Sunday, June 14, 2009

Haram SIS: MPMUM Sedia Anjur Debat Pas-SIS

By umtoday

Kuala Lumpur| Berikutan usul pengharaman pertubuhan Sister In Islam (SIS) dalam muktamar Parti Islam Se Malaysia (Pas) baru-baru ini, Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM), melalui sayap mahasiswinya iaitu Biro Hal Ehwal Wanita(HELWA) menyatakan secara terbuka kesediaan badan mahasiswi tersebut untuk menganjurkan debat antara parti politik tersebut dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang berteraskan hak asasi wanita Islam berkenaan.



Melalui kenyataan media yang diterima pagi semalam, HELWA menyatakan berpendirian bahawa kefahaman tentang keadilan serta hak asasi manusia tidak boleh disalah-tafsirkan sewenang-wenangnya malah suasana masyarakat kini yang membicarakan berkenaan keadilan dan hak asasi, persoalan ini tidak boleh dipandang remeh dan kecil. Mereka juga bersedia menyediakan medan debat ini bagi kedua-dua pihak menerangkan kedudukan kumpulan masing-masing sebelum perkara ini dibawa kepada Majlis Fatwa Kebangsaan.


HELWA melalui pengerusi biro tersebut, Maryam Muneerah Binti Ahmad bertegas bahawa masyarakat khususnya yang beragama Islam harus diberikan maklumat sebenar tentang kedudukan Sister In Islam. Manakala PAS juga perlu memberi jawapan yang kukuh berkenaan pendirian mereka yang mahu SIS diharamkan. Dalam pada itu, mereka juga bersedia bersemuka dengan kedua-dua belah pihak bagi mendengar pandangan masing-masing bagi menyelesaikan kemelut ini.

Terdahulu, usul tersebut dibangkitkan berikutan kebimbangan parti politik tersebut terhadap tindakan serta kenyataan-kenyataan SIS selama ini yang dianggap mengancam dan mengelirukan akidah masyarakat Islam di Malaysia.

1 comment:

azam said...

Assalamualaikum
Saya rasa pertembungan 2 kumpulan tersebut boleh dilakukan tapi bukan atas sebab untuk berdebat tapi saya rasa elok dipertemukan dengan majlis dialog.Setahu saya debat tidak digalakkan dalam Islam.