Tuesday, November 17, 2009

Isu Yuran KUIS : MPMUM desak KUIS bertindak, MB campur tangan

kuis1

Kuala Lumpur 15 Nov – Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) hari ini mendesak pihak pentadbiran dan pengurusan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) agar segera bertindak terhadap desakan mahasiswa yang menuntut pengurangan yuran pengajian mereka.

Perkara itu ditegaskan oleh Timbalan Yang Di Pertuanya, Mohamad Hafiz Bin Ilyas dalam kenyataannya.

Katanya, KUIS harus meneliti sejauh mana tuntutan Gerakan Mahasiswa Sedar (GMS) yang mendakwa yuran pengajian yang dikenakan kepada mahasiswa kolej itu terlalu tinggi.

“Sepatutnya KUIS mengkaji dengan terperinci tuntutan tersebut, dan bukannya melabelkan kelompok ini. Jika benar ia (yuran) terlalu tinggi, KUIS perlu segera bertindak dan menyelesaikannya” ujarnya.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) berkata, sikap (melabel) itu sebagai tidak profesional dan cuba membunuh hak mahasiswa bebas menyatakan pandangan, sedangkan hak tersebut termaktub jelas di dalam perlembagaan Malaysia. Beliau menambah lagi, tindakan bermusuhan dengan pelajar tidak akan menyelesaikan masalah dan akan menimbulkan kesan yang lebih besar.

Exco Kepimpinan MPMUM, Mohd Aizat Bin Mohd Saleh mendesak agar Menteri Besar Selangor, Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Bin Ibrahim campur tangan dalam isu ini.

“Sekiranya Hal Ehwal Pelajar KUIS tidak mampu menyelesaikan isu ini, kita (MPMUM) minta Tan Sri Menteri Besar agar campur tangan selaku pengerusi Lembaga Pengarah KUIS” katanya.

“Saya yakin, beliau (Tan Sri Khalid) adalah seorang yang dekat dengan pelajar dan bersedia mendengar masalah kebajikan”tambahnya lagi.

Beliau juga kesal dengan sikap pemimpin pelajar MPP KUIS yang tidak cakna dan tidak cepat bertindak dalam isu harga yuran tersebut. Beliau menegaskan, sikap tersebut tidak wajar ada pada pemimpin pelajar yang dipilih oleh mahasiswa untuk berkhidmat kepada mereka.

“Saya pasti mahasiswa yang turun berdemonstrasi tempohari adalah kerana isu ini terlalu lama dan lambat diselesaikan, dan (juga) kerana usaha untuk berunding menemui jalan buntu” ujarnya.

Isu harga yuran yang tinggi mula tercetus di KUIS apabila sekumpulan mahasiswa yang digelar Gerakan Mahasiswa Sedar (GMS) mengadakan demonstrasi mendesak diturunkan harga yuran pengajian.

GMS mendakwa, harga yuran tersebut sangat membebankan pelajar yang datang dari keluarga miskin dan berpendapatan rendah. Sehubungan itu, pihak KUIS menyatakan kesediaan untuk menyelesaikan isu tersebut, namun sehingga hari ini tiada tindakan diambil.-mahasiswakini

4 comments:

pencintakebenaran said...

PENJELASAN OLEH SAUDARA MOHD RIDZUAN MOHAMMAD YDP MPMUM 08/09 BERKENAAN KENYATAAN TYDP MPMUM

Assalamualaikum wrt brkth

rakan-rakan KUIS yang saya hormati dan kasihi

1. Pertama sekali untuk pengetahuan pihak anda kenyataan tersebut tidak mewakili badan Majlis Perwakilan Mahasiswa UM (MPMUM) tetapi pandangan peribadi individu dalam MPMUM, iaitu Timbalan Yang Dipertua MPMUM, sdr. Hafiz Ilyas.

2. Untuk mencampuri urusan kampus lain bukan menjadi keutamaan pihak MPMUM.

3. Saya kenyataan tersebut tidak dikaitkan dengan pihak MPMUM terutama saya selaku YDP MPMUM.

4. Saya mencadangkan kepada pihak anda untuk mengetahui apa sebab dan penjelasan, dapatkan daripada sdr Hafiz, saya punya TYDP MPMUM dan pihak website yang menerbitkan artikal tersebut, iaitu mahasiswakini.com.

