Wednesday, June 25, 2008

24 JUN???


Alhamdulillah….pada tika ini saya masih lagi dapat menghirup udara segar dan dapat mengemaskini blog yang serba kekurangan ini.

24 JUN…??Mesti ada yang tertanya-tanya..apa yang istimewanya dengan tarikh ini..

Pada tarikh ini lah telah lahir di PENANG ISLAND seorang putera....Sebelum saya terlupa, terima kasih banyak saya ucapkan pada sahabat-sahabat yang mendoakan kesejahteraan saya. Jazakallahukhoiran kathira.. Putera yg saya maksudkan sebentar tadi bukanlah putera raja, tapi putera ini lah yang akan menggoncangkan dunia suatu hari nanti InsyaALLAH. Dari segi zahir, nampak gaya orangnya macam skema,serius dll.. sebenarnya beliau ep go lucky orangnya.

Berbalik pada tarikh keramat tadi...Ooppss rupa-rupanya semakin meningkat usia, semakin dekat dgn ajal yang tidak bertarikh..saya teringat kala membaca hasil karya Dr. A’idh Al-Qarni yg bertajuk ’Malam Pertama di Alam Kubur’. ”Kematian itu pasti. Ia tidak meleset meski hanya sedetik.

Firman Allah swt dlm surah Al-Jumu’ah ayat 8,

Katakanlah, seseungguhnya kematian yg kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yg mengetahui yg ghaib dan yg nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yg telah kamu kerjakan”

Tak ada yg harus dikhuatirkan dlm kematian. Ia adalah pintu yang setiap orang pasti akan memasukinya. Kehadirannya tak bisa ditolak, meski seorang raja yg memiliki kekuasaan. Sebagaimana dalam kisah Abu Bakrah r.a. ketika sakitnya semakin parah, anak-anaknya bermaksud mendatangkan seorang doktor. Tetapi Abu Bakrah menolak. Ketika sakratul maut tiba, Abu Bakrah berteriak memanggil anak-anaknya, ”Di manakah doktor??? Datangkan kemari untuk menolak kematian ini, kalau dia sanggup.Demi Allah, seandainya seluruh doktor di dunia hadir, nescaya mereka tak sanggup mengembalikan ruhnya. Pada saya yang menjadi masalah serius adalah, apa yang terjadi setelah kematian??? Apakah berupa taman dan sungai yang mengalir dalam tempat yg dijanjikan Allah; ataukah berupa kesesatan dan api yang bergejolak???

Jalan pulang ke pangkuan Tuhan terlalu luas

Agama ini begitu lunak. Pintu untuk mendekati Tuhan tidak pernah hanya dikhususkan untuk orang tertentu semata. Bahkan sesiapa sahaja yang menerima Islam ini dan berusaha mendekatkan diri dengan jalan Rasulullah maka dia akan sampai ke dalam rahmat Allah.

Tiada perbezaan antara mufti, ustaz, imam dan orang biasa. Tuhan tidak pernah menilai insan dengan gelaran-gelaran yang diberikan oleh sesama manusia. Dia melihat keluhuran jiwa dan kesahihan amalan. Entah berapa ramai orang biasa lebih mulia di sisi Tuhan dibandingkan mereka yang bersandar dengan berbagai-bagai gelaran dan pangkat. Jalan pulang ke pangkuan Tuhan tidak pernah mendiskriminasikan manusia.

Kadangkala amat menakutkan kita mendengar ucapan sesetengah orang. Saya pernah mendengar seseorang menyebut “dosa- dosa si polan tidak akan diampunkan Allah” , si polan ni conform terus kena campak masuk neraka. Ringan perkataan itu di lidah kita, amat berat kesalahannya di sisi Allah.

Sejak bilakah pula kita menjadikan wakil Tuhan dalam memutuskan rahmat atau kelaknatan di kalangan hamba-hamba-Nya. Kita menolak manusia ingin kembali dataran keampunan Allah hanya kerana emosi kita, sedangkan Allah sendiri mengisytiharkan keluasan rahmat-Nya untuk semua.

Marilah kita berkempen untuk manusia mendapatkan rahmat keampunan Allah ini. Bukan untuk orang masjid dan surau sahaja, tetapi juga semua muda-mudi di jalanan, artis di pentas, pemimpin di gelanggang politik dan seterusnya. Jangan menghukum seseorang itu sebagai tidak berpeluang menerima rahmat Allah sedangkan roh masih di jasadnya dan hukuman Allah belum pun kita tahu.

