Monday, March 15, 2010

Surat Rasmi PMIUM Menuntut Permohonan Maaf Daripada Ustaz Zamihan




Rujukan Kami : 014/SU/PMIUM/2009/2010

Tarikh: 15 Mac 2010


Kepada;

Ustaz Hj. Zamihan Hj Mat Zin,

Penolong Pengarah Pusat Al-Quran Dan Ilmu Teras (PQIT)

Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Jalan Sungai Merab Luar, Seksyen 12
43650 Bandar Baru Bangi, SELANGOR DARUL EHSAN


Tuan,


Menuntut Permohonan Maaf Berhubung Dakwaan Keterlibatan PMIUM Dalam Seminar Islam Anti-Terrorisme


Sukacitanya perkara diatas adalah dirujuk.


2. Pada hari Jumaat yang lalu, bersamaan 12 Mac 2010 bertempat di Masjid Al-Rahman, Jalan Pantai Bharu, Kuala Lumpur. Kami mendapat aduan daripada ahli-ahli jemaah & kariah Masjid Al-Rahman yang bersolat Jumaat di sana berhubung dakwaan pihak tuan dalam kuliah sebelum solat Jumaat terhadap keterlibatan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya ( PMIUM ) dalam “ Seminar Islam Anti-Terrorisme ”.


3. Kami menganggap perkara ini merupakan satu dakwaan yang membabi buta dan tidak bertanggungjawab oleh pihak tuan tanpa menyelidik terlebih dahulu secara benar dan tepat daripada pihak yang menganjurkan seminar tersebut. Kami turut merasa sangat sedih dan terkilan, kerana seorang pegawai agama kerajaan boleh mengeluarkan kenyataan sebegitu rupa.


4. Untuk makluman pihak tuan, Program “ Seminar Islam Anti-Terrorisme ” yang akan diadakan pada 28 Mac 2010 di Auditorium Kompleks Perdana Siswa (KPS) Universiti Malaya dianjurkan oleh Pertubuhan Kebajikan Al-Nidaa’, Bahagian Hal Ehwal Pelajar & Alumni ( HEPA ) Universiti Malaya ( UM ) dan Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) Sesi 2009/2010 yang baru dilantik serta mendapat kerjasama penuh dengan Kementerian Pengajian Tinggi ( KPT ). Jelas, PMIUM tiada kena mengena dan terlibat dalam penganjuran seminar tersebut.


5. Dakwaan ini samada secara langsung ataupun tidak langsung juga telah menjejaskan kredibiliti PMIUM sebagai badan dakwah pada masyarakat kampus Universiti Malaya khususnya dan sekitar Lembah Pantai amnya. Kami merasakan demikian kerana melihat dakwaan pihak tuan dalam kuliah tersebut bukan sahaja bersumberkan fakta yang tidak benar, bahkan ianya cenderung untuk mengaitkan PMIUM dengan aliran-aliran tertentu di Malaysia ini.


6. Oleh yang demikian pihak kami meminta supaya pihak tuan menghentikan dakwaan-dakwaan tidak berasas seperti itu dan memohon maaf secara terbuka di atas insiden dakwaan tersebut kepada mana-mana medium yang menghubungkan pihak tuan dengan massa dan masyarakat. Di sini juga kami lampirkan poster program berkenaan untuk rujukan pihak tuan. Kami juga mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang seandainya tuntutan kami ini gagal ditunaikan oleh pihak tuan.

Sekian, terima kasih.


UNGGUL MEMIMPIN GENERASI


Yang Menjalankan Amanah,



(MOHAMAD HAFIZ BIN ILYAS)

Setiausaha Agung,

Persatuan Mahasiswa Islam

Universiti Malaya (PMIUM)

2009/2010


s.k

1. Menteri di Jabatan Perdana Menteri

2. Ketua pengarah JAKIM

3. Pengerusi Masjid Al-Rahman Jalan Pantai Bharu

No comments: