Monday, November 30, 2009

Cadangan subjek kursus Sarjana Muda Pendidikan Islam Semester 2 sesi 2009/2010

(Pengajian al-Quran)


Kod Kursus & Subjek


PDET 4101 Kepimpinan Diri & Organisasi


PAET 4101 Sosiologi Persekolahan


IXEU 1102 Pengantar Usuluddin


IQEU 3317 Tartil al-Quran


ISEU 3310 Historiografi Islam


IXEB 3203 Ilmu Qiraat 2


IXEB 3110 Penilaian dalam Pendidikan al-Quran


IXEB 3104 Kaedah Bahasa Arab (Membaca & Menulis)

Wednesday, November 25, 2009

Tiada Istilah Cuti Dalam Kamus Pejuang

Selepas exam baru-baru ni,
Penulis bersama pensyarah Dr. Hamza (JORDAN) &
Prof. Dr. Tobroni (INDONESIA)



1. Alhamdulillah selesai sudah peperiksaan akhir semester 5 di Universiti Malaya. Tiga kali lagi berjumpa dengan bangunan peperiksaan. Nampak gayanya, tua di Universiti le jawabnya…Alhamdulillah sem ni rasa tidak tertekan sangat semasa exam, rasa tenang sahaja. Siap tidur awal lagi malam exam. Result tidak mahu difikir lagi, kalau boleh dapat 4.5 ok gak. Boleh cover pointer semester lepas.

2. Alhamdulillah, dah selamat sudah Bro-MC, tahniah kepada pengarah BRO Zul & timbalan pengarah SIS Mashitah serta semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program tarbiah ini. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas segala jerih peluh saudara dan saudari.

3. Cuti ini jadual agak padat, banyak bangat program dan kerja-kerja yang perlu dibereskan. Sempat balik rumah dalam lima hari sahaja. Duduk dekat Penang sekejap sahaja. Banyak masa di tempat lain. Rutin raya like usual setiap tahun, jadi imam & baca khutbah raya di kampung, Parit Buntar, Perak.

4. Masa yang terbatas ini, kena manfaat betul-betul le sepanjang masa cuti di rumah. Kebetulan my brother’s ambil SPM tahun ini. Masa yang ada di rumah, sedikit sebanyak boleh membantunya study smart setakat mana ilmu yang ada.

5. Aktivis tidak ada istilah cuti. Target cuti kali ini nak explore segala ilmu yang ada. Azam nak habiskan buku
“ Sejarah Pemikiran 1 : Sumber Ilmu, Perbandingan Idealogi & Orde Baru Dunia “
hasil nukilan Sulaiman Noordin. Boleh tahan juga ketebalan buku ini 449 muka surat. Di samping menghabiskan beberapa buah buku lain untuk bekalan menjadi seorang murobbi yang istiqamah dalam perjuangan.

6. Sem depan PMIUM bercadang mengadakan satu talk yang akan disampaikan seorang tokoh akademik yang penuh kontroversi iaitu bekas mufti Perlis, Dr. Asri. Doakan supaya program ini berjaya. Nantikannya..

7. Cuti ni ramai senior-senior kahwin,
Kena susun jadual elok-elok untuk memenuhi semua jemputan. Selepas ini jangan lupa datang walimah saya plak. (^_^)

8. Buat semua teman-teman yang tengah bercuti, manfaatkan cuti dengan sebaiknya.. Perkukuhkan diri dengan segala ilmu yang ada...
Lipatgandakan usaha untuk menyempurnakan diri menjadi anak yang soleh & solehah.
Selamat berbakti kepada keluarga di kampung.

9. Akhirnya.. Kesempatan yang ada, penulis nak minta maaf banyak sekiranya sepanjang menghembuskan nafas di muka bumi ini ada terbuat apa-apa dosa dalam muamalah sesama insan. Selamat Menyambut Hari Raya ’Aidil Adha.
Kullu ’Am Wa Antum Bikhoir.

Thursday, November 19, 2009

Siswa UM ditahan polis kes 'puaka'



Abdul Rahim Sabri
Nov 19, 09
11:56am

kemaskini 6.40pm Seorang pelajar Universiti Malaya, yang dikehendaki polis sejak enam bulan lalu berhubung siasatan kes menconteng perkataan "bini puaka" di sebuah dewan, berjaya ditangkap hari ini.

Muhammad Saufi Jelani ditahan oleh lima anggota polis di bangunan peperiksaan universiti itu kira-kira jam 10.30 pagi, selepas menduduki kertas terakhir bagi pengajian semester ini.

Beliau, pelajar terakhir ditangkap daripada sekumpulan lima orang yang disiasat berhubung kes tersebut, kemudian dibawa ke balai polis Jalan Pantai Baru, kira-kira 200 meter di depan kampus tersebut.

Exco perhubungan luar Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM) Mohd Syafie Hashim memberitahu Malaysiakini di kampus tersebut, beliau cuba menelefon Muhammad Saufi untuk mengesahkan tangkapan tersebut tetapi seorang anggota polis memaklumkan bahawa pelajar Akademi Pengajian Islam (API) itu sedang disiasat.

Sementara itu exco penerbitan PMIUM Farid Jalpah ketika dihubungi petang ini berkata Muhammad Saufi dipindahkan ke balai polis Bukit Jalil dari ibu pejabat polis daerah (IPD) Brickfields.

Farid tiba ke IPD bersama dua pemimpin Majlis Perwakilan Mahasiswa UM Mohd Hafiz Ilyas dan Mohd Aizat Mohd Salleh kira-kira 2.30 petang tetapi gagal menemui Muhammad Saufi selepas dipindahkan dari balai Jalan Pantai Baru.

Kakak dan abang ipar Muhammad Saufi, yang tidak dinamakan, turut berada di IPD dan memaklumkan bahawa suspek telah dibawa ke balai polis Bukit Jalil.

Difahamkan Muhammad Saufi dihantar balai polis tersebut kerana lokap di IPD tersebut sudah penuh.

Satu sumber polis memberitahu Malaysiakini, pelajar API itu akanbermalam di lokap sebelum dibawa ke depan majistret untuk tahanan reman esok.

Polis menjejaki suspek berhubung siasatan kes contengan perkataan-perkataan "C4", "bini puaka" dan "pembunuh Altantuya" di dinding dewan kuliah utama API.

Selain kes menceroboh dewan tersebut awal pagi 24 Jun lepas, siasatan polis juga berhubung simbahan petrol di permaidani merah yang bakal dilalui isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor untuk satu program di dewan tersebut.

Kejadian itu berlaku beberapa jam sebelum dewan tersebut digunakan oleh isteri Datuk Seri Najib Razak untuk program derma kanak-kanak Palestin, jam 9 pagi Rabu itu.

Pada 30 Jun lalu, dua pelajar API dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan bagi kesalahan khianat yang menyebabkan kerosakan sekurang-kurangnya RM25.

Mohd Izzuddin Hilmi Mohamad Zaini dan Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli juga dihadapkan bawah Seksyen 436 kanun yang sama iaitu kesalahan khianat dengan api atau benda letupan dengan niat merosakkan harta benda.

Seksyen 427 membawa hukuman dua tahun penjara, sementara Seksyen 436 mengakibatkan maksimum 20 tahun penjara. Kesalahan itu juga boleh didenda, jika disabitkan.

Mahkamah menetapkan 7 hingga 11 Disember depan untuk perbicaraan kes mereka berdua pelajar.

Pada 18 Julai lalu, presiden PMIUM Shazni Munir Mohd Ithnin - pelajar tahun akhir API - ditahan sebelum polis memberkas Muhammad Aizat Roslan, pelajar jurusan syariah, di kafeteria API pada 12 Ogos.

Dipercayai tiga pelajar ini, termasuk Muhammad Saufi, akan dibicarakan bersama dua tertuduh awal, Mohd Izzuddin Hilmi dan Mohd Syahruldeen.

Tuesday, November 17, 2009

Isu Yuran KUIS : MPMUM desak KUIS bertindak, MB campur tangan

kuis1

Kuala Lumpur 15 Nov – Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) hari ini mendesak pihak pentadbiran dan pengurusan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) agar segera bertindak terhadap desakan mahasiswa yang menuntut pengurangan yuran pengajian mereka.

Perkara itu ditegaskan oleh Timbalan Yang Di Pertuanya, Mohamad Hafiz Bin Ilyas dalam kenyataannya.

Katanya, KUIS harus meneliti sejauh mana tuntutan Gerakan Mahasiswa Sedar (GMS) yang mendakwa yuran pengajian yang dikenakan kepada mahasiswa kolej itu terlalu tinggi.

“Sepatutnya KUIS mengkaji dengan terperinci tuntutan tersebut, dan bukannya melabelkan kelompok ini. Jika benar ia (yuran) terlalu tinggi, KUIS perlu segera bertindak dan menyelesaikannya” ujarnya.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) berkata, sikap (melabel) itu sebagai tidak profesional dan cuba membunuh hak mahasiswa bebas menyatakan pandangan, sedangkan hak tersebut termaktub jelas di dalam perlembagaan Malaysia. Beliau menambah lagi, tindakan bermusuhan dengan pelajar tidak akan menyelesaikan masalah dan akan menimbulkan kesan yang lebih besar.

Exco Kepimpinan MPMUM, Mohd Aizat Bin Mohd Saleh mendesak agar Menteri Besar Selangor, Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Bin Ibrahim campur tangan dalam isu ini.

“Sekiranya Hal Ehwal Pelajar KUIS tidak mampu menyelesaikan isu ini, kita (MPMUM) minta Tan Sri Menteri Besar agar campur tangan selaku pengerusi Lembaga Pengarah KUIS” katanya.

“Saya yakin, beliau (Tan Sri Khalid) adalah seorang yang dekat dengan pelajar dan bersedia mendengar masalah kebajikan”tambahnya lagi.

Beliau juga kesal dengan sikap pemimpin pelajar MPP KUIS yang tidak cakna dan tidak cepat bertindak dalam isu harga yuran tersebut. Beliau menegaskan, sikap tersebut tidak wajar ada pada pemimpin pelajar yang dipilih oleh mahasiswa untuk berkhidmat kepada mereka.

“Saya pasti mahasiswa yang turun berdemonstrasi tempohari adalah kerana isu ini terlalu lama dan lambat diselesaikan, dan (juga) kerana usaha untuk berunding menemui jalan buntu” ujarnya.

Isu harga yuran yang tinggi mula tercetus di KUIS apabila sekumpulan mahasiswa yang digelar Gerakan Mahasiswa Sedar (GMS) mengadakan demonstrasi mendesak diturunkan harga yuran pengajian.

GMS mendakwa, harga yuran tersebut sangat membebankan pelajar yang datang dari keluarga miskin dan berpendapatan rendah. Sehubungan itu, pihak KUIS menyatakan kesediaan untuk menyelesaikan isu tersebut, namun sehingga hari ini tiada tindakan diambil.-mahasiswakini

Friday, November 13, 2009

MPMUM akan adakan AGM – Hafiz Ilyas


Kuala Lumpur 10 Nov – Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) sebelum sesi kepimpinan mereka berakhir.

Perkara itu dicadangkan oleh Timbalan Naib Yang DiPertua 1, Mohamad Hafiz Bin Ilyas dalam kenyataannya baru-baru ini.

“Saya mencadangkan kepada MPMUM supaya mengadakan AGM dan mengumpulkan keseluruhan mahasiswa Universiti Malaya” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah maghrib di salah sebuah kolej kediaman.

“Ini (AGM) bukan mahu memecat siapa-siapa seperti yang dilakukan oleh sesetengah parti politik, tapi lebih kepada membuka ruang kepada mahasiswa”

Katanya, di dalam AGM tersebut, MPMUM boleh membentangkan keseluruhan program-program serta segala aktiviti yang telah dilaksanakan. Disamping itu juga ujarnya, MPMUM boleh menyampaikan berkenaan isu-isu kebajikan yang telah diselesaikan atau yang masih diperjuangkan.

“Selain itu, mahasiswa bebas mengkritik dan memberikan idea serta pandangan, atau apa sahaja yang tidak puas hati. MPMUM bersedia menerima untuk dibuat penambah-baikan untuk sesi kepimpinan akan datang” tambahnya lagi.

Seorang mahasiswa Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat ditemui, Mohd Amirul mengalu-alukan cadangan tersebut. Katanya, mahasiswa mempunyai hak terhadap MPMUM selaku badan yang menaungi keseluruhan mahasiswa.

Ditanya bilakah tarikh akan diadakan AGM tersebut, beliau menyatakan perkara tersebut akan dibawa kepada mesyuarat Majlis Tertinggi MPMUM terlebih dahulu.

“Kita perlu mendapat persetujuan MT sebelum diputuskan dalam mesyuarat bersama exco-exco kita, (Ini) supaya mereka bersedia dengan laporan untuk dibentangkan pada mahasiswa.” Katanya.

Dijangka kepimpinan MPMUM bakal berakhir pada pertengahan bulan Januari tahun hadapan, dan sesi pemilihan pimpinan MPMUM akan diadakan melalui Pilihan Raya Kampus (PRK) yang bakal berlangsung selepas perletakan jawatan MPMUM secara rasmi.-UMToday

Sumber : http://um-today.com/

Monday, November 9, 2009

Mashoor Boyz Da BEST...

Kenangan berbuka puasa sekali di Kuala Lumpur


Sudah lama tidak ku ketemu teman-teman lama
SMKA AL-MASHOOR (LELAKI) PULAU PINANG
jemput semua sekali datang ke rumah
di Pulau Pinang Hari Raya 'Aidil Adha tahun ini...

Thursday, November 5, 2009

KONSEP 1 MALAYSIA

BAHAN MAKLUMAT - KONSEP 1 MALAYSIA ( PENJELASAN MENGENAI LAPAN NILAI)

‘1 MALAYSIA’

(Disediakan Oleh: Bahagian Penerbitan Dasar Negara)

1. PENGENALAN


Rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama perlu menganggap diri mereka sebagai bangsa Malaysia yang berfikir dan bertindak ke arah mencapai satu matlamat. Sejajar dengan ini, perpaduan yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuhkan lagi bagi mewujudkan suasana negara yang lebih aman, maju, selamat dan makmur.

Konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri, adalah langkah yang bertepatan dengan suasana dan cita rasa rakyat. Konsep ini selari dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip-Prinsip Rukun Negara

1 Malaysia membawa aspirasi untuk memperbaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. Perkara asas yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara kaum. ‘1 Malaysia’ juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat sebagai mana slogan YAB Perdana Menteri iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’.

‘1 Malaysia’ memerlukan kepimpinan dan rakyat yang berintegriti tinggi. Sifat jujur, berkebolehan, bercakap benar, telus, ikhlas dan amanah amat penting untuk melaksanakan tanggungjawab kepada negara.

1 Malaysia memerlukan pemimpin yang bijak mentafsir dan memahami tugasan yang diberi. Pemimpin cemerlang dan komited sewajarnya memiliki kebolehan yang tinggi dalam merancang, mengatur strategi, menilai prestasi dan menepati masa dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Kesungguhan dan komitmen terhadap tugas dan tanggungjawab menjadi asas atau senjata paling ampuh dalam mencapai sesuatu kejayaan. Negara memerlukan rakyat yang berdedikasi dan komited untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh iltizam, azam dan tekad demi kepentingan dan kemajuan negara.

Malaysia juga memerlukan pemimpin yang mesra rakyat dan sanggup berkorban masa, tenaga dan kewangan serta mengetepikan kepentingan peribadi demi negara Malaysia. Pemimpin yang bekerja dengan penuh dedikasi dan hati yang ikhlas akan mendapat sokongan dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat.

Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri. Negara ini adalah negara untuk semua rakyat, tanpa mengira kaum, agama, budaya serta fahaman politik. Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan.

1 Malaysia adalah pemangkin kepada pengwujudan negara bangsa yang dapat membina Malaysia sebagai negara yang mempunyai sikap kesamaan dan kekitaan di kalangan rakyat. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan.

Pemimpin dan rakyat perlu memahami dan menghayati lapan nilai 1Malaysia, iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integiti.

2. DEFINISI

Konsep 1 Malaysia menurut penjelasan YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak:
“Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita;

Ini bukan bererti kita mengetepikan dasar afirmatif, dasar untuk menolong kaum Bumiputera asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan Bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan.

Kita keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama”.

2.1 Huraian
Berdasarkan penjelasan di atas, dapat dirumuskan kesimpulan berikut :

2.1.1 Konsep 1 Malaysia menuntut setiap warganegara dan pemimpin memainkan peranan masing.

Ayat yang menyebut “Kita berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People” menuntut rakyat daripada pelbagai kaum dan agama berfikir melepasi sempadan kaum masing-masing. Mereka juga di tuntut melahirkan tindakan yang melepasi tembok kepentingan etnik dan kaum.

Justeru, bangsa Melayu sebagai contoh, diminta tidak hanya berfikir dalam skop bangsa mereka sahaja. Mereka juga diminta tidak hanya membataskan tindakan mereka kepada perkara-perkara yang menjadi kepentingan mereka sahaja. Demikianlah juga dengan kaum-kaum yang lain, mereka dituntut melakukan perkara yang sama.

Sementara ayat “dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita” lebih menjurus dan bersangkutan dengan kepimpinan negara. Perenggan ini bermakna kepimpinan negara akan melayani dan memenuhi segala keperluan dan hak semua kaum dan etnik di Malaysia.

2.1.2 Nilai tambah dan pembaharuan dalam Konsep 1 Malaysia

“Mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita” telah dilaksanakan kerajaan semenjak kemerdekaan negara lagi. Perkara ini berjalan dalam bentuknya yang tersendiri iaitu pihak kepimpinan negara melayani kehendak dan keperluan setiap etnik melalui wakil kaum masing-masing.

Melalui konsep 1 Malaysia, YAB Perdana Menteri mahukan setiap wakil rakyat bertindak melepasi sempadan kaum masing-masing dan melebarkan khidmat mereka kepada kaum-kaum lain.


3. PERBEZAAN ANTARA KONSEP 1 MALAYSIA DENGAN KONSEP MALAYSIAN MALAYSIA

Berpandukan definisi konsep 1 Malaysia yang dinyatakan di atas, konsep 1 Malaysia memiliki kelainan seperti berikut:

3.1. “Konsep Malaysian Malaysia adalah satu dasar yang mahu menggagalkan terus asas binaan kemasyarakatan yang wujud buat sekian lama. Keadilannya diambil secara membuta tuli dengan mengambil konsep kesamarataan versi total. Tetapi konsep 1 Malaysia lebih kepada untuk mengharmonikan rakyat dalam ruang lingkup yang berbeza”.

3.2. Di samping menjaga kepentingan semua kaum, konsep 1 Malaysia juga menekankan soal integrasi dan pengwujudan bangsa Malaysia. Berbeza dengan Malaysian Malaysia yang hanya terbatas kepada kesamarataan hak tanpa mengambil kira realiti dan sejarah negara Malaysia.


4. KEDUDUKAN KONSEP 1 MALAYSIA

Konsep 1 Malaysia bukanlah satu wawasan atau gagasan pemikiran baru. Sebaliknya Konsep 1 Malaysia ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ lebih merupakan satu konsep dalam bidang pentadbiran yang menyarankan pemimpin-pemimpin Kerajaan menjalankan tugas dengan lebih cekap, amanah dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat.


5. HUBUNGAN KONSEP 1 MALAYSIA DENGAN DASAR-DASAR KERAJAAN TERDAHULU

Perkaitan antara konsep 1 Malaysia dan dasar-dasar megara terdahulu dinyatakan sendiri oleh YAB Perdana Menteri. Beliau menegaskan “konsep 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan, adalah kesinambungan daripada dua konsep yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri terdahulu.

Konsep ini bukanlah suatu perkara baru. Sebaliknya “1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, merupakan satu usaha yang telah lama diamalkan. Usaha-usaha memelihara dan menjaga kepentingan rakyat serta negara sudah dilaksanakan sejak zaman Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Usaha-usaha membangunkan rakyat dan negara telah disambung oleh Perdana-Perdana Menteri seterusnya. Setiap Perdana Menteri mempunyai gagasan tersendiri, namun matlamatnya tetap sama iaitu untuk rakyat dan negara.


6. MATLAMAT

‘1 Malaysia’ bermatlamat untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan dalam kepelbagaian yang selama ini menjadi kekuatan Malaysia serta rakyatnya dan kelebihan ini akan dipelihara sebagai bekalan terbaik kita untuk menghadapi sebarang cabaran.


‘1 Malaysia’ juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat seperti yang terpamer melalui slogan YAB Dato’ Sri Najib Tun Razak iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’.

7. NILAI-NILAI 1 MALAYSIA

Terdapat lapan nilai yang diterapkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam konsep ‘1 Malaysia’. Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Lapan nilai-nilai tersebut adalah:

1. Budaya kecemerlangan
2. Ketabahan
3. Rendah hati
4. Penerimaan
5. Kesetiaan
6. Meritokrasi
7. Pendidikan
8. Integriti

7.1. BUDAYA KECEMERLANGAN

Pengamalan budaya cemerlang akan membawa Malaysia ke tahap kejayaan serta pencapaian yang lebih tinggi. Kejayaan dan pencapaian masyarakat dan negara bergantung setakat mana budaya kecemerlangan diamalkan oleh rakyatnya.

7.1.1 Budaya cemerlang perlu dilaksanakan secara berterusan dengan mementingkan prestasi sebagai pengukuran tahap pencapaian atau kemajuan.

7.1.2 Prinsip ketepatan menjadi elemen dalam menentukan kecemerlangan. Ketepatan menguruskan masa amat penting dalam menentukan kemajuan dan penerimaan orang lain terutama apabila berurusan dengan pihak-pihak luar negara.

7.1.3 Ketepatan pengukuran, jadual penyampaian dan kualiti amat berhubung rapat bagi menentukan kecemerlangan dan kejayaan.

7.1.4. Negara luar akan mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang mementingkan kualiti dan ketepatan dalam segala bidang terutama dalam sistem perdagangan dunia yang berteraskan eksport.

7.2. KETABAHAN

Setiap perjuangan atau pelaksanaan kerja memerlukan ketabahan dan ketekunan mereka. Perjuangan untuk mencapai kemajuan dan kecemerlangan negara amat memerlukan pemimpin dan rakyatnya tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan.

7.2.1 Rakyat Malaysia perlu tabah menghadapi dugaan dan cabaran untuk kejayaan diri dan Negara.

7.2.2 Penggemblengan semangat bekerja keras, dedikasi serta tabah menghadapi segala rintangan dan dugaan adalah ramuan yang terbaik mencapai sesuatu matlamat.

7.2.3. Ketabahan dalam menghadapi perubahan peribadi wajar dijadikan wadah bagi memperbetulkan kesilapan atau kegagalan perkara-perkara yang terdahulu.

7.2.4. Kejatuhan atau kemerosotan yang dialami perlu dikaji kelemahan-kelemahan yang ada dan perlu memperbaikinya secara positif.

7.2.5 Sikap mudah mengalah, kecewa dan menyerahkan kepada takdir perlu dikikis jika ingin maju dan berjaya

7.2.6 Dalam menangani kegagalan, pendekatan yang berbeza dan kreatif perlu diambil bagi menghasilkan perubahan yang lebih besar dan menakjubkan

7.5.7 Semangat juang yang tinggi dan berpendirian teguh perlu ada bagi mencapai kejayaan diri, masyarakat dan negara.

7.3 RENDAH HATI

Rasa rendah hati adalah satu sifat yang penting untuk dimiliki. Dalam Islam, rendah hati dikatakan Tawaduk’. Sifat merendah diri amat digalakkan dalam ajaran Islam begitu juga dengan budaya dan sifat masyarakat Melayu yang menghormati orang yang merendah diri.

7.3.1 Merendah diri yang dimaksudkan tidak bererti kita tunduk atau mengalah dengan orang lain.

7.3.2 Segala kemampuan dan kebolehan yang dimiliki tidak perlu ditunjuk dan dibanggakan dengan cara yang tidak digemari masyarakat Malaysia.

7.3.3 Masyarakat Malaysia amat menghormati serta menyukai sifat merendah diri tetapi mempunyai kekuatan dalaman dan pendirian yang teguh terhadap sesuatu prinsip.

7.3.4 Sikap merendah diri ini perlu bersesuaian dengan masa, keadaan dan tempat di mana kita berada.

7.3.5 Apabila berada di luar negara serta berurusan dengan masyarakat luar, sikap merendah diri perlu dielakkan untuk mencerminkan kekuatan, keyakinan dan kemampuan kita sebagai rakyat Malaysia, tetapi bukan dengan cara kekasaran dan penindasan.


7.4. PENERIMAAN

Konsep penerimaan dan toleransi adalah dua perkara yang berbeza sama ada daripada ungkapan mahupun pelaksanaan. Penerimaan akan memperlihatkan perlakuan yang positif menerima sepenuhnya sesuatu perkara dengan hati yang ikhlas tanpa ada unsur-unsur terpaksa. Manakala toleransi pula berlaku kerana tiada pilihan lain atau secara terpaksa. Perlakuan atau sikap toleransi berlaku apabila sesuatu pihak tiada pilihan lain dan ianya diterima dengan ketidakjujuran.

7.4.1 Malaysia memerlukan rakyat yang dapat menerima apa jua perkara baik dan mendapat persetujuan secara bersama.

7.4.2 Penerimaan semua kaum untuk mendapatkan yang terbaik amat diperlukan bagi membina sebuah negara bangsa. Perkara-perkara yang terbaik daripada kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain perlu diterima pakai serta mendapat penerimaan daripada masyarakat negara ini.

7.4.3 Semua program dan peruntukan kewangan daripada kerajaan wajar diagihkan secara adil, menyeluruh dan saksama mengikut keperluan tanpa sekatan, lapisan masyarakat, kaum, etnik, agama dan fahaman politik.

7.4.4 Semua peluang seperti pendidikan, biasiswa, subsidi, bantuan kewangan dan agihan projek perlu adil mencerminkan keperluan ‘1 Malaysia’.
7.4.5. Pembangunan diri tanpa mengambil mengira jantina dan latar belakang etnik sebaliknya ditentukan oleh keupayaan peribadi dan bakat seseorang.


7.5 KESETIAAN

Prinsip kesetiaan amat diperlukan dalam apa jua keadaan. Kesetiaan kepada Raja dan Negara adalah prinsip kedua Rukun Negara wajib dipegang erat oleh setiap rakyat negara ini tanpa berbelah bahagi. Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri.

7.5.1 Kesetiaan kepada pemimpin atau ketua di dalam sesuatu organisasi adalah teras kepada kewibawaan, keteguhan, kejayaan, kecemerlangan dan.

7.5.2 Pengikut perlu menunjukkan kesetiaan dan ketaatan kepada ketua kerana organisasi yang berpecah dan tidak setia kepada arahan ketua akan mengalami kehancuran.

7.5.3 Kesetiaan akan membina kepercayaan serta menjalin satu ikatan peribadi antara dua pihak.

7.5.4 Perhubungan dan ikatan yang kukuh melalui kesetiaan perlu dilakukan dengan jujur dan ikhlas terhadap perhubungan sama ada dengan kawan, keluarga atau pemimpin.

7.5.5 Kritikan dan pandangan yang membina perlu diterima dalam perhubungan bagi menterjemahkan kepada kejayaan. Mengkritik secara betul terhadap kesilapan atau kekurangan adalah lambang setia kawan.

7.5.6 Kritikan dalam usaha membina kekuatan perlu dilakukan dengan bijaksana dan dengan niat yang baik agar segala kelemahan dan kesilapan dapat dibaiki untuk kebaikan bersama.

7.5.7 Pemimpin atau ketua sesuatu organisasi perlu menghindari sikap sombong, tidak mahu ditegur atau dikritik.

7.5.8 Kesetiaan perlu disertai dengan keupayaan melaksanakan tugas dengan cemerlang.

7.5.9 Nilai atau ganjaran kepada kesetiaan perlu berasaskan kepada keupayaan, pencapaian dan kemajuan yang dilaksanakan dalam setiap perhubungan.

7.5.10.Kesetiaan atau perhubungan yang membuta tuli tanpa sebarang kemajuan adalah tidak bernilai. Perhubungan yang berasaskan kepada cara mengampu perlu dihindari agar tidak disalah gunakan oleh pihak yang sering mengambil kesempatan.

7.6 MERITOKRASI

Meritokrasi merupakan satu hala tuju yang perlu diamalkan dalam negara demokrasi bagi memastikan mereka yang layak dan memenuhi kriteria diberi peluang untuk memacu pembangunan negara.

7.6.1 Dalam keadaan tertentu terdapat pihak yang kurang bernasib baik
atau ketinggalan seperti masyarakat yang tinggal di kawasan pendalaman, estet-estet dan perkampungan baru adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk membantu golongan tersebut..

7.6.2 Meritokrasi menekankan persaingan secara terbuka berasaskan kriteria-kriteria yang ditetapkan dan sesiapa yang berjaya memenuhi kriteria-kriteria tersebut berhak dipilih.

7.6.3 Dalam melaksanakan prinsip meritokrasi, pemilihan berasaskan prestasi dan budaya cemerlang akan memaksimumkan potensi Malaysia dalam semua bidang.

7.6.4 Dalam aspek pemerolehan kerajaan, pemilihan syarikat untuk ditawarkan kontrak dibuat melalui tender terbuka dan syarikat yang berjaya hendaklah memenuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan.

7.6.5 Dalam pemilihan syarikat, kontraktor, pemberi khidmat, perunding dan sebagainya wajar dilaksanakan melalui persaingan yang menitikberatkan kepada setiap pihak yang bersaing membuktikan potensi yang kecemerlangan masing-masing dan serta memberi tawaran terbaik merangkumi harga, produk, perkhidmatan dan hasil yang dijanjikan.

7.6.6 Prinsip meritokrasi membudayakan masyarakat Malaysia dalam menghadapi cabaran globalisasi/liberalisasi.

7.7 PENDIDIKAN

Pendidikan dan pengetahuan adalah prasyarat penting untuk mana-mana negara mencapai kejayaan. Kekuatan dan ketahanan adalah berasaskan kepada masyarakat yang berpendidikan dan berpengetahuan mengatasi kekuatan ketenteraan.

7.7.1 Negara perlu memiliki masyarakat yang mengutamakan pendidikan dan pengetahuan dari segala-galanya.

7.7.2 Budaya membaca berupaya melahirkan rakyat Malaysia yang mempunyai minda yang sentiasa terbuka.

7.7.3 Sekolah aliran kebangsaan telah ditakrifkan semula untuk memasukkan sekolah vernakular.

7.7.4 Semua aliran, sama ada sekolah kebangsaan , sekolah Cina dan sekolah India hendaklah sentiasa mencari peluang berinteraksi dengan mengadakan aktiviti bersama.

7.7.5 Kurikulum yang dibangunkan untuk ketiga-tiga aliran hendaklah menekankan nilai-nilai bersama yang perlu dipupuk untuk membentuk satu Malaysia.


7.8 INTEGRITI

Adalah penting bagi sesebuah kerajaan untuk mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat. Kepercayaan dan keyakinan diperoleh melalui nilai-nilai integriti. Nilai ini perlu diamalkan oleh semua pihak daripada pemimpin sehingga semua peringkat tanpa mengira kedudukan.

7.8.1 Bersikap jujur terhadap sesuatu tindakan dan percakapan.

7.8.2 Bercakap benar walaupun perkara yang disampaikan itu pahit dan sukar diterima.

7.8.3 Berusaha memperbaiki kesilapan. Setiap perkara atau tindakan yang gagal atau salah perlu diperbaiki bagi mendapatkan hasil yang sempurna.

7.8.4 Menepati janji dan masa adalah sifat mulai yang dituntut dalam agama Islam. Memungkiri janji boleh mengikis kepercayaan dan kesetiaan.

7.8.5 Menerima kritikan dan teguran dengan hati yang terbuka walaupun perkara ini sukar diterima oleh sesetengah pihak. Segala kritikan dan teguran perlu dijadikan iktibar dan panduan untuk membetulkan kesilapan dan kesalahan yang dilakukan

7.8.6 Kelayakan dan kemampuan perlu diberi keutamaan tanpa sebarang kepentingan atau melalui saluran tidak sah.

7.8.7 Mengetepikan kepentingan peribadi dalam segala tindakan dan perlakuan. Kepentingan negara perlu diletakkan mengatasi segala kepentingan lain. Sifat ingin mengutamakan diri, keluarga dan kelompok tertentu perlu dijauhi.


8. KESIMPULAN


Konsep Satu Malaysia akan membawa aspirasi untuk memperkukuhkan hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat sebagaimana kehendak prinsip Rukun Negara. Perkara yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati dan sikap saling mempercayai antara kaum. Rakyat perlu memahami dan mengamalkan bahawa segala tindakan perlulah mengutamakan kepentingan negara.

Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan.

Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Melalui konsep ‘1 Malaysia’ ini tidak akan wujud perasaan tidak berpuas hati kepada mana-mana kaum kerana semua rakyat adalah Bangsa Malaysia dan Rakyat Malaysia yang mempunyai satu hala tuju dan cita rasa untuk bersama memajukan negara.