Nabi bersabda: Jika seseorang berkata: Binasalah manusia, maka dialah yang paling binasa. (Riwayat Muslim). Hadis ini bermaksud apabila seseorang berkata dengan tujuan merendahkan orang lain dan membanggakan dirinya seakan orang lain tidak mendapat kerahmatan, maka dialah akan dibinasakan Allah. Dakwah agama hendaklah merentasi sempadan-sempadan yang dibikin oleh kita. Rahmat Allah mestilah disebarkan ke semua daerah hidup yang pelbagai. Sama ada yang berada di gelanggang sukan, di pentas filem, di medan politik atau apa sahaja.

Janganlah perbincangan agama hanya menggambarkan seakan semua manusia akan memasuki neraka semata, lalu kita lupa Allah ialah Tuhan Yang Maha Rahmat. Ungkapan-ungkapan agama ini adalah ungkapan memberikan harapan, bukan menimbulkan kekecewaan.

Sehingga dalam hadis Nabi bersabda: Seorang telah melakukan satu dosa, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku ampunilah dosaku. Lalu Allah azza wa jalla berfirman: Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya – dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya. Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya-dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya. Lalu dia melakukan dosa sekali lagi, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka aku ampunkan hamba-Ku in, buatlah apa yang kau mahu Aku ampunkan engkau. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini bukanlah menggalakkan manusia melakukan dosa, tetapi menceritakan hal seorang hamba yang bertaubat bersungguh-sungguh namun gagal mengawal dirinya lalu tetap terjatuh ke dalam dosa. Setiap kali berdosa, dia ikhlas memohon keampunan dan dia tetap diampun oleh Allah s.w.t.

Hadis ini memberikan semangat kepada mereka yang telah bersalah berulang kali untuk terus bertaubat bukan berputus asa dan terus mengikut jejak langkah syaitan. Walaupun barangkali orang lain akan menyebut kepadanya “tidak guna kau bertaubat, sudah berapa kali kau tetap gagal kekal atas taubatmu”, namun Allah tidak berkata demikian. Dia Yang Maha Pengampun tetap membuka pintu selagi hamba-Nya itu jujur dan ikhlas merintih kepada-Nya.

Jika Allah menutup pintu, maka kekecewaan akan meliputi jiwa hamba yang seperti ini dan akhirnya dia akan terus tenggelam dalam kejahatan. Namun dengan dibuka seperti ini, insan akan terus berusaha kembali kepada Allah setiap kali tergelincir.

Saya amat hairan, ada agama tertentu yang dikatakan mempengaruhi emosi sesetengah anak-anak muda kita disebabkan unsur kasih sayang dan rahmat berkenaan yang ditonjolkan dalam agama. Seakan anak-anak muda kita tidak pernah mendengar tentang keluasan rahmat dan keampunan Allah dalam Islam ini. Lalu mereka pun kagum dengan agama lain dan melupai agama sendiri yang diturunkan Allah ini.

Adakah kerana mereka tidak mempelajari ajaran Islam yang betul? Ataupun kempen kita kepada Islam kurang menonjolkan unsur-unsur kerahmatan agama ini?

Hendaklah kita sedar, dalam dakwah baginda Nabi bukan hanya diceritakan balasan neraka, namun diceritakan juga kenikmatan syurga. Bukan hanya tentang kemurkaan Allah kepada yang menderhakai-Nya tetapi juga rahmat-Nya bagi yang kembali kepada kepada-Nya.

Firman Allah dalam surah al-Hijr 49-50,

Khabarkanlah kepada hamba-hamba-Ku (Wahai Muhammad), bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (bagi mereka yang bertaubat dan beramal soleh). Dan bahawa azab-Ku, adalah azab yang tidak terperi sakitnya, (bagi mereka yang tetap dalam kederhakaan).

Semoga taubat mempunyai ruang yang besar dalam hidup kita. Manusia disuruh takut melakukan dosa. Namun jangan kecewa jika tersilap. Di samping insan juga hendaklah selalu beringat, bahawa dosa yang terlampau setelah diberi peringatan, boleh menghilangkan ingatan insan untuk kembali kepada Tuhan.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 6-7,

Sesungguhnya orang-orang yang ingkar itu, sama sahaja kepada mereka: Sama ada engkau beri amaran kepadanya atau engkau tidak beri amaran, mereka tidak akan beriman. (Dengan sebab keingkaran mereka), Allah mematerikan atas hati mereka, pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya; dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar.

Ayuh....mari sama-sama kita koreksi balik diri kita termasuk lah penulis. Sekali lagi terima kasih kepada sahabat-sahabat yang banyak membantu saya...Jazakallahukhoiran kathira. Ukhwah kita bukan setakat sekarang..Insya ALLAH berkekalan abadi sampailah kita kembali kepada ALLAH..

No comments: