliau akan akur kepada tuntutan maaf daripada PMIUM.

Dalam suratnya bertarikh 15 Mac kepada Zamihan, PMIUM mendakwa menerima aduan bahawa beliau mendakwa persatuan tersebut terlibat dalam penganjuran sebuah seminar anti-terorisme - yang dihadiri tokoh 'wahabi'.

Justeru, persatuan Islam terbesar di universiti itu menuntutnya memohon maaf secara terbuka kerana didakwa menjejaskan kredibeliti PMIUM kerana “cenderung mengaitkannya dengan aliran tertentu”.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Zamihan menjelaskan, semasa menyampaikan kuliah Jumaat pada 12 Mac lalu, beliau hanya menyebut terdapat “mahasiswa Islam UM” terlibat dalam program tersebut.

“Saya tidak sebut Persatuan Mahasiswa Islam UM. Boleh jadi kerana masjid berkenaan bersebelahan dengan pagar UM, mereka terasa,” katanya.

Beliau juga mempersoalkan tindakan persatuan mahasiswa berkenaan yang menghantar salinan surat berkenaan kepada pihak menteri dan ketua pengarah Jakim.

“Saya cuma ingatkan (mahasiswa) sahaja, tetapi kenapa sampai bertindak balas begitu keras sekali,” kata Zamihan lagi.

“Tetapi kalau mereka terasa sangat, saya minta maaflah.”

PMIUM tuntut pegawai kanan ILIM minta maaf - MALAYSIAKINI


Jimadie Shah Othman
Mac 31, 10
4:20pm

Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaysia (PMIUM) mendesak pegawai kanan sebuah institut di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) supaya memohon maaf secara terbuka kerana didakwa “mengaitkan persatuan itu dengan aliran-aliran tertentu di Malaysia”.

Presiden PMIUM Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, pihaknya mendapat aduan, pegawai kanan dari Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) - dalam kuliah sebelum solat Jumaat di Masjid Al-Rahman di Jalan Pantai Bharu, pada 12 Mac lalu, dikatakan telah mengaitkan PMIUM dengan penganjuran sebuah seminar anti-terorisme.

Sedangkan, kata Shazni Munir, program tersebut - yang dikatakan melibatkan tokoh-tokoh 'Wahabi' - pada 28 Mac lalu, dianjurkan oleh sebuah NGO lain dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Malaya (UM) serta Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM).

“Kita tidak pro pada mana-mana aliran. Wahabi pun tidak, ahbas pun tidak. Kita ada semua pihak dalam PMIUM. Kita berlapang dada dengan semua aliran.

“Mengaitkan kita dengan mana-mana aliran, menyebabkan orang tutup pintu dengan kita,” kata Shazni ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Surat bantahan PMIUM - persatuan mahasiswa Islam terbesar di UM - yang ditandatangani setiausahanya Mohamad Hafiz Ilyas, telah dihantar kepada pegawai kanan berkenaan, pada 15 Mac lalu.

Salinan surat tersebut turut dihantar kepada menteri di jabatan perdana menteri, ketua pengarah Jakim dan pengerusi Masjid Al-Rahman.

Malaysiakini mendapat salinan surat tersebut daripada satu sumber.

Menurut surat tersebut, dakwaan pegawai kanan berkenaan, telah menjejaskan kewibawaan PMIUM dan berdasarkan fakta yang salah.

Pegawai berkenaan Zamihan Mat Zin bagaimanapun ketika dihubungi menafikan menuduh persatuan tersebut terlibat dalam program tersebut.