Saturday, September 5, 2009

H1N1 : Wabak atau Agenda Politik

  1. Fenomena H1N1 semakin hari semakin merebak dalam suasana rakyat Malaysia pada hari ini. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menganggarkan 20 peratus penduduk di Malaysia berisiko untuk terkena virus ini jika tidak ada langkah-langkah serius yang diambil oleh pihak Kementerian Kesihatan khususnya dan penduduk amnya.
  2. Menteri Kesihatan Malaysia Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata “Penularan wabak ini akan berlarutan sehingga 6 bulan hingga setahun lagi . Wabak ini akan merebak dengan cepat lebih-lebih lagi dalam musim tengkujuh.” Hal ini akan menyebabkan rakyat Malaysia akan berada dalam kondisi ketakutan terhadap penularan wabak ini. Justeru satu tindakan tegas perlu direncanakan agar wabak ini dapat dikawal seterusnya dapat dihapuskan sepenuhnya.
  3. Pemakaian topeng muka bukanlah jalan terbaik dalam mencegah wabak ini. Hal ini disebabkan H1N1 boleh merebak melalui sentuhan. Kalau setakat menutup muka tetapi dari segi pemakaian mendedahkan kepada umum nescaya wabak ini akan merebak dengan meluas.
  4. Pengawalan wabak ini perlu diselaraskan dari segenap aspek contohnya aspek etika pemakaian, etika berhimpun dan proses penjagaan kesihatan serta kebersihan diri.
  5. Dasarwarsa wabak H1N1 ini sedikit sebanyak telah menutup kes Teoh Beng Hock. Seperti yang kita tahu bahawa isu Beng Hock ini merupakan isu yang besar dan perlu didedahkan akan kebenaran agar rakyat dapat menilai sesuatu hakikat. Hal ini telah menimbulkan kemusykilan di mana isu Beng Hock ini merupakan isu panas dalam struktur pentadbiran Negara kerana ia melibatkan maruah Negara dan agensi yang bertanggungjawab dalam isu. Gembar-gembur wabak H1N1 sedikit sebanyak telah mengganggu kerancakan rakyat terhadap isu Beng Hock.
  6. Pihak kerajaan perlu memainkan peranan penting dalam menangani wabak H1N1, tetapi langkah-langkah yang diambil masih tidak menyeluruh. Apa yang dilakukan hanyalah memperbesarkan kes H1N1 untuk mengaburi mata rakyat terhadap isu Beng Hock.
  7. Pihak mahasiswa mencadangkan agar pihak kerajaan atau pihak yang terlibat dalam kes H1N1 mestilah berfikiran luas dalam menangani kes ini supaya rakyat tidak menjadi mangsa. Kami tidak mahu pihak tertentu mempolitikkan wabak H1N1 untuk kepentingan peribadi atau kepentingan sesetengah pihak sahaja. Ketelusan mengenai kes Beng Hock perlu didahulukan supaya rakyat tidak memandang sinis terhadap pihak kerajaan.

No comments: