Thursday, August 21, 2008


AUKU & PMIUM



Mahasiswa dan anak muda merupakan golongan yang terpenting dalam stuktur sosial masyarakat kerana mereka merupakan pelapis kepimpinan masa hadapan, di bahu mereka digalas harapan masyarakat untuk membela nasib rakyat. Kelompok mereka sangat penting kerana mempunyai kekuatan fizikal, kekuatan mental, kekuatan semangat dan idealisme. Hamparan pakej yang terhimpun inilah menjadi senjata bagi mereka untuk bangkit menentang kezaliman, berdada dengan penguasa yang sifar modal insannya serta menerjah segenap kepalsuan.

Dalam konteks negara Malaysia hari ini, kita merasa sangat sedih dengan kekangan terhadap gerakan mahasiswa kerana kesannya terhadap intelektual amatlah buruk, universiti menjadi sekadar sekolah menengah yang hanya bertujuan membekalkan pasaran tenaga kerja. Kampus hari ini amatlah sepi dengan budaya kritikan yang sihat, bukan sahaja mahasiswa yang membisu malah para cendekiawannya yang terpasung dalam kesejukan dewan kuliah berhawa dingin. Secara statistiknya pula kita semakin jauh daripada penarafan universiti yang cemerlang dalam dunia.

Suasana kampus hari ini sampai ke tahap ’menopause’, kenyataan pimpinan kampus yang tidak bergigi dan kemandoman aktivis mahasiswa juga menjadi faktor penyumbang kepada kelesuan intelektual.

AUKU???

Pada tahun 1971, gerakan mahasiswa dan rakyat di negara ini terpana seketika apabila kerajaan telah menggubal undang-undang yang dikenali sebagai Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang mengandungi 5 bahagian dan 27 seksyen. Pada mulanya AUKU dibentang oleh Menteri Pendidikan, Dato’ Hussein Onn, di parlimen pada 17 Mac 1971. Rang undang-undang tersebut telah dibahaskan dengan panjang lebar. Akta ini kemudiannya mengalami pindaan pada tahun 1975, iaitu hasil pindaan yamg dikemukakan oleh Dr. Mahathir Mohamad selaku Menteri Pelajaran pada waktu itu.



Tujuannya ialah untuk mengawal pergerakan mahasiswa terutama dalm bidang politik, membendung faham perkauman serta melumpuhkan potensi mahasiswa sebagai pengkritik kerajaan. AUKU adalah antara faktor utama penyumbang kepada kelesuan gerakan mahasiswa di negara ini. Budaya fobia yang berjaya dilahirkan daripada akta ini telah menumpulkan budaya kritis dan analitis mahasiswa. AUKU telah memberikan saham kepada ketakberdayaan gerakan mahasiswa di negara ini.

Bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan Malaysia...??

Seksyen 15 AUKU 1971 bersalahan dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Merujuk kepada syeksen 15 (1) dan (2) AUKU yang tidak membenarkan setiap pelajar di universiti atau kolej universiti menyertai mana-mana parti politik ataupun kesatuan sekerja atau pertububahan kecuali dengan kelulusan Naib Canselor. Seksyen ini jelas bertentangan dengan Perkara 10 (1)(c) Perlembagaan Persekutuan yang memberi kebebasan kepada semua rakyat Malaysia untuk berpersatuan. Sesuatu perkara itu tidak lagi dikira sebagai bebas jika perlu meminta izin atau kelulusan daripada seseorang. Jika dilihat populasi mahasiswa di setiap universiti di seluruh negera, mereka kebanyakannya berusia 21 tahun ke atas. Mereka telah pun mencapai usia majoriti(age of majority) dan layak untuk mengundi seperti yang lain. Maka mereka perlu diberi hak kebebasan berpolitik dan berpersatuan sepertimana yang dinikmati oleh masyarakat umum.Oleh itu, ternyata di sini hak mahasiswa untuk berpersatuan atau berpolitik telah disekat oleh provisi yang terdapat di dalam akta ini.

Seterusnya, seksyen 15 (3) dan (4) AUKU 1971 pula tidak sejajar dengan Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan. Provisi ini antara lain menyekat mahasiswa daripada menyatakan sokongan atau memberi simpati atau bangkangan kepada mana-mana parti politik atau kesatuan sekerja atau pertubuhan yang tidak diluluskan oleh pihak universiti. Sedangkan dalam Perkara 15(1)(a) Perlembagaan Persekutuan jelas membenarkan setiap warganegara berhak menyuarakan pendapat.

Ini baru sekelumit contoh AUKU yang berlawanan dengan Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Sebenarnya, banyak lagi indikator yang memungkinkan ketidakrelevanan AUKU pada zaman kini.

PMIUM

Sebelum saya menoktahkan perenggan yang akhir ini, satu perkara yang menarik untuk dicatatkan di sini ialah bahawa gerakan mahasiswa yang berorientasikan Islam seperti Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) telah muncul sebagai badan pergerakan mahasiswa yang lebih berwibawa selepas zaman akta ini. Sebelum zaman akta, Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya(PMUM) dan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya(PBMUM) lebih menonjol berbanding PMIUM.




Profesor Khoo Kay Kim; profesor sejarah Malaysia pernah menyatakan bahawa ”hanya persatuan Mahasiswa yang berjuang di atas sesuatu idealogi yang dapat bergerak dan hidup selepas akta ini. Hujah beliau sangat tepat kerana selepas kekangan kepada gerakan mahasiswa melalui AUKU, sejarah memperlihatkan bagaimana gerakan mahasiswa Islam semakin berkembang dan mampu berhadapan dengan 1001 mehnah dan tribulasi.

SEJAHTERA BERSAMA PMIUM”

..