Thursday, May 7, 2009

Penempatan kolej kediaman: MPMUM serah memorandum TNC HEP -mahasiswakini-








Kuala Lumpur 7 Mei 07:25 a.m | Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) semalam telah menghantar memorandum berkenaan isu penginapan kolej kediaman mahasiswa universiti tersebut bagi sesi depan.

Dalam kenyataan semasa bertemu wakil media pagi semalam, Mohd Fadzil b. Jamal, Pengerusi Biro Kolej Kediaman dan Luar Kampus menyatakan bahawa memorandum berkenaan bertujuan untuk memastikan mahasiswa mendapat tempat tinggal yang selesa demi kepentingan kebajikan mereka.

Hal ini berikutan terdapat beberapa aduan dan rungutan daripada mahasiswa di kolej kediaman kerana tidak dapat tinggal di kolej bagi sesi akan datang atas sebab-sebab yang tidak dapat dikenal pasti.

“Kami ada beberapa tuntutan kepada pihak Yang Berbahagia Timbalan Naib Canselor (Datuk Prof. Madya Dr. Azarae Hj. Idris), dan antara tuntutan kami ialah pihak beliau mengkaji semula dasar dan criteria pemilihan pelajar yang duduk di kolej,” ujar beliau.

Beliau yang juga wakil fakulti bagi Akademi Pengajian Islam menyatakan terdapat sejumlah pelajar yang aktif dalam pelbagai aktiviti kolej tetapi tidak mendapat tempat di kolej kediaman. Sebahagian mereka juga dimaklumkan telah menghantar surat memohon pertimbangan kepada pihak pengetua kolej kediaman masing-masing.

“Dalam kes yang dikemukakan kepada kami, ada kolej yang sebahagian besar pelajarnya dibuang kolej, sebagai contoh di kolej kediaman ke sepuluh, (seramai) 118 orang berjaya dapat kolej dan selebihnya tak berjaya. Tetapi kuantiti optimum penginapan mahasiswa bukan tahun pertama ialah 500 orang sebelum ditambah kemasukan tahun pertama sebanyak 200 orang sesi hadapan,” jelas beliau.

Persoalan juga berkenaan tentang kriteria penginapan kolej, kerana terdapat seramai 80 orang mahasiswa yang dilihat layak atas penglibatan mereka yang sangat aktif dalam program kolej tetapi tetap tidak dapat tempat (penginapan). Rungutan dan surat juga kami terima daripada mahasiswa koleh kediaman kedua, kelima, kelapan, kesebelas dan kedua belas. Ini yang menjadi persoalan tentang prosedur di pihak pentadbiran,”ujar beliau lagi.

Penyerahan memorandum tersebut juga dihadiri oleh Mohd Aizat Salleh, selaku Exco Majlis Perwakilan Mahasiswa tersebut. Pihak media juga dimaklumkan berkenaan sidang media pada pagi ini jam 10.30a.m di sekritariat MPMUM. -mahasiswakini-

No comments: