Tuesday, October 13, 2009

Tangguh Prosiding, HEPA Dituduh Permain Siswa

LEMBAH PANTAI, 12 Okt: Lapan pemimpin mahasiswa Universiti Malaya, UM yang sepatutnya dibicarakan atas pelbagai pertuduhan jam 11 pagi tadi, kecewa apabila mendapat arahan penangguhan serta-merta dari Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) di sini

Salah seorang tertuduh, Muhammad Haafizuddin Abererah, menyifatkan penangguhan tergesa-gesa itu, seperti mempermainkannya.

“Saya bukan datang dari Kerinchi. Saya datang dari Pulau Pinang, Rasa macam ditipu. HEP memang tidak profesional.”

“Setelah lebih setengah jam menunggu, baru Encik Ambhihabathy (pegawai) beritahu perbicaraan ditangguhkan.”

ImageBeliau yang juga mantan Yang Dipertua PMiUM sesi lepas berkata, HEPA sepatutnya memaklumkan lebih awal menggunakan telefon atau sistem pesanan ringkas (SMS), bukannya memberitahu secara tergesa-gesa seperti hari ini.

Ditanya tentang sebab musabah pertuduhan yang dikenakan ke atas dirinya, beliau mendakwa HEPA cuba menguatkuasa undang-undang secara terpilih, sedangkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang baru dipinda membenarkan ahli politik mengakses mahasiswa di Universiti secara intelektual.

“Apa masalahnya kami (PMiUM) jemput Nik Nazmi (Nik Ahmad) merasmikan Mesyuarat Agong (Tahunan), beliau bukannya penjenayah, beliau adalah Adun yang pilih oleh rakyat.”

“Banyak pemimpin Umno, Gerakan masuk ke kampus, HEP tidak pula bising. Bila Nik Nazmi masuk (ke Universiti Malaya), semua bising. Ini penguatkuasaan (AUKU) terpilih namanya,”

Tertuduh yang lain, Abu Ubaidah Amir Abdul Malik, menganggap dakwaan HEPA itu sebagai membalas dendam ke atas dirinya.

“Saya tanya mengapa penangguhan dibuat tergesa-gesa, Pegawai HEPA tidak mahu menjelaskannya,”

Beliau yang juga Pengarah Projek, Mesyuarat Agong Tahunan PMiUM Mac lalu, menganggap HEPA berniat balas dendam ke atas dirinya.

“Mesyuarat kami mendapat kebenaran HEPA. Setelah sekian lama, kami jemput beberapa pegawai HEPA (termasuk) (Profesor Madya) Dr. Azarae Idrus (Timbalan Naib Canselor), tidak juga beri jawapan. Bila kita jemput orang luar, mereka (HEPA) nak balas dendam pula.”

Selain Haafizuddin dan Abu, Pengarah Debat Fakulti Undang-Undang Chan Keng Fai (21), Yang Dipertua PBCUM serta empat OKT yang lain adalah pemimpin Persatuan Bahasa Cina Universiti Malaya (PBCUM).

ImageMenurut salah seorang daripada mereka, PBCUM setakat ini hanya melancarkan bantahan melalui internet.

Mereka yang juga ditemani seorang Peguam, enggan membuat sebarang kenyataan media, kerana bimbang akan mengganggu perjalanan prosiding kelak.

Tinjauan yang dibuat mendapati, keenam-enam OKT PBCUM terbabit juga protes senyap atas tindakan HEPA menangguhkan perbicaraan secara tergesa-gesa tadi.

ImagePengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Mohd Shazni Munir Mohd Ithin dan Pegawai Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER) Ong Jing Cheng turut mengkritik tindakan HEPA mempermainkan sensitiviti OKT terbabit.

Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) Mohd Ridzuan Mohamad yang ditemui kemudian, berjanji untuk mendapatkan maklum balas HEPA berhubung tindakan tidak profsional tersebut.

Haafizuddin dan Abu dituduh bersalah di bawah AUKU kerana membawa Ahli Politik PKR Nik Nazmi Nik Ahmad merasmikan program rasmi Universiti.

Manakala, keenam-enam pemimpin PBCUM mendapat dakwaan yang tidak jauh berbeza; kerana menjelmput Adun Seputeh Teresa Kok dan dan ahli jawatankuasa MCA Pusat Wong Nai Chee sebagai panel Hakim dalam suatu pertandingan debat rasmi Universiti.

Penangguhan prosiding kelapan-lapan OKT itu dibuat dengan tidak memberitahu masa dan hari secara terperinci.

Ianya sekali lagi menyukarkan semua OKT terbabit untuk menghadiri prosiding kelak.

ImageAUKU memperuntukan gantung serta-merta, jika OKT gagal menghadiri prosiding pada masa yang ditetapkan secara mandatori oleh Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT).

Jika mereka dibuktikan bersalah pula, empat pilihan hukuman dikenakan secara bersama atau tunggal ke atas mereka – (1)amaran keras; (2)denda tidak melebihi RM200 per orang; (3)digantung belajar dan hilang kelayakan duduk di Universiti sepanjang tempoh pergantungan; dan (4)dipecat dari Universiti.

Pejabat Timbalan Naib Canselor HEPA Professor Madya Datuk Dr. Azarae Idris cuba dihubungi kemudian untuk mendapatkan maklum balas, tetapi pegawainya enggan membenarkannya.

Seorang Pegawai Keselamatan yang berpakaian biasa (seperti Speacial Branch) memberitahu Azarae ada di pejabatnya, tetapi sedia bertemu mahasiswa sahaja; bukannya pihak media.

Dalam perkembangan berkaitan, lebih 50 aktivis mahasiswa Melayu, Cina dan India melancarkan demontrasi dramatik memprotes amalan tidak profesional HEPA.

Dari simbol-simbol yang dipegang dan dilekatkan pada tubuh mereka, tertulis jangan permain mahasiswa, mahasiswa bukan kambing, bebaskan mahasiswa berikan autonomi kampus, HEPA cawangan Umno di UM; dan banyak lagi.

Perbicaraan kesemua tertuduh itu merupakan insiden malang pertama di Universiti dalam musim pilihanraya kampus tahun ini; kerana HEPA memang dikenali khalayak sebagai agen politik kepartian tertentu seperti siri-siri pilihanraya kampus beberapa tahun lalu.

Sumber : Harakahdaily.net.

No comments: