Saturday, June 27, 2009

Selamat Datang Teristimewa Buat Mahasiswa Baru UM sesi 2009/2010..



We Unite For UM

Assalamu'alaikum,
Salam sejahtera,
Salam perpaduan,
Salam perjuangan & Selamat memulakan dunia baru di kampus Universiti Malaya teristimewa buat seluruh mahasiswa & mahasiswi baru batch 2009/2010.
Kehadiran kalian amat dinantikan untuk bersama-sama menjulang tradisi kecemerlangan Universiti Malaya.

Kami di peringkat barisan Majlis Tertinggi Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) sesi 2008/2009 mengharapkan saudara & saudari sekalian dapat memanfaatkan Minggu Haluan Siswa kali ini dengan sebaiknya.
Apa yang baik dijadikan teladan, yang sebaliknya dijadikan sempadan. Era kini menuntut mahasiswa berfikir dahulu menggunakan minda kelas pertama sebelum membuat sebarang tindakan.

Di kampus, saudara saudari berhak untuk menyatakan ”TIDAK” dan mempersoalkan apa-apa sahaja sekiranya nampak perkara tersebut bertentangan dengan batas-batas agama, kemanusian dan sewaktu dengannya.

Saudara saudari perlu keluar dari kepompong, kini anda bukan budak sekolah lagi, yang hanya mengikut dan terus mengikut tanpa menggunakan anugerah yang teristimewa pada insan iaitu akal. Jangan jadi seperti lembu yang ditusuk hidung...

Mahasiswa perlu berwawasan dan berjiwa besar untuk menjadi negarawan Malaysia yang mempunyai sahsiah yang terpuji. Universiti bukan sahaja merupakan pentas untuk menimba ilmu pengetahuan semata-mata sahaja tetapi juga untuk membina peribadi dan perwatakan anda.Universiti Malaya umpama kilang yang menghasilkan produk negarawan Malaysia yang berkaliber seperti Datuk Ahmad Shabery Cheek, Dato Haji Husam Musa, Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom, Dato Seri Anwar Ibrahim , Tun Abdullah Ahmad Badawi, Professor Diraja Ungku Abdul Aziz dan ramai lagi.
Jadikan varsiti Malaya sebagai medan untuk menggilap kepimpinan anda.

We Unite For UM.

Thursday, June 25, 2009

Press Conference Isu Di SELATAN THAI...


Kenyataan Media
PERGOLAKAN DAN PERTUMPAHAN DARAH YANG BERLAKU DI SELATAN THAI
OLEH :Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) &
Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM)
Pada 25 Jun 2009, Khamis , Universiti Malaya.

Pendahuluan

Pada 9 Jun 2009, sekali lagi dunia telah digemparkan dengan berita ’11 jemaah termasuk imam ditembak mati ketika sedang solat Isyak di Selatan Thailand’. Kejadian yang berlaku di Masjid Al-Furqan, Kampung Air Tempayan kira- kira 50 kilometer dari Sungai Golok telah menambahkan jumlah kematian orang Islam yang mencecah lebih 3700 orang sejak konflik pada tahun 2004 bermula.
Mahasiswa melihat jumlah kematian yang hampir mencapai 4000 orang adalah sesuatu yang serius dan di khuatiri kejadian yang lebih buruk akan menyusul lagi dan tiada pengakhirannya. Tambahan lagi, mereka yang terkorban ini bukan sahaja saudara seagama kita, bahkan mereka juga merupakan sebahagian dari rumpun Melayu kita.

Punca krisis selatan Thailand


Wilayah selatan Thailand terdiri daripada Pattani, Narathiwat dan Yala merupakan sebahagian daripada Tanah Melayu tetapi telah diserahkan oleh British kepada kerajaan Thailand menerusi Perjanjian Bangkok 1909. Sehingga hari ini, wilayah tersebut kekal di bawah jajahan Thailand.
Antara dakwaan yang menyebabkan konflik ini berlaku ialah faktor sejarah termasuk kependudukan yang berlangsung selama 200 tahun, imperialisma ekonomi dan budaya di Pattani, ketidak hormatan terhadapan agama Islam termasuk menubuhkan bar atau kelab- kelab malam di kawasan Muslim, penyalahgunaan kuasa dan korupsi.
Jadi pada tahun 1970 sebuah kumpulan bersenjata yang bernama Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani (PULO) telah ditubuhkan untuk tujuan kemerdekaan daerah- daerah selatan Thailand termasuk Pattani, Yala dan Naratiwath daripadan kerajaan Thailand yang tidak sama cara hidup dengan meraka. Mereka juga mendakwa bahawa kemerdekaan sepatutnya milik mereka berdasarkan faktor sejarah yang telah disebutkan.

PENDIRIAN MAHASISWA:

Kembalikan Keamanan Umat Islam Selatan Thailand
Mahasiswa beranggapan bahawa pembunuhan yang berlaku ini adalah di sebabkan dendam dari pihak kerajaan terhadap golongan pemisah yang telah membunuh rakyat Buddha, guru- guru dan sami- sami Buddha satu ketika dulu.
Justeru, mahasiswa akan menyerahkan memorandum kepada Kedutaan Thailand dengan membawa beberapa tuntutan bagi memastikan keamanan kepada umat Islam di Selatan Thailand khususnya dikembalikan.

Berikut adalah tuntutan-tuntutan Mahasiswa terhadap isu yang berlaku ini:

1) Mahasiswa menuntut agar Selatan Thailand dimerdekakan.
2) Keamanan rakyat selatan Thailand yang dirampas perlu dikembalikan.
3) Kami mendesak agar pemimpin Thailand menarik tentera dari Selatan Thailand
4) Pemimpin Thailand hendaklah mengenakan hukuman yang berat terhadap dalang yang terlibat dalam kes pembunuhan ini.
5) Kembalikan hak asasi penduduk Selatan Thailand.

Sebagai tanda prihatin Mahasiswa terhadap nasib umat islam di selatan Thailand peringkat mahasiswa akan melancarkan kutipan derma besar-besaran untuk membantu nasib mereka yang tertindas di sana.

Disediakan oleh;
Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS)
Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM)

Wednesday, June 24, 2009

Ada apa dengan 24 jun 1987???


Thanks Spongebob (^_^)

Tanggal 24 jun 1987 bermula lah kembara penulis di dunia yang fana ini…
Suka duka sepanjang hidup ini banyak mengajar erti kehidupan yang hakiki..

Terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada bondaku Nor’aini bt Abdul Rashid & ayahandaku Ilyas bin Abrahim... Jasa bonda & ayahanda tidak terbalas. Segala jasa baik hanya Allah yang mampu membalasnya. Minta maaf sekiranya anakanda jarang pulang ke kampung halaman , keberadaan di Kuala Lumpur ini InsyaALLAH dimanfaatkan sepenuhnya untuk berbakti kepada agama, bangsa & negara..
Terima kasih kerana tidak jemu-jemu mendoakan anakanda di sini...

Tidak lupa my bro yang chubby, sekarang sedang membesar dan semakin membesar....Mohamad Amsyar @ Amjad.... Maaf abang balik rumah sekejap saja,
InsyaALLAH , jika ada kelapangan, abang akan pulang & kita sama-sama lawan tenis k, pasni abang akan rampas ranking pemain tenis nombor 1 dunia yang dipegang Roger Federer...

Penghargaan

Terima kasih kepada teman2 yang mengingati tarikh ini....
Minta maaf seandainya sepanjang perkenalan, bersama-sama mengharungi liku-liku dalam perjuangan ini, ada sebarang kesalahan yang penulis lakukan secara sedar atau tidak... InsyaALLAH, penulis maafkan sesiapa sahaja yang pernah melakukan dosa kepada penulis...

Sudah genap 22 tahun penulis bermukim di atas muka bumi ALLAH ini...
Setiap pengalaman mematangkan penulis... Biar usia setahun jagung, tapi pemikiran menjangkau seperti orang yang berusia 40 tahun..

Semakin bertambah umur penulis, semakin dekat tarikh kematian penulis....

“Ya Allah sesungguhnya aku memohon cinta kepada-Mu dan orang-orang yang mencintaimu serta cinta yang dapat mendekatkan aku kepada Cinta-Mu Ya Allah hidupkanlah hatiku dengan Cinta-Mu dan jadikanlah aku bagi-Mu seperti yang engkau Cintai dan Redhai”

Saturday, June 20, 2009

XPDC ke Sg. Chilli...

17 jun 2009

Ketika teman-teman sekalian berada di kampung halaman bersama keluarga tercinta, Seramai 10 orang pimpinan MPMUM sesi 2008/2009 telah menjayakan ekspidisi meneroka Hutan Simpan Sg. Chilli. Di bawah gambar2 sekitar journey kami....


Wooi Keat, Fitrah, Timothy, Zilah, Dayah, Boon, Maryam,Bee San, Helmy dan termasuk penulis telah mengadakan jungle tracking di Sg Chilli, Kuala Kubu Baru….


Program ini merupakan salah satu program dalam bengkel MPMUM semasa cuti semester ini. Kami telah berjaya merentasi 6 lintasan sungai sebelum sampai ke kawasan waterfall...



Objektif program ini lebih kepada binding teamwork…. Rugi siapa yang tidak pergi.... memang best walaupun penat...


" Together Upholding the Tradition of Excellence "


We Unite Together


Baik untuk kesihatan


Terbang mencari kebebasan....

Thursday, June 18, 2009

Memoir seorang aktivis mahasiswa UM


Sedar tidak sedar sesi 2008/2009 sudah melabuhkan tirai. Persoalannya, Apa yang telah ku sumbang pada agama, masyarakat & negara??? Sudah cukupkah apa yang telah ku beri selama ini pada mereka yang sepatutnya mendapat hak-hak mereka???

Imbas semula, bila ku renungi saat-saat aku diumumkan sebagai calon pilihan raya kampus yang mendapat undian tertinggi. Hanya air mata jernih dan Dewan Tunku Canselor (DTC) yang menjadi saksi perasaan ku tika itu. Semuanya berkat usaha & doa mak ayah, keluarga serta teman-teman seperjuangan.

Sekadar berkongsi pengalaman, mungkin ramai yang tidak tahu, sebelum aku mengisytiharkan untuk bertanding pada pilihan raya kampus yang lepas, banyak ujian yang ku tempuhi. Ada satu ketika, sebelum azan Maghrib berkumandang, terdengar deringan telefon rumahku, lantas ku terus mengangkat dengan kadar segera. Tetapi tiada kedengaran sebarang suara. Diam menyepi. Kali kedua mak ku sendiri yang menjawab, baru lah terdengar suara orang berbual secara dua hala. Rupa-rupanya pegawai polis dari Bukit Aman menghubungi ayahku dan salah satu petikan yang sempat ku rakam menyatakan, ”Jaga anak encik, elok-elok. Jika tidak, gelap masa depan.”
Aku berbisik dalam hati, ”Dia ingat, masa depan dan rezeki ku dia yang tentukan!!!”. Boleh rosak aqidah seseorang Muslim sekiranya percaya rezeki, manusia yang tetapkan.


Mak dan ayah mana yang tidak risaukan anaknya. Aku tidak mahu mengeruhkan keadaan, lantas terus memacu motosikal yang banyak berjasa terus ke rumah Allah bersama adikku untuk solat Maghrib secara berjemaah dan mendengar kuliah agama. Kebetulan pada malam itu penceramah berbicara tentang perjuangan Nabi Ibrahim dan mehnah serta tribulasi yang diharungi Nabi Ibrahim dalam perjuangannya menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini.
Aku bermonolog dalaman, ”Ustaz ni macam tahu-tahu je masalah yang aku hadapi”. Sekurang-kurangnya dapat menenangkan hati ku yang berbolak-balik ini.

Aku dapat merasakan ada pihak yang menyamar menjadi pegawai polis Bukit Aman. Aku tidak kisah kerana di akhirat kelak semua manusia daripada umat Nabi Adam sehinggalah umat Nabi Muhammad yang terakhir akan menyaksikan secara langsung siapa dalang yang sebenar disebalik peristiwa ini. Sampai tahap begini manusia sekarang tergamak melakukan demi kepentingan diri, status dan pangkat. Bahkan lebih daripada ini mereka sanggup lakukan demi mendapatkan apa yang mereka mahu. Masyarakat kini tidak ubah seperti masyarakat Jahiliyah. Kita boleh kategorikan sebagai masyarakat Jahiliyah Moden.

Padaku ini hanya sekelumit ujian, jika nak bandingkan dengan Pesuruh Allah, Nabi Muhammad SAW yang diiktiraf Michael H. Hart sebagai Seratus Tokoh yang Paling Berpengaruh dalam Sejarah :
”Jatuhnya pilihan saya kepada Nabi Muhammad dalam urutan pertama buku ’Seratus Tokoh yang Berpengaruh di Dunia’ mungkin mengejutkan sementara pembaca dan mungkin jadi tanda tanya sebahagian yang lain. Tapi saya berpegang pada keyakinan saya, dialah Nabi Muhammad satu-satunya manusia dalam sejarah yang berhasil meraih kejayaan-kajayaan yang luar biasa baik dinilai daripada ukuran agama mahupun ruang lingkup duniawi”.

Ujian ini ibarat hujung kuku sahaja. Perjalanan ku masih jauh dan banyak lagi liku-liku yang perlu ku lalui dan rentasi.

Kini pundak ku semakin berat apabila dipertanggungjawabkan memimpin Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM). Ini kerana, PMIUM Bukan lah persatuan biasa, ianya merupakan entiti yang sentiasa bergerak. Gerakan ini tidak akan lumpuh sehingga sampai satu tahap PMIUM ini diharamkan. Ia akan tetap bergerak dan terus bergerak untuk memperjuangkan nasib agama, bangsa dan negara Malaysia yang tercinta.

Amanah ini satu azab......
Masih belum terlambat untuk ku tebus segala amanah yang masih belum tertunai. Masih berbaki satu semester untuk berbakti dan memberi perkhidmatan yang terbaik untuk semua.

Apa yang penting???
Kerjasama & kebersamaan daripada semua untuk mengisi kemenangan....yang paling utama agar kita semua tidak dizalimi dan ditindas dengan sewenang-wenangnya oleh mana-mana pihak...kebajikan anda kewajipan ku...

Tuesday, June 16, 2009

Kerajaan Perpaduan Dan Persaudaraan Islam - Dr. Asri

Istilah ‘kerajaan-perpaduan’ menjadi panas. Saya sendiri tidak pasti apakah maksudnya. Mungkinkah ia seperti ‘Islam Hadhari’ yang muncul istilah dahulu, maksudnya dicari kemudian. Apapun bagi saya, sebagai seorang muslim saya amat gembira dan bahagia jika sesama muslim dapat berdamai dan mencari jalan ke arah kemaslahatan umat.

Orang yang enggan melihat sesama muslim cuba berdamai ialah manusia yang dirasuk syaitan samada disebabkan dendam kesumat yang tidak habis-habis atau fanatik yang bukan-bukan, atau buruk sangka yang tiada tepinya. Melainkan jika dia dapat buktikan bahawa perbalahan sesama muslim itu lebih besar kebaikan daripada perdamaian. Allah menyebut: (maksudnya)

“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat” (Surah al-Hujurat: ayat 10).

Jika dahulu perkataan ‘asabiyyah’ itu diwakili oleh ketaksuban kepada kaum atau kabilah sehingga berlaku perbalahan dan peperangan, namun hari ini ‘asabiyyah’ itu menjelma dalam bentuk parti, kumpulan, jamaah dan berbagai lagi bentuk perkumpulan manusia. Lalu manusia berbalah kerananya. Nabi s.a.w bersabda:

“…Sesiapa yang berperang di bawah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada ‘asabiyyah atau marah kerana ‘asabiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah”. (riwayat Muslim).

Dalam riwayat yang lemah sanadnya (tetapi dikuatkan dengan hadis tadi) dikatakan Nabi bersabda:

“Bukan di kalangan kami sesiapa yang menyeru kepada ‘asabiyyah, bukan sesiapa yang berperang atas ‘asabiyyah, dan bukan di kalangan kami sesiapa yang mati atas ‘asabiyyah” (Riwayat Abu Daud).

Penyakit ‘asabiyyah bukan sahaja dalam bentuk perkauman arab, atau parsi atau melayu tetapi juga dalam parti-parti yang dibentuk dibawah nama ‘demokrasi’ hari ini. Segala prinsip dan kewarasan hilang hanya disebabkan ketaksuban kepada parti atau kebencian kepada ‘pesaing parti’. Sehingga yang kononnya berjuang untuk arab atau melayu boleh berpakat dengan bukan orang lain untuk menindas kaumnya.

Demikian yang kononnya berjuang untuk Islam boleh berpakat dengan bukan Islam untuk bermusuhan dengan orang Islam. Bahkan ada yang kuat ‘kebangsaannya’ boleh menghina bangsanya hanya kerana berbeza parti. Bagitu yang kononnya kuat Islam bukan berkawan dengan sosialis, kapitalis, bahkan anti-negara Islam, tetapi berang jika diajak berdamai dengan orang Islam. Parti telah membentuk ‘asabiyyah yang menakutkan dan mencerai-beraikan orang Islam.

Saya amat berharap umat Islam dalam negara ini keluar dari kemaslahatan parti kepada kemaslahatan umat yang lebih besar daripada parti. Nabi s.a.w memuji al-Hasan bin ‘Ali disebabkan beliau telah melakukan tindakan yang menyebabkan perbalahan antara penyokong Mu’awiyah r.a. dan penyokong ‘Ali r.a dapat diredakan. Abu Bakrah r.a menyebut: “Aku melihat Rasulullah s.a.w. di atas mimbar sementara al-Hasan bin `Ali berada di sebelahnya. Baginda menghadap ke arah orang ramai dan kemudian kepada al-Hasan, lalu bersabda: “Sesungguhnya anakku ini adalah seorang tuan, mudah-mudahan Allah mendamaikan dengannya dua puak yang besar daripada orang-orang Islam” (Riwayat al-Bukhari). Hadis ini menjadi kenyataan apabila Saiyyidina Hasan telah mengundur diri dari kerusi pemerintahan dan menyerahkannya kepada Mu`awiyah selepas kewafatan ayahnya Saiyyidina `Ali. Mu`awiyah dengan itu menguasai pemerintahan sepenuhnya dan tahun tersebut dinamakan oleh orang Islam iaitu “tahun perpaduan” (Ibn Kathir, Al-Ba`ith al-Hathith, m.s. 177, Beirut: Dar al-Fikr). Di samping itu, Mu`awiyah sendiri mempunyai hasrat perpaduan di mana beliau berkata:”Siapa yang akan menjamin orang Islam (sekiranya dibunuh ayah-ayah mereka)” (Riwayat al-Bukhari). Ibn Taimiyyah dalam ulasannya menyebut: “Nabi s.a.w. memuji al-Hasan kerana perdamaian yang dilakukannya dan menamakannya sebagai sayyid iaitu `tuan’. Ini kerana, Allah dan RasulNya suka dan redha terhadap apa yang al-Hasan lakukan. Andainya peperangan yang berlaku antara orang Islam itu diperintah oleh Allah dan RasulNya, tentu Rasulullah tidak akan memuji langkah perdamaian yang diambil oleh al-Hasan. Kalau peperangan itu suatu yang disuruh oleh Allah dan RasulNya, bererti al-Hasan telah meninggalkan suatu kewajipan atau perkara yang disukai Allah. Hadis ini adalah dalil yang jelas bahawa apa yang dibuat oleh al-Hasan adalah sesuatu yang terpuji.”(Ibn Taimiyyah, Al-Khilafah wa al-Mulk, m.s. 84).

Di Malaysia, kita tidak pun tidak mengharapkan parti-parti umat Islam ini menyerah kuasa antara satu sama lain. Ya, kita perlukan imbangan kuasa antara kerajaan dan pembangkang. Apa yang kita harapkan mereka dapat duduk semeja membincangkan tentang maslahat umat ini terutama yang membabit isu-isu khusus umat Islam. Apakah langsung tidak persamaan pendirian atau sikap antara UMNO dan PAS dalam isu-isu khusus? Kita boleh berbeza atau berselisih sekalipun, tetapi kena ada titik-titik persamaan mengenai kemaslahatan umat dan rakyat. Berfikirlah atas landasan nas dan ukhuwwah islamiyyah melebihi sikap ‘tegar’ yang hanya mengikat diri dengan belenggu kepartian semata-mata. Islam itu bukan sekadar politik, Islam juga akidah, akhlak, ekonomi, pendidikan dan berbagai lagi. Apakah dalam keadaan gentir ini tiada langsung nafas untuk memikirkan kemaslahatan umat dalam masalah-masalah khusus kita? Jika UMNO dan PAS boleh duduk bermesra dan bermanis dengan mereka yang berbeza prinsip dan perjuangan, apakah langsung tiada ruang sesama mereka. Marilah kita bimbangi apa yang Nabi s.a.w sebut:

“Manusia yang paling Allah benci ialah yang berkeras kepala dalam perbalahan” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Sebab itu ketika saya bersembang panjang dengan Tun Abdullah di London dua minggu lepas, saya mencadangkan agar duduklah UMNO dan PAS berbincang dalam perkara-perkara di luar isu politik. Belajar faham memahami antara satu sama lain. Niatkan kerana Allah, bukan kerana parti.

Jika pun mereka pernah ada rekod buruk perdamaian sebelum ini, namun zaman dan masa sudah berbeza. Semalam sudah tidak sama dengan hari ini. Hari ini manusia lebih matang dan keadaan lebih getir. Jangan lagi berbincang bermula dari titik tolak kuasa, tetapi berbincang dari titik kemaslahatan umat. Jika benar ada keikhlasan, keberkatan akan datang. Jika niat ikhlas inginkan perdamaian, Allah akan membuka jalan kebaikan. Kalau kuffar musuh Islam ingin berdamai, kita disuruh sahut perdamaian. Inikan pula sesama muslim. Firman Allah: (maksudnya)

“Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakalah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui” (Surah al-Anfal, ayat 61).

Ada pihak yang berkata perdamaian antara parti-parti orang Islam akan memangsakan orang ‘lain’. Saya hairan, apakah setiap kali jika dua golongan berunding maka pihak lain pasti menjadi mangsa?. Saya fikir jika muslim yang berbicara demikian, dia seorang yang sama dengan pengikut Abdullah bin Saba yang mencetuskan peperangan antara ‘Ali dan ‘Aishah. Mereka itu apabila melihat ‘Ali berdamai dengan ‘Aishah r.ha, mereka mencetuskan serangan mengejut sehingga mengheret umat Islam bertempur sesama sendiri.

Menurut Ibn Kathir (meninggal 774H), apabila mendengar keputusan `Ali untuk berdamai, mereka yang terlibat dalam peristiwa pembunuhan `Uthman iaitu para pemberontak yang ada di dalam tentera `Ali menjadi takut. Mereka berbincang sesama sendiri dan berkata: “Mereka telah berdamai atas darah-darah kita”. Maksud mereka perdamaian ini bererti senjata akan dihalakan pula ke arah mereka.. mereka terus berbincang, akhirnya `Abd Allah bin Saba’ mencadangkan agar mereka memulakan api peperangan agar peperangan tetap tercetus..sebelum menjelangnya waktu subuh mereka telah melancarkan serangan terhadap tentera-tentera `Aisyah dan `Ali secara serentak menyebabkan kedua-dua pihak menyangka bahawa pihak yang satu lagi telah mungkir janji. Tentera `Aisyah telah menyatakan: “Tentera `Ali telah menyerang kita”. Sementera tentera `Ali pula menyatakan: “Tentera `Aisyah telah menyerang kita”. Maka tercetuslah peperangan Jamal yang menyebabkan kematian yang begitu banyak…(al-Bidayah wa al-Nihayah 7/249, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Kata Winston Churchill: “History repeats itself because no one was listening the first time”.

-Dr. Asri

Sunday, June 14, 2009

Haram SIS: MPMUM Sedia Anjur Debat Pas-SIS

By umtoday

Kuala Lumpur| Berikutan usul pengharaman pertubuhan Sister In Islam (SIS) dalam muktamar Parti Islam Se Malaysia (Pas) baru-baru ini, Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM), melalui sayap mahasiswinya iaitu Biro Hal Ehwal Wanita(HELWA) menyatakan secara terbuka kesediaan badan mahasiswi tersebut untuk menganjurkan debat antara parti politik tersebut dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang berteraskan hak asasi wanita Islam berkenaan.



Melalui kenyataan media yang diterima pagi semalam, HELWA menyatakan berpendirian bahawa kefahaman tentang keadilan serta hak asasi manusia tidak boleh disalah-tafsirkan sewenang-wenangnya malah suasana masyarakat kini yang membicarakan berkenaan keadilan dan hak asasi, persoalan ini tidak boleh dipandang remeh dan kecil. Mereka juga bersedia menyediakan medan debat ini bagi kedua-dua pihak menerangkan kedudukan kumpulan masing-masing sebelum perkara ini dibawa kepada Majlis Fatwa Kebangsaan.


HELWA melalui pengerusi biro tersebut, Maryam Muneerah Binti Ahmad bertegas bahawa masyarakat khususnya yang beragama Islam harus diberikan maklumat sebenar tentang kedudukan Sister In Islam. Manakala PAS juga perlu memberi jawapan yang kukuh berkenaan pendirian mereka yang mahu SIS diharamkan. Dalam pada itu, mereka juga bersedia bersemuka dengan kedua-dua belah pihak bagi mendengar pandangan masing-masing bagi menyelesaikan kemelut ini.

Terdahulu, usul tersebut dibangkitkan berikutan kebimbangan parti politik tersebut terhadap tindakan serta kenyataan-kenyataan SIS selama ini yang dianggap mengancam dan mengelirukan akidah masyarakat Islam di Malaysia.