5. Akhirnya, saya berharap isu ini tidak dikaitkan dengan MPMUM.

Salam,
Mohd Ridzuan Mohammad
YDP MPMUM 08/09

http://mahasiswa-kuis-kisdar.blogspot.com/2009/11/penjelasan-oleh-saudara-mohd-ridzuan.html

arrazzi alhafiz said...

Ramai orang mahu digelar Pro-Mahasiswa. Namun berapa ramai yang benar-benar Pro-Mahasiswa.

Mahasiswa punya sikap yang unik dan tersendiri. Iaitu kata bicara, tindakan, desakan dan apa sahaja yang dilakukan mereka pasti mengorbit keadilan dan kebenaran.

Adakah kerana kita mahu bergelar pro-mahasiswa maka kita menelan semua apa sahaja yang mahasiswa mahukan baik, buruk. Baik itu mmg sifatnya. Tapi keburukan, kebathilan, ketidakadilan?

Kata Rasulullah saw, hikmah (ilmu) itu barang yang hilang (terlepas) dari tangan mukmin, siapa (mukmin) yang menjumpainya dia lebih berhak (ke atas ilmu itu).

Maka tidak kira orientalis, sekularis, komunis, sosialis, zionis, jika dia berkata benar maka ambillah kerana itu hak kamu kata Nabi saw.

Umar Al-Khattab berkata, jangan perhatikan siapa yang bercakap, perhatikanlah apa yang dia cakap.

Dua mutiara kata yang sarat ilmu di atas mahu mengajar kita supaya bersifat profesional dalam mendepani sesuatu perkara.

Imam Al-Ghazali (sesetengah riwayat menyatakan Imam Syafie) dalam perjalanan pulang dari menuntut ilmu dia ditahan oleh sekumpulan perompak. Semua barangnya dirampas. Dalam sekian banyak barang itu dia berkeras untuk tidak menyerahkan sebuah beg.

Setelah diselongkar beg itu, perompak mendapati ianya sarat dengan nota-nota pengajian Imam Al-Ghazali.

Dengan sinis ketua perompak berkata, bagaimana kalau aku rampas semua ini? Pasti sia-sia pengajian engkau bertahun-tahun kerana engkau tidak menghafal apa yang dipelajari.

Nah, Imam Al-Ghazali terkesan dengan kata-kata itu lalu ia bersungguh-sungguh menghafal nota-nota pengajiannya.

Sungguh Imam Al-Ghazali faham apa yang disabdakan Nabi saw dan kalam Umar Asadullah.

Sahabatku... kebenaran,keadilan, kebaikan itu bukanlah terletak kepada siapa yang membawanya. Ia berdiri atas kekuatannya sendiri.

Seorang pembunuh yang menyatakan kebenaran tidak akan kurang nilai kebenaran itu hanya kerana dia seorang pembunuh.

Seorang ulama yang mempertahankan kebathilan itu tidak akan mengurangkan nilai kebathilan itu hanya kerana dia seorang ulama.

Muhammad Hanafi Bin Sulaiman said...
This comment has been removed by the author.
DARI MAHASISWA UNTUK MAHASISWA said...

kepada muhammad hanafi..saya hanya mampu mengeleng kepala membaca komen2 anda...kalau anda hayati apa yang saudara arrazzi alhafiz komen saya rasa kita peru banyak muhasabah...jgnlah taklid buta kepada apa sahaja isu yang dibawa oleh golongan yang menggelar diri Mahasiswa dan menjadi satu dosa pulak bagi anda jika ada mahasiswa yang pandai menggunakan akal untuk membuat analisis dan memilih untuk berpihak kepada kepada kebenaran dari menyokong setiap isu yang dibawa oleh gerakan mahasiswa.
mari kita istigfar banyak2 dan renung kembali..apa yang hendak diperjuangkan GMS....