Saturday, June 13, 2009

Mufti sokong majlis fatwa siasat SIS -malaysiakini-

12 JUN 2009-Mutfi Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria bersetuju dengan gesaan PAS supaya pertubuhan wanita terkenal Sisters ini Islam (SIS) disiasat berhubung dakwaan menggugat akidah Islam.

"Saya setuju dibuat siasatan (terhadap SIS)," katanya, sambil menyifatkan usul yang diluluskan di muktamar PAS itu "bagus".

Harussani, seorang anggota Majlis Fatwa Kebangsaan, berkata terdapat beberapa tafsiran SIS, antaranya berkaitan isu poligami dan pembahagian harta pusaka berbeza dengan pandangan sedia ada.

"Saya baca-baca (kenyataan SIS), nampak lain sikit, buang (membelakangkan) ayat al-Quran (dalam dua isu ini)," katanya kepada Malaysiakini petang ini.

Ditanya sama ada beliau akan membawa cadangan menyiasat SIS untuk dibincangkan dalam muzakarah majlis fatwa yang akan datang, Harussani berkata:

"Ada bahagian kajian di Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia). Kertas (kajian) patut dikemukakan mereka terlebih dahulu.

"Hendak bermuzakarah mestilah ada kertas."

Tambahnya, dalam Islam, merumuskan sesuatu hukum "tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa."

Walaupun pihak lain seperti mufti boleh membentangkan kertas mereka sendiri untuk dibincangkan, tambahnya, lebih baik kemudahan dan kepakaran Jakim digunakan bagi tujuan itu.

Ahad lalu, usul yang dibawa PAS Shah Alam diterima tanpa bahas di hari terakhir di muktamar ke-55 berbunyi, antara lain:

"(Muktamar) mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan membuat penyelidikan ke atas SIS yang membawa aliran Islam liberal.

"Dan seterusnya mengharamkan pertubuhan tersebut sekiranya terbukti bertentangan dengan syariat Islam serta membuat program pemulihan ke atas ahli-ahlinya."

Menurut usul itu juga, aliran dan pandangan yang dibawa oleh SIS didakwa boleh mengelirukan masyarakat dan pemikiran SIS didakwa "mudah meresapi pemikiran dan meracuni akidah umat Islam" terutamanya golongan muda dan golongan yang berpendidikan sekular.

Gesaan menyiasat dan mengharamkan SIS antara 12 usul yang diterima tanpa bahas di muktamar tersebut.

Ia bagaimanapun mendapat bantahan meluas daripada pemimpin-pemimpin Pakatan, yang disertai PAS, dan sejumlah NGO.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga membantah cadangan tersebut.

PAS Shah Alam semalam menyatakan hasratnya untuk menarik balik sebahagian perkataan dalam usul tersebut, antaranya "mengharamkan", dengan alasan ia tidak sempat dimuktamadkan sebelum dibawa ke mukamar.

Yang Dipertuanya, Khalid Samad dijadual mengadakan sidang akhbar 2 petang Ahad ini bagi menjelaskan lagi kontroversi usul tersebut.

Sister In Islam: Pandangan Mereka Tentang Tudung dan Aurat Wanita


Ringkasan pendapat mereka tentang aurat muslimah/tudung:

1. Pakaian tidak mencerminkan keimanan seseorang.

2. Menentang undang-undang tentang tentang pakaian wanita (kod etika dalam berpakaian). Bagi mereka wanita berhak menentukan bentuk pakaian yang mereka hendak pakai berdasarkan keimanan masing-masing. Undang-undang adalah bentuk paksaan. Paksaan adalah bertentangan dengan Islam

3. Menyangkal pandangan bahawa al-Quran secara jelas dan terang menentukan bentuk pakaian muslimah.

4. Menganggap bahawa penafsiran tentang pakaian muslimah sering dilihat dalam konteks budaya dan sejarah Arab kurun ke 7 Masihi.

5. Menurut mereka: Jenis pakaian yang dipanggil jilbab ini, yang dipakai oleh wanita bangsawan Arab Jahiliyyah, menandakan mereka sebagai wanita terlindung dan mesti dihormati di khalayak ramai. Akhirnya pakaian ini telah dijadikan pakaian yang dianggap sopan di zaman Nabi saw. Surah al-Ahzab, 33:59 memerintah kaum muslimat supaya memakai pakaian seperti ini. Dengan itu mereka akan dihormati dan tidak akan diganggu. Prinsip sejagat yang terdapat pada ayat tersebut adalah sikap menghormati kaum wanita, bukannya pemakaian jilbab, yakni pakaian yang khusus untuk satu budaya dan sejarah yang tertentu.

Kita boleh melihat pegangan mereka tentang penutupan aurat perempuan, pemakaian tudung atau hijab melalui kenyataan-kenyataan rasmi mereka di bawah ini:

----------------------------------------

Dipetik dari: http://www.sistersinislam.org.my/BM/skp/11111991.htm

Pakaian dan Wanita Islam

11 November 1991

Masalah pakaian wanita memang selalu merupakan perkara yang penting dalam perlaksanaan Syari'ah Islam, baik di negara ini mahupun di luar negeri. Malah ada pihak-pihak tertentu secara berlebih-lebihan menganggap cara berpakaian tertentu itu mencerminkan iman seseorang.

Salah satu kesan obsesi yang demikian itu adalah banyaknya usaha yang dilakukan bagi menguatkuasakan keimanan melalui cara-cara kuku besi. Paksaan bercanggah dengan semangat al-Qur'an yang menyatakan bahawa tidak terdapat paksaan di dalam agama (Surah al-Baqarah, 2:256; Surah Yunus, 10:99-100; Surah al-Ghashiyah, 88:22).

Kaum wanita telah diberitahu bahawa suatu cara berpakaian yang tertentu akan melindungi mereka dari kejahatan. Namun hakikat sosial menunjukkan bahawa cara berpakaian tidaklah mampu melindungi kaum wanita dari keganasan nafsu lelaki.

Sebenarnya bagi perlindungan kemuliaan kaum wanita, al-Qur'an (Surah an-Nur, 24:30-31) terlebih dahulu memerintah kaum lelaki, jika mereka beriman, supaya merendahkan pandangan mereka, demi menjaga kesopanan diri sendiri. Namun sejumlah kaum lelaki tidak mengendahkan tanggungjawab ini, dan sebaliknya memaksa kaum wanita supaya memakai berbagai bentuk pakaian yang menyelubungi tubuh mereka - dari hujung rambut hingga ke hujung kaki- dan pelbagai bentuk pengasingan dan pingitan. Kepada wanita telah diberikan tangggungjawab membendung nafsu kaum lelaki dan segala kemungkinan tidak upayanya pihak lelaki mengawal nafsu masing-masing.

Oleh yang demikian, kenyataan-kenyataan vang dikeluarkan oleh kerajaan Kelantan telah memindahkan tanggungjawab menjaga kesopanan akhlak dari kaum lelaki. Sebaliknya, yang lebih diberatkan adalah jumlah kain yang perlu untuk menutup tubuh wanita, sama ada mereka beragama Islam atau tidak, supaya dapat meneruskan aturan akhlak yang menurut mereka telah ditentukan oleh Islam.

Al- Qur'an dan Sunnah menyeru supaya wanita diberi layanan yang mulia dan penuh kehormatan. Layanan sebegitu harus dipraktikkan terlebih dulu oleh lelaki yang beriman, yang menjadi sasaran ayat-ayat yang telah disebutkan di atas. Namun demikian, perintah ini diabaikan bukan berasaskan tujuan al-Qu'ran dan Sunnah, tetapi kerana kaum lelaki yang berkuasa. Kerana enggan mematuhi tanggungjawab sendiri untuk merendahkan pandangan dan melindungi kesopanan sendiri, sebahagian kaum lelaki mahukan semua wanita berselubung setiap kali meninggalkan rumah.

Dalam kebanyakan masyarakat Islam, kaum lelaki menguasai kaum wanita, baik dari segi politik mahupun sosial, dan penguasaan ini telah disalah tanggap sebagai kuasa yang halal.

Institusi-institusi telah dibentuk bagi menyokong dan mengukuhkan lagi prasangka-prasangka kaum lelaki tersebut. Ini membolehkan mereka mengelakkan tanggungjawab mereka sendiri terhadap Allah swt dan terhadap umat manusia amnya.

Sungguhnya, prasangka-prasangka ini telah diajukan seolah-olah seperti perintah dari Allah swt sendiri.

Dalam gerakan kebangkitan semula Islam, isu pakaian wanita telah diberi keutamaan, mengatasi isu-isu sosial yang lain. Kesopanan dan keimanan wanita Islam itu kononnya dapat dikenali semata-mata berasaskan panjang kain yang membaluti tubuhnya.

Meskipun pakaian merupakan sebahagian dari identiti dan lambang kebudayaan, namun hak seseorang wanita untuk menentukan sendiri bentuk pakaiannya langsung tidak dihormati.

Sungguhpun Islam bertujuan mencapai taraf akhlak yang tertentu (antara lain termasuklah soal pakaian), namun gerakan kebangkitan Islam mengenepikan segala yang lain itu, dalam keghairahan mereka terhadap tubuh wanita dan kedudukan sosial mereka sendiri.

Jika wanita digalakkan memahami sepenuhnya ayat-ayat al-Qur'an dan hadith-hadith mengenai persoalan pakaian dan isu-isu kesopanan yang berkenaan, seperti zinat (perhiasan) dan tabarraj (menunjukkan kecantikan dan perhiasan), maka mereka tentulah akan mampu membuat pilihan sendiri berdasarkan keimanan mereka sendiri, dan bukan kerana paksaan politik atau institusi.

Wanita-wanita Islam harus memilih pakaian mereka berasaskan iman. Pilihan yang dipaksakan tidaklah suatu tindakan yang berasas moral. Sebenarnya, pemaksaan yang sedemikian bercanggah dengan semangat kebebasan dalam Islam, yang berasaskan akal fikiran dan kebebasan sebagai asas pegangan akhlak manusia.

Memaksakan satu pilihan terhadap kaum muslimat - yakni pilihan kaum lelaki - sehingga mereka tidak langsung mempunyai pilihan sendiri, bererti mencabul perkembangan iman mereka yang lahir dari kesedaran sendiri.

Paksaan menafikan keperibadian diri kaum wanita, hak mereka untuk penyertaan sosial sepenuhnya, malah kewujudan mereka sebagai sebahagian daripada ciptaan Allah swt, sebagai individu yang dicipta dengan hak-hak istimewa yang tidak boleh dipisahkan, sebagai manusia yang mampu berfikir dan membuat perhitungan sendiri.

Sisters in Islam

Surat ini telah diterbitkan dalam Utusan Malaysia dan The New Straits Times.

--------------------

Petikan: http://www.sistersinislam.org.my/BM/skp/08081997.htm

Kesopanan dan Kesederhanaan Pakaian dalam Islam

8 Ogos 1997

Kontroversi baru-baru ini di sekitar penangkapan dan pendakwaan tiga peserta Muslim pertandingan ratu cantik Miss Malaysia Petite, telah mendorong Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Hamid Othman, memanggil kesemua ketua jabatan agama Islam negeri untuk menghadiri satu mesyuarat pada bulan ini bagi menyelaraskan garis panduan dan cara penguatkuasaan undang-undang mengenai pakaian dan kelakuan orang-orang Muslim. Beliau berkata mesyuarat ini akan menerangkan apakah yang dimaksudkan dengan pakaian dan kelakuan sumbang sebelum undang-undang mengenainya dikuatkuasakan di seluruh negara.

Sungguhpun cadangan ini mempunyai para penyokongnya, namun begitu, terdapat pula mereka yang menentang mengenai maksud "sumbang" yang diperkatakan itu, di mana ia melebihi apa yang terkandung di dalam Kanun Keseksaan negara.

Perbuatan memalukan ketiga-tiga wanita berkenaan di khalayak ramai oleh pegawai penguatkuasa JAIS telah dikecam dengan meluas oleh rakyat dan akhbar Malaysia. Oleh itu adalah wajar jika kita mempertimbangkan dahulu langkah mengamanahkan tugas menentukan garis panduan mengenai kelakuan sumbang dan pakaian kepada pihak berkuasa tersebut.

Sisters in Islam berpendapat bahawa jika ada tindakan untuk mengenakan undang-undang baru mengenai tingkah laku orang Islam, ianya perlu didahului dengan musyawarah seluas mungkin, melibatkan mereka yang bersabit oleh tindakan tersebut. Undang-undang yang bermaksud menyekat kebebasan asas boleh membawa kesan meluas ke atas seluruh masyarakat Malaysia. Tugas menggubal undang-undang tersebut tidak sepatutnya dijalankan secara bersendirian oleh satu kumpulan eksklusif yang mempercayai bahawa orang lain tidak berhak bercakap atau membincangkan hal-hal berkaitan dengan agama, ataupun menyoalnya.

Semua undang-undang negeri atau fatwa yang menyentuh kebebasan asasi mestilah sejajar dengan kehendak perlembagaan Persekutuan dan Negeri. Pendapat bahawa kuasa membendung kebebasan asasi kita terletak hanya dengan Parlimen, dan bukan dengan Dewan Undangan Negeri, telah pun diajukan. Dan kita juga telah diingatkan bahawa kesalahan perlakuan sumbangan adalah satu jenayah yang tertakluk di bawah bidang kuasa Kanun Keseksaan. Oleh yang demikian, semua percubaan untuk menghukum perbuatan sumbang dengan menggunakan enakmen jenayah syariah negeri adalah bertentangan dengan perlembagaan dan merupakan satu pencerobohan ke atas kuasa pusat. Ia juga mungkin membawa kepada dwi-dakwaan (double jeopardy), yakni melanggar prinsip-prinsip undang-undang dan perlembagaan bahawa seseorang itu tidak boleh dihukum dua kali untuk kesalahan yang sama.

Namun begitu, apa yang lebih membimbangkan Sisters in Islam adalah samada terdapat pandangan yang menyeluruh Islam mengenai pakaian dan perbuatan sumbang terdapat di dalam kitab suci al-Qur'an. Jika ianya wujud di dalam al-Qur'an, inilah yang mesti dijadikan asas undang-undang Islam negeri dan fatwa. Ianya juga mesti berakar-umbikan perintah al-Qur'an untuk menegakkan keadilan, dan sejajar dengan kepentingan sebenar ummah (maslaha). Jika tidak, segala kebijaksanaan perundangan sekalipun tidak akan mampu memberikannya kesahihan.

Dalam semua perbincangan mengenai soal pakaian, selalunya ramai yang mempercayai bahawa penelitian mengenai pakaian Muslimah telah ditentukan secara terus terang oleh al-Qur'an. Pendapat ini adalah tidak tepat.

Al-Qur'an membentangkan prinsip-prinsip dan nilai-nilai sejagat. Akan tetapi, ianya sering disuarakan menerusi konteks budaya dan sejarah Arab di kurun ke 7 Masihi. Para cerdikpandai Islam telah lama mengiktiraf ciri-ciri yang terkandung dalam al-Qur'an ini dan kemudahan yang diberikan untuk menyesuaikan pengalaman manusia kepada perintahnya yang merangkumi segala manifestasi iman berwarnakan budaya. Oleh yang demikian, perbezaan pendapat akan selalu wujud tentang bagaimana perintah al-Qur'an diterimapakai dalam keadaan-keadaan yang berlainan dan juga konteks sosio-budaya yang berubah-ubah kerana perintah al-Qur'an tidak pernah dimaksudkan untuk zaman tertentu sahaja. Kajian mengenai sejarah Islam akan menunjukkan bahawa undang-undang syariah adalah hasil kegiatan intelek yang hebat dan pendapat-pendapat yang berlainan. Ianya telah memakan masa enam abad. Malangnya selepas itu segalanya menjadi kaku.

Cabaran sekarang memerlukan kepada kebangkitan semula kegiatan intelek yang hebat ini dan juga perbahasan. Dengan itu, barulah kita boleh mengenali prinsip-prinsip sejagat yang terkandung di dalam perumpamaan-perumpamaan yang khusus kepada tempat dan masa tertentu yang terdapat di dalam al-Qur'an, dan menggunakannya sebagai panduan hidup di dalam konteks sosio-budaya zaman sekarang.

Kita telah pun melakukan kegiatan ini dalam berbagai aspek kehidupan ekonomi and politik Islam di Malaysia; dari perbankan Islam, dagangan hadapan Islam hinggalah kepada kemajuan terbaru di bidang perubatan; dan juga kepada idea kenegaraan dan sistem demokrasi berparlimen. Akan tetapi, kebolehan kita meyesuaikan diri dengan menggunakan ijtihad (pemikiran yang berdasarkan kitab suci Islam) untuk memahami peredaran zaman dan keadaan telah tidak digunakan apabila berhadapan dengan persoalan mengenai wanita. Penangkapan ke atas wanita Muslim oleh JAIS yang berat sebelah baru-baru ini jelas mencerminkan sikap misogynist (membenci wanita); sikap yang menghalang ramai lelaki dari mengiktiraf dan menggunakan prinsip-prinsip sejagat al-Qur'an mengenai keadilan dan kesaksamaan, dan dalam konteks perbahasan ini, kepada masalah pakaian dan kesopanan di khalayak ramai di Malaysia hari ini.

Perbincangan mengenai pakaian di dalam al-Qur'an berkisar di sekeliling konsep kesopanan dan keserdehanaan (modesty): kesopanan dalam peradaban dan pakaian; dan, pakaian yang menutup kemaluan. Surah al-A'raaf, 7:26, menyebut tentang pakaian untuk menutup aurat, dan pakaian perhiasan yang indah; tetapi ianya menegaskan bahawa "pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya". Seterusnya di dalam ayat 31 surah yang sama Allah swt berfirman: "pakailah pakaian kamu yang indah berhias" pada tiap-tiap kali kamu beribadat tetapi "janganlah melampaui batas".

Dalam hal menutup tubuh badan kita, kesopanan yang dimaksudkan adalah supaya kita menutup segala yang aib, yakni kemaluan kita (awrah sebenarnya (literal)) yang tidak boleh sengaja didedahkan. Kedua-dua ayat ini bila difaham bersama menuntut supaya kita menutup keaiban kita. Tetapi apa yang lebih bermakna di sini adalah bahawa al-Qur'an menekankan perihal pentingnya taqwa berbanding dengan kain yang menutupi tubuh kita, tidak kiralah betapa banyak atau kurang.

Al-Qur'an menunjukkan bahawa sifat kesederhanaan dan kesopanan seseorang timbul dari ketaqwaan, ia tidak boleh dipaksa sama ada dengan menutup ataupun mendedahkan aurat. Surah al-Baqarah, 2:256 menegaskan bahawa: "tidak ada paksaan dalam agama". Dalam tafsirannya, Abdullah Yusuf Ali menerangkan bagaimana agama bergantung atas iman dan kesanggupan, dan kedua-dua sifat ini tidak bermakna jika dipaksa. Didikan dan kesedaran sendiri dan bukannya paksaan ataupun undang-undang yang akan membawa kepada taqwa.

Ayat-ayat ini telah diturunkan di Mekah di permulaan riwayat Nabi Muhammad saw sebagai rasul Allah swt. Sebagai satu alat perundangan, ayat-ayat Mekah menentukan prinsip-prinsip 'am untuk kegunaan sejagat.

Ayat-ayat Madinah yang diturunkan selepas itu, umumnya adalah lebih khusus dari segi penekanannya. Ini sebagai memenuhi keperluan keadaan tertentu yang berlaku dalam hidup Nabi saw dan ummah pertamanya. Ayat-ayat Madinah juga membincangkan perihal kesederhanaan pakaian. Dalam perbincangan ini pula, keadaan sejarah dan budaya ummah yang sedang menjelma di Madina pada zaman itu perlu diambil kira apabila menganalisis ayat-ayat berkaitan. Ayat-ayat ini menggambarkan bagaimana prinsip-prinsip sejagat al-Qur'an dikenakan kepada ummah yang pertama.

Pada zaman itu, ayat-ayat awal mengenai kesederhanaan dan kesopanan terkandung di dalam Surah an-Nur, 24:30-31, di mana kedua-dua lelaki dan wanita digesa "menyekat pandangan mereka dan memelihara kehormatan mereka". Surah an-Nur, 24:31 menggesa wanita supaya jangan mendedahkan kecantikan mereka selain dari apa yang dianggap sopan dan menyuruh wanita "menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala [khimar] mereka".

Tudung kepala atau khimar yang dimaksudkan ini dilihat oleh seseparuh para sarjana sebagai selendang perhiasan yang sering dipakai oleh wanita Arab di zaman jahiliyyah yang dibiar meleret dibelakang mereka; sejajar dengan fesyen ketika itu, leher baju wanita begitu luas hingga mendedahkan dada mereka. Oleh yang demikian, perintah menutup belahan leher baju wanita dengan khimar tidak semestinya bermaksud penggunaan khimar itu sendiri. Tafsiran surah tersebut mengutarakan bahawa perintah berkenaan menjelaskan yang bahagian dada wanita tidak termasuk dalam bahagian badan "yang zahir padanya" yang boleh didedahkan.

Ayat terakhir dalam Surah an-Nur mengenai kesederhanaan pakaian, 24:60, membenarkan wanita "yang telah putus kedatangan haid, yang tidak mempunyai harapan berkahwin lagi" menanggalkan pakaian luar mereka tanpa bertujuan menayang kecantikan mereka.

Surah an-Nur khususnya dari segi kesederhanaan pakaian mendefinasikan apakah dia bahagian tubuh yang mengaibkan dan tidak boleh didedah. Persamaan yang terdapat pada kesemua ayat-ayat di atas menggesa kesederhanaan peradaban dan pakaian.

Surah Madinah seterusnya, Surah al-Ahzab, 33:59 menyuruh para isteri Nabi saw, anak perempuan baginda dan para muslimat "melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar)",(memakai jilbab) supaya dengan "cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu".

Ayat-ayat al-Qur'an ini tidak boleh ditafsir sebagai mengutarakan jenis pakaian yang tertentu. Sebaliknya ayat-ayat ini membawa makna bahawa kesederhanaan boleh dicapai dengan memakai bermacam jenis pakaian asalkan ianya bersesuaian dengan masa dan tempat dan budaya tempatan.

Jenis pakaian yang dipanggil jilbab ini, yang dipakai oleh wanita bangsawan Arab Jahiliyyah, menandakan mereka sebagai wanita terlindung dan mesti dihormati di khalayak ramai. Akhirnya pakaian ini telah dijadikan pakaian yang dianggap sopan di zaman Nabi saw. Surah al-Ahzab, 33:59 memerintah kaum muslimat supaya memakai pakaian seperti ini. Dengan itu mereka akan dihormati dan tidak akan diganggu. Prinsip sejagat yang terdapat pada ayat tersebut adalah sikap menghormati kaum wanita, bukannya pemakaian jilbab, yakni pakaian yang khusus untuk satu budaya dan sejarah yang tertentu.

Adalah jelas bahawa semua ayat yang dipetik di atas, mengagungkan sikap kesederhanaan dan tidak melampaui batas; menghindar dari perbuatan sumbang dan tidak sopan; dan, memerintah kita menghormati kaum wanita. Semuanya ini adalah tanda ketaqwaan.

Jika kita berpandukan ayat-ayat mengenai kesederhanaan peradaban dan pakaian ini, wanita yang suka menunjuk-nunjukkan apa yang tidak seharusnya didedahkan (an-Nur 24:31) tidak patut diganggu atau pun tidak dihormati (al-Ahzab 33:59), kerana al-Qur'an menyuruh kita menyekat pandangan kita dari terus melihat mereka. Inilah tindakan sewajarnya. Menurut al-Qur'an pakaian yang paling baik adalah taqwa (al-A'raaf 7:26).

Jelaslah bahawa al-Qur'an nampaknya tidak memerintahkan kita memakai pakaian yang tertentu. Tetapi kita kelihatan ghairah untuk menggubal lebih banyak lagi undang-undang dan peraturan mengenai pakaian dan akhlak yang tidak akan menambahkan ketaqwaan orang-orang Muslim, tetapi sebaliknya menyemai perasaan gerun terhadap pihak berkuasa dan Islam.

Mesej al-Qur'an tidak berniat menyekat pemikiran manusia. Dalam memutus untuk menjadikan agama sebahagian dari kehidupan umum masyarakat (public life), tugas paling rumit bagi kita sekarang ialah bagaimana hendak membina kebolehan menyesuaikan iman kita untuk menangani cabaran-cabaran peralihan zaman dan keadaan. Adakah kita akan terus wujud sebagai satu bangsa yang muqallid (menganut secara membuta-tuli)? Ini akan hanya membawa kepada kelumpuhan intelek dan kedangkalan yang berpanjangan. Atau, adakah kita bersedia memeluk dan membina minda yang mampu menyoal di kalangan ummah dan rakyat negara ini, terutama generasi akan datang?

Sebagai langkah pertama, kita mesti mengenali perbezaan di antara apa yang telah diwahyukan, kerana ia tidak boleh dipersoalkan; dengan apa yang terhasil dari usaha-usaha para pemikir cerdikpandai dan juga pengaruh adat resam kita yang sentiasa berubah dan mungkin tidak lagi sesuai diadaptasikan masakini. Pendapat Majlis Fatwa atau pihak-pihak berkuasa agama adalah hanya usaha manusia mentafsir Wahyu Tuhan yang tidak terbatas. Tafsiran inilah yang sepatut boleh kita perbahaskan dan dibincang.

Para ulama kita mesti memahami bahawa mereka hidup dalam masyarakat majmuk yang demokratik di mana warganegaranya bukan sahaja semakin berpengetahuan, tetapi juga lebih memahami dan prihatin tentang Islam dan juga komitmennya yang mendalam terhadap keadilan, kesaksamaan, kebebasan dan kebaikan. Suara ramai yang telah mengecam pengharaman konsert KRU dan penangkapan tiga orang peserta ratu cantik baru-baru ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia tidak lagi sanggup berdiam diri menghadapi ketidakadilan, sikap yang melampau dan tindakan keterlaluan yang dilakukan atas nama agama. Menggunakan paksaan untuk menguatkuasa peraturan dan perintah yang dibuat atas nama agama, telah dilihat oleh masyarakat sebagai sesuatu yang tidak adil, dan akan hanya membawa padah kepada masyarakat dan kestabilan politik negara.

Sisters in Islam

Surat ini telah diterbitkan dalam Utusan Malaysia, Berita Harian dan The New Straits Times.

------------------------

Sumber: http://www.sistersinislam.org.my/BM/kenyataan%20akhbar/21032000.htm

Kod Pakaian Terengganu

21 Mac 2000

Peraturan yang dikenakan oleh Kerajaan Terengganu terhadap wanita Islam yang mewajibkan mereka memakai tudung memang sudah diduga oleh Sisters In Islam. Seperti Kerajaan Pas di Kelantan, Taliban di Afghanistan, dan para ulama konservatif yang pernah menguasai Iran, parti-parti Islam yang menang dan berkuasa memang selalunya memilih untuk mengatur dan mengawal pakaian dan kehidupan sosial wanita sebagai polisi pertama mereka untuk membuktikan kewibawaan keislaman mereka. Selalunya, memanglah amat mudah untuk mengenakan undang-undang, peraturan, dan kawalan terhadap mereka yang paling tidak berkuasa di dalam masyarakat.

Walaupun pihak Kerajaan Terengganu berasa bahawa dialog dengan kaum Cina adalah perlu sebelum mengenakan cukai kharaj, yang mereka anggap sebagai sebahagian dari perintah Islam, dan bertindak dengan berhati-hati, mereka tidak pula berasa bahawa perbincangan dengan badan-badan wanita adalah perlu sebelum menggubal undang-undang baru untuk mengawal pakaian wanita Islam. Atas nama Islam, mereka menguasi secara mutlak pengetahuan dan kuasa untuk mengenakan tafsiran mereka terhadap golongan masyarakat yang tertindas dan tidak bersuara.

Pihak Sisters In Islam berpendirian bahawa pihak berkuasa tidak sepatutnya menggunakan paksaan dalam hasratnya untuk melihat wanita Islam menutup aurat. Agama bergantung atas iman dan kesanggupan. Mengenakan undang-undang dan peraturan atas pemakaian tidak semestinya akan menambahkan ketaqwaan orang-orang Islam. Sebaliknya ini membawa kepatuhan yang timbul dari perasaan gerunkan kepada pihak berkuasa dan Islam. Ini bukannya jalan kearah taqwa.

Al-Qur'an menunjukkan bahawa sifat kesederhanaan timbul dari ketaqwaan, dan ketaqwaan tidak boleh dicapai melalui paksaan, samaada untuk menutup atau mendedahkan aurat.

Al-Qur'an tidak memerintahkan kita memakai pakaian yang tertentu. Ayat-ayat mengenai kesederhanaan kelakuan dan pakaian dalam Al-Qur'an, apabila di tafsirkan menurut konteks sosio-sejarah zaman ianya di turunkan, mengagungkan sikap kesederhanaan dan tidak melampaui batas, menghindar dari perbuatan sumbang dan tidak sopan, dan memerintah kita menghormati kaum wanita sebagai satu tanda ketaqwaan. (sila lihat surat-surat Sisters In Islam kepada pengarang; NST dan Utusan Malaysia Ogos 9, 1997).

Sisters in Islam

---------------------

Petikan: http://www.sistersinislam.org.my/BM/skp/19022004.htm

Ada Apa Dengan Tudung?

12 Februari 2004

Pandangan masyarakat Barat yang menganggap tudung itu sebagai simbol penindasan dan pendapat masyarakat Islam yang melihat tudung sebagai simbol ketakwaan adalah tidak tepat dan tidak kena pada tempatnya.

Dengan mengharamkan pemakaian tudung dan lain-lain simbol keagamaan yang 'zahir' di sekolah-sekolah, kerajaan Perancis dengan sendirinya telah gagal menghormati prinsip asasnya mengenai kebebasan, kesamarataan dan semangat persaudaraan. Kebebasan untuk mengajar, beramal, beribadat dan memenuhi tuntutan agama seseorang, samada secara peribadi atau di tempat awam, berseorangan atau bersama-sama dengan sesuatu masyarakat, adalah suatu hak asasi yang didukung oleh Pengisytiharan Hak Asasi Manusia. Kebebasan ini hanya boleh disekat oleh undang-undang semata-mata untuk menghormati hak asasi orang lain dan mestilah memenuhi tuntutan keadilan dari segi moral, ketenteraman awam dan kesejahteraan umum di dalam sesebuah negara demokrasi.

Dengan menyekat amalan kebebasan beragama ini, Perancis tidak dapat membuktikan bagaimana pemakaian simbol-simbol keagamaan secara nyata boleh menyekat kebebasan orang lain atau meninggalkan kesan yang sangat buruk terhadap moral, ketenteraman atau kesejahteraan awam.

Sisters in Islam menolak sebarang percubaan oleh mana-mana kerajaan untuk menetapkan apa jua undang-undang terhadap pakaian - samada untuk memaksa wanita menutup ataupun mendedahkan kepala mereka. Mereka yang menentang undang-undang Perancis sebagai suatu penyekatan yang tidak adil terhadap kebebasan beragama seharusnya, atas prinsip yang sama, juga menentang undang-undang kerajaan Arab Saudi dan Iran yang mewajibkan pemakaian tudung di tempat-tempat awam serta undang-undang kerajaan Turki yang mengharamkan pemakaian tudung di institusi-instisusi awam.

Apa yang perlu diakui adalah perdebatan dan penumpuan perbincangan mengenai pakaian wanita terutama isu tudungnya, adalah lebih kepada isu politik dan identiti, berbanding dengan isu keimanan dan ketakwaan. Presiden Amerika Syarikat, George Bush, telah mempertahankan serangannya ke atas Afghanistan atas nama 'pembebasan wanita-wanita Afghanistan yang tertindas' yang mana penggunaan burqa dianggap sebagai simbol penindasan terhadap wanita Islam. Namun, kita sedia maklum bahawa dalam usaha Afghanistan yang masih merangkak ke arah demokrasi berpelembagaan, hak-hak wanita Afghanistan untuk mendapatkan kehidupan yang saksama, adil, bebas dan bermaruah bukannya menjadi agenda yang penting, samada bagi pentadbiran Bush, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu maupun kerajaan sementara di Kabul.

Beribu wanita Islam telah mengenakan hijab sebagai simbol protes menentang pemerintahan kuku besi Shah Iran. Dua puluh lima tahun selepas revolusi Iran ini, wanita-wanita di Iran kini mula mencabar pihak-pihak berkuasa dengan mendedahkan sebanyak mungkin rambut mereka samada di hadapan atau di belakang tudung yang diwajibkan ke atas mereka.

Mereka melanggar peraturan hijab sebagai memprotes pemerintahan golongan agama konservatif yang tidak membawa kehidupan yang dijanjikan, iaitu suatu kerajaan yang menjamin keadilan, kebebasan dan kemakmuran. Penggunaan hijab "tidak sempurna" yang kian berleluasa ini tidak lagi dapat dibendung oleh kerajaan kerana kerajaan telah hilang kewibawaan dan kuasa moralnya untuk mentadbir atas nama Islam.

Bagi sesetengah orang Islam, hijab merupakan tanda keimanan mereka. Bagi sesetengah yang lain pula, hijab adalah simbol identiti mereka sebagai seorang Islam dalam masyarakat yang kebanyakannya terdiri dari orang bukan Islam. Ada juga yang mendukungnya sebagai simbol penentangan terhadap masyarakat Barat yang terlalu dikuasai oleh sesuatu kaum atau terhadap suatu Kerajaan yang menindas.

Di beberapa negara, hijab merupakan pakaian yang memperkasakan diri wanita. Pemakaian tersebut membolehkan mereka menceburi dan turut serta dalam aktiviti dan arena awam yang dahulunya terbatas bagi mereka.

Masyarakat Barat hanya menunjukkan kegagalan mereka memahami kepelbagaian maksud, simbol dan pengalaman masyarakat Islam apabila mereka menganggap seseorang wanita yang memakai hijab itu sebagai suatu ancaman terhadap keselamatan negara atau integrasi kaum, maupun sebagai suatu simbol kemunduran, atau keagamaan yang dikaitkan dengan perjuangan militan.

Sebaliknya pula, ada juga masyarakat Islam yang kurang memahami warisan ajaran Islam dan menganggap kawalan ke atas kaum wanita sebagai satu-satunya ajaran tulen agama Islam. Akibatnya, definasi mengenai wanita Islam yang "baik" diterima bukan kerana tidak mungkin terdapat tafsiran lain, tetapi kerana ia merupakan tafsiran yang dianjurkan oleh fahaman politik dominan, yang menuduh pemahaman atau tafsiran lain sebagai "sesat" atau "menyeleweng".

Sisters In Islam

-------------------

Petikan: http://www.sistersinislam.org.my/BM/skp/11112005.htm

Jangan Memaksa Pelajar Perempuan Memakai Tudung

11 November 2005

Isu mewajibkan pemakaian tudung ke atas pelajar perempuan di Malaysia telah menerima liputan yang berlainan dalam akhbar di Malaysia. Akhbar New Straits Times (November 10, 2005) memetik Datuk Maximus Ongkili sebagai berkata bahawa pemakaian tudung tidak diwajibkan ke atas pelajar perempuan di universiti dan pusat pengajian tinggi di seluruh negara, tanpa membezakan antara pelajar Islam atau bukan Islam.

Walau bagaimanapun, The Star (November 10, 2005) memetik Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Shafie Mohd. Salleh sebagai berkata bahawa walaupun pelajar perempuan bukan Islam di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) tidak diwajibkan memakai tudung ke kuliah, mereka perlu menghormati Islam dan patuh kepada kod pakaian universiti, yang dengan jelas menyatakan bahawa pelajar perempuan bukan Islam diwajibkan memakai skaf. Selanjutnya, buku panduan ‘IIUM Students’ Discipline Rules 2004’ mewajibkan pemakaian tudung ke atas semua pelajar perempuan Islam pada setiap waktu, dan mewajibkan pemakaian tudung untuk semua pelajar perempuan tanpa mengira agama semasa konvokesyen sebagai pakaian rasmi istiadat konvokesyen.

Sisters in Islam berpendirian bahawa pemakaian tudung ialah suatu isu yang berkaitan dengan keimanan peribadi seseorang itu. Oleh itu, institusi awam atau kerajaan tidak seharusnya membentuk undang-undang sama ada untuk mewajibkan atau mengharamkan wanita supaya bertudung. Kami faham pihak berkuasa UIAM telah berkata bahawa kod pakaiannya bukanlah “isu agama tetapi merupakan hak Universiti untuk menentukan peraturan pakaian istiadat rasmi”. Kami tidak bersetuju dengan hujah ini atas beberapa sebab.

Pertamanya, pernyataan bahawa kod pakaian ini bukan isu agama adalah sebuah dakwaan yang boleh dipertikaikan. Malah, pemakaian tudung oleh sesetengah perempuan Islam sekalipun, walaupun berbeza-beza, sudah pastinya adalah amalan yang berpunca daripada kefahaman masing-masing. Sisters in Islam menegaskan bahawa kita tidak boleh menggunakan paksaan dalam agama. Tidak dapat dinafikan bahawa sesetengah gaya pemakaian berkait rapat dengan kepercayaan agama, identiti dan politik peribadi.

Oleh itu, dengan menetapkan tudung sebagai kod pakaian wajib untuk perempuan Islam dan skaf untuk perempuan bukan Islam seolah-olah menafikan konteks ini. Selanjutnya, pelaksanaan kod pakaian ini untuk pelajar perempuan Islam dan bukan Islam adalah sebuah perbuatan yang mungkin akan menyinggung perasaan sesetengah pihak dan melanggar hak mereka untuk menghayati kepercayaan masing-masing, iaitu hak yang dijamin oleh Allah s.w.t. dalam kitab suci Al Quran.

Keduanya, kami ingin menarik perhatian kepada persamaan antara situasi pelajar perempuan di Malaysia dengan situasi di negara Perancis tidak lama dahulu di mana kerajaan Perancis telah mengharamkan pemakaian hijab oleh perempuan Islam di institusi awam. Dalam kes ini, Sisters in Islam juga telah membantah pengharaman oleh kerajaan Perancis kerana ia telah mencabul kebebasan beragama dan hak-hak perempuan Perancis yang beragama Islam.

Yang pentingnya di sini ialah keputusan untuk memakai atau tidak memakai hijab, tudung atau skaf merupakan keputusan individu yang terlibat, bukannya mana-mana institusi kelolaan manusia yang tidak sunyi daripada melakukan kesalahan walaupun ia berpunca daripada niat yang murni. Kami faham bahawa terdapat sesetengah institusi yang ingin menyelaraskan kod pakaian rasmi untuk tujuan simbolik atau praktikal, tetapi kod pakaian ini tidak boleh memperalatkan simbol agama dan budaya yang seharusnya menjadi keputusan peribadi seseorang individu.

Ketiganya, ia merupakan permainan bahasa semata-mata jika dinyatakan bahawa pelajar perempuan bukan Islam tidak perlu memakai tudung tetapi mesti patuh kepada kod pakaian UIAM, yang jelasnya menyatakan bahawa pelajar perempuan bukan Islam wajib memakai skaf. Di antara umat Islam sekalipun, terdapat pelbagai gaya pemakaian tudung. Oleh itu, pembezaan antara tudung untuk orang Islam dan skaf untuk orang bukan Islam sebenarnya menafikan isu sebenar mengapa kaum perempuan tidak mahukan sebarang pihak manusia lain untuk menentukan cara mereka berpakaian.

Lagipun, dalam sejarah perkembangan perundangan dan ilmu Islam, alim ulama dan para cendekiawan Islam yang teragung sekalipun tidak pernah mencapai kata sepakat tentang gaya pemakaian perempuan yang “betul”. Hinggakan Allah s.w.t. telah berfirman dalam kitab suci Al Quran bahawa maruah diri perempuan boleh dipelihara dengan pelbagai cara melalui cara-cara pemakaian yang bersesuaian dengan budaya, tempat dan peredaran masa yang berlainan. Oleh itu, pembentukan peraturan pemakaian perempuan berdasarkan apa yang dibayangkan sebagai sebuah piawai “Islam” yang tunggal sebenarnya tidak mengambil kira kepelbagaian pendapat dan pemikiran dalam perkembangan Islam.

Keempatnya, UIAM juga menyatakan bahawa kod pakaiannya untuk pelajar perempuan bukan Islam tidak pernah dipertikaikan selama ini. Kami menyoal ketepatan dan andaian di sebalik pernyataan ini. Kod pakaian UIAM memang pernah dipertikaikan oleh kaum bukan Islam. Malah dalam tahun 2003, wakil rakyat Batu Gajah, Fong Po Kuan, telah menggesa Menteri Pendidikan ketika itu, Tan Sri Musa Mohamad, untuk bertindak ke atas isu mewajibkan pelajar perempuan bukan Islam di UIAM supaya memakai tudung. Pada masa yang sama, nada perbincangan tentang Islam di negara ini mungkin telah menyebabkan minoriti bukan Islam merasa bahawa mereka tidak mempunyai pilihan melainkan untuk berdiam diri dan mengikut keputusan majoriti rakyat Malaysia yang beragama Islam.

Mereka yang menyuarakan pendapat yang bertentangan dengan pendapat arus perdana seringkali disambut dengan kemarahan dan cacian oleh sesetengah pihak yang mendakwa bahawa mereka mesti mempertahankan Islam. Apa pun, kita sebagai masyarakat Malaysia yang majmuk perlulah menghormati perasaan dan pandangan golongan minoriti etnik dan agama, dan juga pandangan yang berbeza antara umat Islam. Apa yang penting di sini ialah kita sebagai masyarakat majmuk perlu mempertahankan kepelbagaian pendapat dan pendirian di antara kita.

Kelimanya, Sisters in Islam juga berharap bahawa pihak berkuasa akan prihatin terhadap kesan tekanan rakan sebaya di universiti dan institusi pengajian tinggi di negara ini. Polisi yang mempertahankan hak pelajar perempuan tidak akan berkesan jika terdapat tekanan yang berleluasa daripada rakan sebaya yang memaksa pelajar perempuan untuk bertudung atau tidak bertudung.

Kami amat mengalu-alukan kesediaan rakyat Malaysia dari pelbagai latarbelakang untuk menyuarakan pendapat dan saranan yang berbeza-beza tentang subjek ini. Seperti yang pernah dikatakan oleh Imam Malik ibn Anas, “Kepelbagaian pendapat ialah rahmat Allah s.w.t. kepada umat manusia.” Allah s.w.t. juga telah berfirman dalam kitab suci Al Quran: “Tidak ada paksaan dalam agama.” (Surah al-Baqarah, 2:256). Kami berharap bahawa kebijaksanaan yang sedemikian dapat disemai dalam semua aspek kehidupan awam, termasuklah dalam isu pemakaian perempuan.

1.Kenyataan Fong Po Kuan boleh diakses di http://www.dapmalaysia.org/all-archive/English/2003/apr03/bul/bul2028.htm

Sisters in Islam

---------------

Petikan dari: http://www.sistersinislam.org.my/BM/media/24062008-mkini.htm

MalaysiaKini.com

24 June 2008

SIS: Tiada fakta gincu dorong rogol

by Abdul Rahim Sabri

Tidak ada fakta yang menyokong dakwaan bahawa memakai gincu dan berkasut tumit tinggi menyebabkan wanita dirogol, kata Sisters in Islam (SIS).

"Larangan ini dibuat daripada sikap prasangka dan seharusnya berdasarkan kepada penyelidikan dan data.

"MPKB mengeluarkan dasar atau undang-undang kena ada fakta," kata penyelaras program SIS, Norhayati Kaprawi kepada Malaysiakini, mengulas laporan wujud larangan terbaru Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).

 

Bagaimanapun majlis itu hari ini menafikan mengeluarkan arahan larangan sedemikian seperti laporan media.

Etika berpakaian itu - termasuk bergincu dan berkasut tumit tinggi sehingga mengeluarkan bunyi - hanya sekadar nasihat yang tidak diperkuatkuasakan dalam peraturan di bandar itu, jelas pengarah perhubungan awam MPKB-BRI, Azman Mohd Daham.

Norhayati juga berkata, tanggapan umum mengaitkan jenayah ini dengan etika berpakaian adalah tidak benar.

"Orang yang memakai tudung pun kena rogol," katanya.

"Budak bawah umur pun kena rogol, apa kena-mengena gincu dengan kasut tumit tinggi?

Beliau juga menegaskan, bergincu dan berkasut tumit tinggi dalam kalangan perempuan sudah lumrah.

"Tidak ada isu, kenapa nak kawal pilihan orang perempuan untuk memakai gincu dan kasut tumit tinggi," kata aktivis hak wanita itu.

"Adakah memakai kasut tinggi itu tidak Islamik?"

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) pula menganggap saranan kepada pekerja Islam itu satu langkah yang baik.

"Usaha MPKB itu usaha yang baik dan (isu itu) tidak perlu diperbesar-besarkan," kata presidennya Mohd Hilmi Ramli.

"Kalau betul menggunakan gincu lebih dan memakai tumit tinggi menyumbang kepada jenayah rogol dan zina, (amalan itu) wajar diharamkan."

Bagaimanapun, tambah Hilmi, beliau menyifatkan niat MPKB itu tidak menyelesaikan masalah sebenar.

"Ada faktor lain yang menyumbang kepada berlakunya zina dan rogol seperti jalan berdua-duaan tanpa mahram dan berpasangan (di tempat tertutup) boleh berlaku zina dan rogol," katanya.

Menurutnya, pemakaian tudung tidak boleh dipaksa kepada semua orang perempuan.

"Mereka diberi pilihan dan (kerajaan) terus mendidik rakyat tentang pemakaian yang menepati syariah," katanya.

Norhayati juga menggesa kerajaan Kelantan menumpukan perkara-perkara yang lebih serius seperti soal kebersihan, kemiskinan dan memberi khidmat yang cekap kepada rakyat.

SISTER IN ISLAM??? Satu Pengenalan


Selepas Muktamar Tahunan PAS ke-55 baru-baru ini, semua orang memperkatakan tentang Sister In Islam. Muktamar meluluskan usul mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan membuat penyelidikan ke atas SIS yang didakwa membawa aliran Islam liberal, seterusnya mengharamkan sekiranya terbukti bertentangan dengan syariat Islam.

Pro dan kontra berlaku. Ramai yang mendokong usul ini dan tak kurang jika yang menentangnya dengan lantang, termasuk dari kalangan pakatan pembangkang iaitu PKR dan DAP.

Siapakah sebenarnya Sister In Islam ini sehinggakan di satu pihak terlalu membelanya dan di satu pihak lain menentangnya? Sebelum kita memberi apa-apa komen tentang mereka, sudah kenalkah kita dengan mereka?

Artikel ini akan cuba membawa anda semua untuk mengenali lebih dekat kepada Sister In Islam berdasarkan pelbagai sumber, insyaallah. Pada artikel akan datang, kita akan cuba melihat idea-idea yang dibawa oleh mereka.

Pengenalan

Sebagaimana yang tercatat di dalam web rasmi mereka: http://www.sistersinislam.org.my/BM/pengenalan.htm

Misi

Sisters in Islam (SIS) ialah sekumpulan wanita profesional beragama Islam yang memperjuangkan hak-hak wanita dalam kerangka Islam.

Kami menyokong semangat revolusi Islam, satu agama yang telah mempertingkatkan martabat wanita apabila ia diturunkan 1400 tahun dahulu. Kami percaya Islam menolak penindasan wanita dan penafian hak-hak asasi mereka seperti kesaksamaan dan martabat kemanusiaan. Kami amat sedih kerana agama telah diperalatkan untuk membenarkan amalan dan nilai-nilai budaya yang menganggap wanita sebagai berkedudukan lebih rendah daripada lelaki. Kami percaya bahawa ini berlaku kerana kaum lelaki sahaja yang telah menguasai secara eksklusif hak mentafsir al-Qur'an.

Kami percaya bahawa setiap orang mesti diberi peluang sepenuhnya untuk menyertai segala bidang kehidupan demi pertumbuhan dan pengembangan ummah. Penyertaan wanita Islam sebagai rakan kongsi yang setaraf, dalam erti kata sepenuhnya dalam pembangunan dan kemajuan sosio-ekonomi ummah adalah menjadi keperluan masa kini. Kami merumuskan bahawa adalah penting pengalaman, fikiran dan suara wanita dimasukkan ke dalam tafsiran al-Qur'an dan pentadbiran agama dalam dunia Islam.

Kami memperolehi ilham daripada penglibatan aktif wanita dalam kehidupan awam semasa zaman Nabi Muhammad saw. Koleksi riwayat hidup para Sahabat Nabi memuatkan lebih daripada 1,200 riwayat Sahabat Nabi yang terdiri daripada wanita. Antara mereka ialah para penyampai hadith, para wali dan sufi, para syahid, pembebas abdi, dan wira peperangan.

Usaha kami mempromosi hak-hak wanita Islam adalah berasaskan prinsip-prinsip kesaksamaan, keadilan, kebebasan dan martabat seperti yang diperintah oleh al-Qur'an dan diperjelaskan oleh kajian kami mengenai kitab suci ini.

SIS telah ditubuhkan pada 1988 dan didaftar sebagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) pada 1993 di bawah nama SIS Forum (Malaysia) Berhad. Nama Sisters in Islam terus digunakan dalam penulisan kami.

Misi kami adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai prinsip-prinsip Islam yang sebenar, prinsip-prinsip yang memuliakan konsep kesaksamaan di antara wanita dan lelaki, dan berjuang ke arah pembentukan masyarakat yang mendokong prinsip-prinsip Islam seperti kesaksamaan, keadilan, kebebasan dan martabat dalam negara demokrasi.

Objektif

Objektif utama kami adalah:

* Menegak dan membangunkan satu kerangka hak-hak wanita dalam Islam yang mengambil kira pengalaman dan realiti wanita;

* Menghapuskan ketidakadilan dan diskriminasi terhadap wanita dengan mengubah amalan-amalan serta nilai-nilai yang menganggap bahawa taraf wanita adalah lebih rendah daripada lelaki; dan

* Membina kesedaran awam dan memperbaharui undang-undang serta dasar-dasar mengenai kesaksamaan, keadilan, kebebasan, martabat dan demokrasi dalam Islam.

Untuk mencapai objektif-objektif tersebut, SIS telah memulakan aktiviti-aktiviti dalam empat bidang program:

1. Penyelidikan dan Tafsiran sumber-sumber teks Islam

2. Advokasi untuk pembaharuan dasar dan undang-undang

3. Meningkatkan kesedaran orang ramai dan pendidikan awam

4. Perancangan strategik dan pembentukan dasar

Logo

SIS logo diambil dari lukisan Sharifah Zuriah Aljeffri bertajuk RAHIM (1995). RAHIM: Salah satu sifat Allah S.W.T. Rahim juga bermaksud salah satu alat reproduksi wanita; satu anugerah dari Tuhan, dan melaluinya Tuhan memberi kehidupan, manusia dilahirkan dan berkembang dari satu generasi ke generasi yang lain.

 

Berikut ini pula adalah Deskripsi Program mereka;

Dipetik dari web rasmi mereka: http://www.sistersinislam.org.my/BM/deskripsi.htm

a. Bantuan guaman

* Klinik Undang-undang - SIS memberi nasihat guaman pada perkara-perkara berkaitan perceraian, nafkah isteri dan hak kewangan dan nafkah anak-anak melalui email, telefon dan bersemuka

* Kolum Literasi Undang-undang - SIS juga mempunyai kolum di akhbar Utusan Malaysia yang menjawab soalan yang dihantar oleh pembaca berkaitan hak-hak mereka di bawah undang-undang Keluarga Islam

b. Pendidikan Awam

* Sessi Pembelajaran - Setiap bulan, SIS akan mengadakan sesi pembelajaran . Isu-isu yang dikupas berkaitan Islam, kesihatan dan hak-hak wanita, aurat dan pakaian, menjadi seorang Muslim pada zaman ini dan lain-lain. Sesi pembelajaran ini dikendalikan oleh cendikiawan dari Malaysia dan juga antarabangsa

* Latihan/Bengkel - Sepanjang tahun, SIS mengadakan latihan dan bengkel berkaitan gender dan hak-hak wanita Islam. Dari tahun 2002, SIS telah melatih ketua-ketua wanita di peringkat komuniti, penggubal undang-undang, aktivis-aktivis badan bukan kerajaan, wartawan, peguam-peguam hak asasi, pelatih undang-undang, pelajar-pelajar universiti dan juga ketua-ketua politik muda.

* Syarahan Umum - SIS mengadakan siri ceramah terbuka untuk mendedahkan orang ramai kepada pemikiran alternatif yang progresif dalam Islam oleh tokoh-tokoh Islam terkemuka

c. Penyelidikan - SIS sedang menjalankan satu penyelidikan pilot bertajuk 'Kesan poligami terhadap institusi keluarga' dan sekarang dijalankan pada peringkat nasional.

d. Advokasi

* Pembaharuan Undang-undang - SIS telah menghantar satu memorandum kepada kerajaan Negeri Selangor pada May 2003, menyatakan kekesalan terhadap pindaan-pindaan yang dibuat kepada Enakmen Undang-undang Keluarga Islam yang berterusan mendiskriminasi kaum wanita Islam . SIS juga melobi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk mewujudkan satu sistem Mahkamah Keluarga yang mencakupi bidang kuasa Sivil dan Shariah.

* Advokasi Media - Kenyataan Akhbar dan Surat Kepada Pengarang yang diterbitkan di dalam akhbar berbahasa Malaysia dan Inggeris telah menyumbang kepada perbahasan terbuka, contohnya mengenai perceraian melalui SMS, pindaan-pindaan Undang-undang Keluarga Islam yang mendiskriminasikan wanita Islam, EPF dan harta pusaka dan juga dokumen Negara Islam PAS.

Sister In Islam dan Aminah Wadud

Amina Wadud wanita yang pernah mencetuskan kegemparan di seluruh dunia apabila beliau dengan berani mengimamkan solat Jumaat pada 28 Oktober 2005 dengan makmumnya bercampur aduk antara lelaki dan wanita. Kegemparan ini menimbulkan rasa marah dan kecaman dari majoriti umat Islam di seluruh dunia.

Amina Wadud inilah yang didakwa sebagai antara pengasas Sister In Islam. Berikut ini adalah video Amina Wadud mengimamkan solat Jumaat:

Dipetik dari: http://ms.wikipedia.org/wiki/Amina_Wadud

Amina Wadud ialah seorang wanita, feminis, dan cendekiawan yang penuh kontroversi. Amina Wadud dilahirkan pada 25 September 1952 di Bethesda, Maryland. Bapanya merupakan seorang paderi Methodist dan ibunya pula berketurunan hamba dari Arab, Berber dan Afrika pada kurun ke-lapan Masehi. Beliau mengucap syahadah pada tahun 1972 sebelum mengetahui asal-usul keluarga sebelah ibu beliau.

Pada tahun 1988, beliau memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dalam Bahasa Arab dan Pengajian Islam dari Universiti Michigan (Michigan University). Semasa pengajian ijazah beliau mempelajari Bahasa Arab peringkat lanjutan di Universiti Amerika (American University), dan Pengajian Qur'an dan Tafsir di Universiti Kaherah (Cairo University), dan juga kursus dalam Falsafah di Universiti Al-Azhar (semua universiti tersebut terletak di Kaherah, Mesir).

Beliau kini berkhidmat sebagai Profesor Madya Pengajian Islam (Associate Professor of Islamic Studies) di Universiti Commonwealth Virginia (Virginia Commonwealth University) di Richmond, Virginia, Amerika Syarikat. Sebelum itu beliau menyandang jawatan Profesor Madya di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, untuk tempoh yang lama semenjak 1989.

Kajian-kajian Amina Wadud tertumpu kepada jantina dan al-Qur'an. Beliau telah menulis untuk subjek berkenaan dalam bukunya Qur'an and Woman: Rereading the Sacred Text from a Woman's Perspective (Qur'an dan Wanita: Pentafsiran Kembali Ayat-Ayat Suci dari Kaca Mata Wanita). Edisi pertama buku tersebut diterbitkan oleh Sisters in Islam di Malaysia dan menjadi rujukan berkisar subjek-subjek jantina dan al-Qur'an oleh aktivis dan pengkaji akademik di seluruh dunia. Setelah menerbitkan buku pertamanya itu, beliau membuat sering membuat syarahan di universiti-universiti dan perhimpunan-perhimpunan di Amerika Syarikat, Jordan, negara-negara Afrika dan Afrika Selatan, Nigeria, Kenya, Pakistan, Indonesia, Kanada, Norway, Belanda, Bosnia-Herzegovina, Sepanyol, dan Malaysia.

Buku terbaru beliau, Inside the Gender Jihad: Women's Reform in Islam, diterbitkan pada tahun 2006. Di dalamnya beliau bukan sahaja menganalisa al-Qur'an tetapi juga menceritakan pengalaman beliau sebagai seorang Islam, isteri, emak, kakak, cendekiawan dan aktivis.

Amina Wadud secara terbuka mengatakan beliau tidak bersetuju dengan beberapa ayat Al-Quran, terutamanya yang berkenaan memotong tangan pencuri kerana percaya memotong tangan merupakan perbuatan kasar (brutal behavior). Beliau juga menolak beberapa hukuman lain yang terdapat dalam Al-Quran[1]. Amina Wadud menganjurkan empat kaedah baru menafsir Al-Quran, iaitu 1) Pembacaan harafiah teks Al-Quran, 2) Hujah (legalistic) yang mengekang bagaimana ayat itu diguna pakai, 3) Tafsiran semula dari sudut pandangan sebaliknya (baru) , dan 4) Menolak Al-Qur'an apabila seseorang tidak bersetuju dengannya

Imam wanita untuk Solat Jumaat

Amina Wadud menjadi subjek hangat di dalam perbincangan undang-undang Islam apabila beliau menjadi imam untuk Solat Jumaat kepada 100 orang lelaki dan perempuan di Gereja Besar Keuskupan St. John the Divine di New York pada 18 Mac 2005. Tindakan beliau ini memecah tradisi Islam bahawa hanya lelaki boleh menjadi imam dalam solat lebih-lebih lagi bagi Solat Jumaat (wanita dibenarkan menjadi imam untuk makmum yang terdiri dari kalangan wanita).

Sebelum itu, tiga buah masjid menolak untuk dijadikan tempat bagi acara tersebut dan sebuah muzium yang pada mulanya bersetuju menarik diri akibat dari ancaman bom.

Amina Wadud bukan pertama kali mencetuskan kontroversi. Pada Ogos 1994, beliau pernah menyampaikan Khutbah Jumaat bertajuk Islam as Engaged Surrender di Masjid Claremont Main Road di Cape Town, Afrika Selatan. Akibat dari perbuatan beliau tersebut, terdapat usaha-usaha untuk menyingkirkan beliau dari Universiti Commonwealth Virginia.

Di sebalik bantahan dan kritikan majoriti masyarakat Islam terhadap tindakan Amina Wadud, beliau masih menerima jemputan untuk bercakap dan menjadi imam untuk Solat Jumaat. Pada 28 Oktober 2005, beliau menjadi imam kepada lebih kurang 30 orang setelah menyampaikan syarahan di International Congress on Islamic Feminism (Kongress Antarabangsa Feminisme Islam) di Barcelona, Sepanyol.

Majoriti masyarakat Islam menolak sama sekali wanita sebagai imam untuk solat Jumaat dan solat lain yang makmumnya terdiri daripada laki-laki.

Tokoh Sister In Islam: Zainah Anwar

Dipetik dari http://www.youtube.com/watch?v=rOC8e2Ynxck&NR=1:

Zainah Anwar, Executive Director of Sisters in Islam (SIS), works on the rights of Muslim women within the framework of Islam to end discrimination against women in the name of religion while upholding the principles of justice, equality, freedom and dignity within a democratic state.

In this short interview (four minutes), she tells Global X the story of a woman who spent over seven years out of an eight-year marriage to try to get a divorce from her violent husband, even though he had already remarried and had children with his new wife.

Zainah Anwar, an optimist, hopes that her current work will become irrelevant in the next 10 years. She knows that the laws that Malaysia has inherited from the British need to be adapted to the new realties that women are now facing. She is convinced that "justice will prevail, because the realities of our lives are totally different from when these laws were first conceptualized."

Friday, June 12, 2009

Tabiat Membaca Menyempurnakan Hidup Kita



Oleh: DR. SIDEK BABA

TABIAT membaca ialah suatu amalan yang baik untuk mendedahkan diri seseorang kepada ilmu pengetahuan dan peristiwa. Tabiat membaca seperti orang memakan nasi. Tanpa makanan, ibarat tidak lengkap hidup ini. Tanpa membaca ibarat tidak sempurna kehidupan hariannya. Seseorang yang mempunyai tabiat membaca yang baik bukan saja mempunyai minat yang tinggi terhadap pengetahuan, maklumat dan ilmu tetapi menyebabkan dorongan untuk membaca tidak boleh disekat. Dia akan membaca di mana saja dan kadang-kadang membaca apa saja. Tanpa bahan yang dibaca dia menjadi resah. Membaca baginya suatu kepuasan. Menerusi pembacaan seseorang dapat menambahkan maklumat, meluaskan pengetahuan, meningkatkan penguasaan ilmu dan memahami sesuatu peristiwa yang berlaku.

Islam memang agama yang menganjurkan manusia membaca. Ayat yang pertama daripada Allah kepada Nabi kita ialah 'Iqra' atau 'Bacalah'. Al-Quran juga mengingatkan manusia tentang kepentingan akal iaitu 'Afala ya'qilun' untuk membolehkan manusia berfikir. Jalan mengembangkan pemikiran ialah menerusi membaca. Amalan membaca yang tinggi menjadikan seseorang itu mempunyai ilmu dan pengetahuan yang lebih. Allah juga memberikan pedoman bahawa tidak sama darjat orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu. Darjat ilmu boleh didapati menerusi pembacaan. Islam juga menganjurkan umatnya bukan saja membaca sesuatu dari sudut yang tersurat tetapi mengkaji juga apa yang tersirat. Membaca apa yang tersurat saja faedah keilmuannya mungkin terbatas tetapi mendalami apa yang tersirat memberi manfaat yang besar kepada seseorang.

Banyak yang boleh kita andaikan sekiranya remaja hari ini tidak minat membaca. Pertama, remaja akan ketinggalan untuk tahu perkembangan pesat yang berlaku di dunia hari ini. Dunia hari ini berada di bawah telunjuk globalisasi yang menjadikan maklumat dan ilmu sebagai asas perkembangannya. Sekiranya remaja tidak gemar membaca dan kalau membaca pun menumpukan perhatian kepada hal-hal yang ringan dan bercorak hiburan, gosip, hal-hal picisan, tahyul, kisah-kisah artis dan penghibur semasa, dia tidak mencanai dan mengembangkan ilmu.

Kedua, tanpa bahan-bahan baik yang dibaca, remaja tidak akan melatih diri untuk berfikir dan menganalisis. Generasi yang tidak berfikir tidak akan menghasilkan idea-idea yang bermakna. Dalam buku terkandung sumber maklumat dan ilmu yang amat berguna untuk remaja. Buku merakamkan idea-idea yang berbagai-bagai, menghimpunkan analisis manusia tentang sesuatu peristiwa atau keadaan dan mencatatkan fakta dan data yang ditemui penulis dan pengkaji terhadap pelbagai perkara. Buku membantu remaja berkongsi, mengetahui dan mendapat jalan ilmu tentang perubahan dan kemajuan.


Masyarakat Barat dan Jepun amat gemar membaca. Membaca bukan saja menjadi tabiat sebahagian masyarakat mereka di segenap peringkat tetapi juga menjadi sebati dan ketagihan. Jika tidak membaca ada semacam kekosongan dalam hidup. Apabila mendapat bahan yang hendak dibaca ibarat seseorang mendapat teman yang sangat dikasihi. Sebab itu orang Barat dan Jepun mampu menempa kemajuan dan perubahan. Mereka membaca dalam kapal terbang, dalam kereta api, sambil menunggu bas dan apabila ada masa terluang. Membaca dihubungkan rapat dengan kesempatan membaca.

Tabiat membaca mesti dipupuk dan dilatih sejak kecil lagi. Anak-anak yang masih kecil elok didedahkan dengan bahan-bahan bacaan yang memikat minat mereka membaca. Walaupun pada peringkat awal anak-anak suka melihat gambar atau cerita-cerita yang bercorak kartun, galakan harus diberi supaya anak-anak suka membaca cerita. Lepas itu galakkan anak-anak membaca cerita yang menghiburkannya dan akhirnya apabila tabiat sudah tumbuh berilah anak-anak bahan-bahan bacaan yang memberi maklumat dan menambah ilmu. Apabila anak-anak meningkat remaja, ibu bapa harus rajin membawanya ke kedai buku atau ke perpustakaan. Galakkan remaja menjadi ahli kelab-kelab buku dan sediakan peruntukan bulanan untuknya membeli majalah dan buku-buku yang berguna untuk mengembangkan minatnya membaca. Jadikan kebiasaan apabila anak-anak berjaya, buku dijadikan hadiah.

Bagi remaja, membaca buku teks kadang-kadang menjadi suatu paksaan. Kalau tidak kerana tuntutan belajar dan ingin lulus dalam peperiksaan, buku teks akan terbiar begitu saja. Sesetengah pula berpendapat bahawa setelah tamat Sijil Pelajaran Malaysia, membaca sudah tidak perlu lagi. Banyak masa remaja dihabiskan di hadapan media elektronik bagi mendapatkan bahan-bahan yang bercorak hiburan, picisan malah kadang-kadang melalaikan. Para remaja harus memupuk kecenderungan membaca bahan-bahan yang baik dan berfaedah. Apa yang remaja baca ada kesannya pada minda, pada sikap mental malah pada tanggapan dan hobi.

Sebuah negara yang sedang menuju tahap negara maju seperti Malaysia seharusnya memiliki generasi muda yang minat membaca. Kekuatan bagi sesebuah negara yang bakal maju banyak bergantung kepada kemampuan ilmu pengetahuan dan pemikiran rakyatnya. Ia bermula sejak zaman remaja lagi. Sekiranya para remaja hanya cenderung membaca bahan-bahan ringan semata-mata dan tidak memiliki minat untuk meningkatkan ilmu pengetahuan, maka globalisasi yang sedang kita tempuh bakal menyebabkan kita terpinggir daripada arus maklumat, ilmu dan juga kemajuan. Proses negara maju harus seimbang dengan darjah berfikir rakyatnya. Darjah pemikiran rakyat hanya boleh meningkat sekiranya proses mendapatkan maklumat, menguasai ilmu, membandingkan bahan-bahan kajian dan meneliti penemuan-penemuan baru menerusi pembacaan. Pembacaan boleh berlaku sama ada menerusi media cetak ataupun elektronik seperti internet.


Kekuatan tamadun dalam tradisi Islam antara lain berpunca daripada kegemaran ilmuannya membaca. Mereka membaca tidak saja apa yang tersurat di dalam al-Quran, tetapi membaca apa yang tersirat di dalamnya menerusi kaedah tafsir. Ayat-ayat al-Quran tidak saja ditafsir secara literal ataupun secara luaran tetapi didalami maksud dan hikmah di sebaliknya. Tidak saja ia dibaca untuk dapat pahala atau fadilat tetapi menjadikan intisarinya amalan dan penghayatan.

Para remaja Islam harus bersedia di samping menghafaz dan membaca al-Quran, mereka harus ada kecenderungan untuk mendalami isinya. Ayat-ayat al-Quran ada latar-turunnya (asbabun Nuzul) kerana wahyu itu sendiri tidak turun dalam bentuk tekstual saja tetapi merujuk pada konteksnya atau pada realiti semasa. Kemampuan ulama tafsir ialah menggali intisari yang amat bernilai untuk pedoman manusia. Sebab itulah ramai saintis Islam pada masa yang lalu menghafaz al-Quran pada umur yang awal dan meneliti tafsirnya sebagai pedoman melakukan kajian dan penelitian. Para remaja hari ini boleh menjadikan al-Quran dan tafsirnya yang berbagai-bagai sebagai sumber mendapatkan ilmu dan hikmah. Setiap kalimah al-Quran yang dibaca oleh para remaja akan diberikan ganjaran yang setimpal. Betapa kalau bacaan diikuti dengan memahami isinya, para remaja akan mendapat kekuatan ilmu yang luar biasa sebagai pedoman diri dan bimbingan hidup. Para remaja boleh membaca tafsir al-Quran yang diusahakan oleh Hamka, Ahmad Sanhaji, Departmen Agama Indonesia dan Jabatan Perdana Menteri Malaysia sebagai asas. Kemudian para remaja yang mampu boleh melanjutkan lagi dengan membaca tafsir tulisan Syed Qutb, Yusof Ali, Muhammad Assad, Ibn Kathir, al-Qurtubi dan banyak lagi. Membaca pelbagai tafsir tidak saja memperkayakan khazanah fikir tetapi menyuburkan lagi talian zikir.

Upaya fikir dan talian zikir para remaja harus kuat. Upaya fikir membolehkan remaja memiliki kekuatan akal untuk dikembangkan. Ilmu yang bernilai daripada al-Quran membolehkan para remaja memiliki tabiat mendapatkan ilmu yang baik, berguna dan bermanfaat yang dipimpin oleh Allah. Upaya zikir membolehkan remaja memohon petunjuk dan hidayat daripada Pencipta. Apa yang remaja fikirkan dengan kekuatan akalnya dan bentuk zikir yang menghubungkan dirinya dengan Allah, membolehkan remaja mendapat pedoman dan ilmu yang mempunyai hikmah.

Asas fikir dan zikir dalam erti kata yang luas mampu membina tradisi membaca yang tinggi di kalangan remaja kerana yang dibaca adalah sesuatu yang berguna dan sumber yang dibaca adalah saluran petunjuk yang membolehkan budaya 'iqra' menyebati dalam jiwa dan hati, dan itulah maksud membaca yang diredai Allah.

Thursday, June 11, 2009

Nantikan Kemunculan EPISMA 09 Di Universiti Malaya


Tahun 2008 merupakan tahun keramat bagi PSIPUM kerana buat julung2 kalinya, persatuan ini telah berjaya membuka mata masyarakat kampus dan luar, bahawa mahasiswa yang dikatakan skema dan academician juga mampu menganjurkan satu program yang hebat seperti itu. Tahniah buat pimpinan yang lepas dan sesiapa yang turut sama menjayakannya.

Namun, bukanlah nama yang ingin dikejar. Habis tu? Jika tidak nama, apa? Soalan itu tidak perlu diberikan jawapan kerana penulis tujukan soalan itu kepada pembaca. Dan, soalan itu harus difikirkan jawapan bersama, sebelum membaca ayat yang seterusnya.
Dengan berbekalkan tagline PSIPUM Untuk Semua, bagi penulis, pendekatan EPISMA pada tahun ini perlu berubah dan berlainan. Jika yang lepas, kita hanya mempu mendapat crowd dari kalangan orang Islam, pada tahun ini kita perlu memakai pendekatan Islam itu adalah rahmatan lil 'alamin, ISLAM UNTUK SEMUA.

Jadi, idea2 yang bersifat lebih terbuka, tetapi pada masa yang sama dapat membawa mesej Islam patut dibawa. Idea apa itu? Itu yang perlu difikirkan bersama. Sedarlah, bahawa EPISMA merupakan satu medan yang cukup baik untuk mesej Islam itu disampaikan. Mesej Islam itu tidak semestinya mesti diletakkan nama Islam untuk ditonjolkan, tetapi kadang2, untuk peringkat awal, cukup sekadar unsur Islam dimasukkan.

Mungkin pada tahun ini, kita boleh sampaikan Islam itu mementingkan kesihatan dengan menonjolkan sukan Nabi SAW. Berkuda, memanah. Amacam? Kemungkinan, kita mampu membuat wacana yang berunsur dakwah seperti membincangkan soal "selsema babi" contohnya, hikmah kenapa Allah mengharamkan babi kepada manusia.

"ANDA SIHAT DENGAN ISLAM". Itulah yang penulis bayangkan mesej yang patut kita sampaikan kepada semua. Bahawa, dengan mengamalkan Islam, nescaya kita akan sihat. Kerana penulis teringat kata2 Qardawi, "Mana mungkin perkara yang halal dalam syariat itu mudarat bagi kita, dan mana mungkin perkara yang haram itu memberi manfaat kepada kita".

Jadi, ayuh sama2 kita fikirkan idea untuk kita sampaikan mesej Islam pada EPISMA sesi kali ini. Semoga dengan idea yang dicurahkan, mampu membantu kalimah Allah ditegakkan di muka bumi ini. Wassalam.

Di Tembak Di Dalam Masjid...


Kejam dan tidak berperikemanusiaan!

10HB Jun 2009-Mungkin itu yang dapat digambarkan tentang pembunuhan 11 jemaah ketika solat isyak di Masjid Al-Furqan di Kampung Air Tempayan, kira-kira pukul 8.50 malam tadi (waktu Malaysia).
Setelah melepaskan tembakan dari dua pintu masuk masjid, enam penyerang itu dikatakan masih tidak berpuas hati dan masuk ke dalam masjid sebelum melepaskan beberapa das lagi tembakan bagi memastikan jemaah terbabit benar-benar mati.
Kejadian itu menambahkan jumlah korban yang kini mencecah lebih 3,700 orang dan masyarakat Islam di wilayah itu bimbang kejadian lebih buruk akan menyusul semula dan ramai yang percaya kejadian terbaru didalangi pihak berkuasa.

Bagaimanapun sehingga kini masih belum dapat dipastikan motif sebenar pembunuhan kejam itu tetapi ada yang berpendapat berpunca daripada dendam dan pihak tentera Thai menafikan sebarang pembabitan anggota mereka.
Seorang saksi, Hassan Deraman, 17, berkata, kejadian berlaku amat pantas kira-kira lima minit di mana empat lelaki dikatakan menyerbu masuk ke dalam masjid dari arah pintu belakang manakala dua lagi dari arah tepi.
Katanya, kesemua mereka bersenjatakan rifel M-16 dan pump gun serta memakai seragam hitam serta bertopeng.
‘‘Ketika kejadian berlaku saya bersama tiga lagi rakan berada dalam wakaf kira-kira 15 meter dari pintu masuk utama masjid ini, Tiba-tiba kami mendengar bunyi tembakan yang kuat bertalu-talu.
‘‘Kami bersembunyi dan bergerak ke tempat kejadian dengan perlahan-lahan dalam gelap untuk melihat apa yang berlaku dengan lebih jelas.
‘‘Saya kemudian melihat mereka memasuki masjid ini dan melepaskan tembakan ke arah kepala serta badan jemaah yang terbaring dalam ruang solat, tembakan itu dilepaskan bagi memastikan kesemua jemaah ini benar-benar mati,” katanya.


‘‘Selepas bunyi tembakan hilang, beberapa orang kampung datang dan saya bersama mereka memasuki masjid melihat mayat bergelimpangan dipenuhi dengan darah.
‘‘Ketika itu, hanya dua jemaah terselamat tanpa sebarang kesan tembakan. Salah seorang daripada mereka adalah ‘tok siak’ masjid, bagaimanapun akibat terkejut dengan serangan tersebut dia pengsan kerana serangan jantung.
‘‘Seorang lagi yang terselamat adalah ahli kumpulan ‘tabligh’ yang datang berdakwah di sini, dia terselamat kerana ketika itu sedang sujud dan setelah mendengar bunyi tembakan dia meniarap dan berpura-pura mati,” katanya.
Serangan tersebut turut menyebabkan imam masjid, Wan Nasir Wan Abdullah, 62, terkorban manakala 12 parah dan dua terselamat.
Kesemua jenazah dikebumikan dalam satu liang lahad kira-kira pukul 11 pagi ini dan tinjauan Utusan Malaysia mendapati perkarangan masjid itu dipenuhi oleh kaum masyarakat Melayu Islam dari tiga daerah yang bergolak itu.
Malah ketika itu, ruang solat masjid berkenaan masih dipenuhi darah dan ia dibersihkan sepenuhnya oleh anggota tentera kira-kira pukul 5 petang ini.

MARILAH KITA BERDOA SEMOGA NEGARA KITA SENTIASA AMAN DAN TIADA PERKARA SEPERTI INI BERLAKU DAN SAMA-SAMA KITA BERDOA SEMOGA ALLAH MELINDUNGI UMAT ISLAM DISELURUH DUNIA..AMIN...